FATWA DALAM ISLAM
Fatwa ialah keputusan bagi
sesuatu permasalahan. Ia melibatkan hukum agama yang diberikan oleh mufti
kepada mereka yang bertanya samada individu mahupun berkumpulan ke atas
permasalahan yang sudah jelas punca permasalahannya atau masih kabur.
Merujuk kepada Kamus Dewan
Bahasa dan Pustaka edisi ke-4, definisi fatwa ialahkeputusan tentang sesuatu hukum agama (yg belum pernah
diputuskan lagi) berdasarkan nas Al-Quran, hadis, dan sumber hukum lain, termasuk ijtihad
oleh mufti.
Fatwa dikeluarkan oleh mufti atau mereka yang mempunyai kemahiran yang
mendalam berkenaan hukum-hakam yang berkaitan agama. Hal ini demikian kerana
fatwa melibatkan hukum ke atas permasalahan yang berkaitan dengan agama, maka
mereka yang mempunyai kemhairan dalam hukum hakam agama sahaja yang layak memberikannya.
Realitinya di masa kini, kalimah fatwa disinonimkan dengan mufti sahaja
kerana mufti menjadi satu jawatan rasmi yang diberikan kepada seseorang (yang
berautoriti) untuk dipertanggungjawabkan bagi mengeluarkan fatwa.
Maksud dari firman Allah SWT :
“Mereka (orang Islam) meminta fatwa kepadamu (wahai
Muhammad) mengenai masalah Kalalah. Katakanlah : Allah memberikan fatwa kepada
kamu dalam perkara Kalalah tersebut iaitu jika seseorang meninggal dunia yang
tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi
saudara perempuan itu seperdua dari harta peninggalan” – Surah An-Nisa’ : 176
Dalam satu riwayat hadis, seorang sahabat, Abu Musa Al-Asy’ari
bertanyakan kepada Nabi SAW mengenai dengan minuman yang diperbuat oleh
penduduk Yaman :
أَفْتِنا فِي شرابَيْن كُنَّا نَصْنَعُهما بِاليَمَن
"Berikanlah fatwa kepada kami berkenaan 2
minuman yang kami buat di Yaman."
Dan Abu Musa Al-‘Asyari menjelaskan hakikat minuman tersebut. Lalu
baginda SAW bersabda :
كُلُّ مُسْكِر حَرام
“Setiap minuman yang memabukkan adalah haram.” - Bukhari dan
Muslim
AKHLAK DALAM MENJAGA KREDIBILITI FATWA
Apabila fatwa ia berkaitan dengan hukum hakam dalam Islam, maka tidak
dapat tidak mufti merupakan orang yang memegang amanah dalam memastikan fatwa
yang diberikan menepati syara’. Sehubungan itu juga, dalam perihal beramanah
dengan agama Islam, tidak dapat tidak peranan mufti adalah berkait rapat dengan
akhlak. Hal ini demikian kerana, benteng bagi memastikan seseorang mufti
tersebut tidak pecah amanah adalah bergantung kepada kekuatan akhlaknya.
Justeru, tidak dinamakan seseorang tersebut dengan ulama jika hanya
mempunyai pengetahuan yang tinggi tanpa dibaluti dengan akhlak yang mulia.
Mereka yang layak dipanggil ulama atau mufti adalah mereka yang menggunakan
ilmu dan pengetahuan mereka agar semakin bertaqwa kepada Allah. Maka apabila
mereka ingin mencapai tahap tersebut maka mereka mestilah menyalurkan
pengetahuan dan ilmu tersebut mengikut salurannya antara berkata benar, tidak
mengeluarkan hukum bagi kepentingan tertentu dan sebagaimana.
Inilah yang dijelaskan oleh Allah di dalam Surah Fatir :
“Sesungguhnya hanya orang yang paling takutkan
Allah daripada kalangan hamba-Nya adalah daripada kalangan ulama’.” –Surah Fatir : 28
Maka akhlak ini menjadi pembeza antara ulama yang sebenar dengan ulama
su’ iaitu mereka yang mempergunakan agama bagi menjaga kepentingan tertentu.
Hal ini jelas apabila sifat kaum terdahulu yang sanggup membelakangi
agama demi kepentingan dunia sehingga menyembunyikan kebenaran, mereka ini
dicela oleh Allah sebagaimana yang terdapat dalam Al-Quran :
Maksud firman Allah :
“Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang
telah Kami (Allah) turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah,
sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam kitab suci, mereka itu
dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.” – Surah Al-Baqarah :
159
Dan daripada akhlak seorang mufti ialah menyampaikan dengan ilmunya akan
kebenaran, dan tetap berpegang kepada kebenaran tersebut walaupun dibenci dan
dimarahi oleh orang-orang yang gilakan dunia dan mereka yang berjawatan. Lihat
bagaimana contoh teladan yang telah ditunjukkan oleh Imam Ahmad dalam
mempertahankan kebenaran mengenai Al-Quran itu kalamullah, sehingga sanggup
dipenjara dan diseksa bertahun lamanya. Maka akhklah mulia yang ada dalam diri
mufti tersebutlah yang menjaga kreddibiliti fatwa yang dikeluarkan olehnya.
FAKTOR-FAKTOR YANG MENJADIKAN FATWA TERSEBUT SALAH ATAU KURANG TEPAT
Dr Yusuf Al-Qardhawi menggariskan 6 faktor utama yang menjadikan sesuatu
fatwa yang dikeluarkan tersebut adalah tidak tepat bahkan salah. 6 faktor
tersebut ialah :
1- Jahil ke atas sesuatu nas atau terlepas pandang nas-nas yang lain
Antara sebab terlepas pandang sesuatu nas ialah apabila mufti tersebut
terlalu gopoh dalam mengeluarkan fatwanya tanpa sempat mengkaji terlebih dahulu
permasalahan yang timbul. Kajian ilmiah juga merupakan displin dalam
mengeluarkan sesuatu hukum. Hal ini demikian kerana fatwa yang ingin
dikeluarkan mestilah membawa kepada maslahat yang umum. Justeru memerlukan
kajian ke atas nas-nas yang banyak.
Bahkan juga antara kejahilan sesuatu nas ialah apabila tidak mendalami
sesuatu displin rujukan dalam penghujahan iaitu dengan menjadikan “apa yang
tidak dilakukan oleh Nabi SAW” sebagai satu bentuk hujah. Sedangkan perkara
tersebut adalah silap sebagaimana para ulama telah bersepakat, boleh rujuk
artikel lepas di http://www.manhal.pmram.org/2012/05/nabi-saw-tidak-pernah-lakukan-hujah.html
2- Kesalahan dalam mentakwil
Antara jelas kesalahan dalam mentakwil ialah mendefinisikan sesuatu
permasalahan yang berlaku dengan maksud yang bukan sepatutnya. Maka sudah tentu
fatwa akan dikeluarkan mengikut definisi yang salah tersebut. Hasilnya, ia
tidak menepati kehendak permasalahan yang sebenar. Sebagai contoh
mendefinisikan demonstrasi sebagai rusuhan yang merosakkan harta benda awam,
maka sudah tentu fatwa yang dikeluarkan mengharamkan demonstrasi secara mutlak
kerana bagi mereka demonstrasi adalah perbuatan yang sememangnya membawa kepada
kerosakan.
Sedang definisi yang sebenar ialah perhimpuan untuk tunjuk perasaan. Ia
menjadi wasilah kepada sesuatu tunjuan. Dan hukumnya adalah berdasarkan tujuan
dan caranya. Jika tujuannya salah dan cara pun bersalah maka sudah tentu ia
diharamkan. Namun jika perhimpunan yang dilakukan dengan aman dengan tujuan
sekadar protes bantahan ekoran hak-hak mereka dicabuli, sekadar ini sahaja,
maka ia adalah diharuskan kerana hukum asal bagi sesuatu adalah harus
sebagaimana mengikut kaedah yang telah ditetapkan.
3- Tidak memahami sesuatu realiti yang berlaku berdasarkan hakikatnya
Sebelum mengeluarkan fatwa, maka mestilah mengetahui hakikat
permasalahan yang sebenar. Kesilapan dalam mengetahui hakikat sebenar akan
melencongkan fatwa yang dikeluarkan. Maka sebab itulah disebutkan bahawa hukum
sesuatu adalah berlegar kepada illahnya, jika ada illahnya maka adalah
hukumnya, jika tiada maka sebaliknya.
Maka, untuk mengetahui hakikat sesuatu permasalahan, maka ia mesti
mengkaji dan mendapatkan sumber yang jelas daripada semua pihak yang terbabit.
4- Menurut hawa nafsu
Tidak sepatutnya fatwa yang dikeluarkan adalah menurut hawa nafsu. Hal
ini jelas bertentangan dan bercanggah dengan syara’. Fatwa merupakan jawapan
kepada pemasalahan yang timbul dan berkaitan dengan agama, justeru ia mestilah
mengikut ketetapan kebenaran, bukan hanya nafsu. Disebabkan itu, akhlak mulia
sangat penting bagi menjaga kredibiliti fatwa daripada terikut-ikut dengan hawa
nafsu.
Maksud daripada firman Allah :
“Wahai Daud sesungguhnya Kami menjadikan kamu
khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum antara manusia dengan benar.” – Surah Shad : 26
5- Mengikut ideologi
pihak barat
Hal ini bertentangan dan bercanggah dengan syara’. Fatwa yang
dikeluarkan mestilah berdasarkan Al-Quran, hadis, ijma’ dam qiyas serta
rujukan-rujukan yang lain di dalam Islam. Rujukan mengikut ideologi barat
pastinya akan menyelewengkan fatwa yang dikeluarkan. Disebabkan itu, konsep
keadilan, kebebasan dan apa jua yang berlaku di zaman moden ini mestilah
menurut kaedah di dalam Islam.
Antara contoh, walaupun ideologi barat mengatakan pembahagian harta
pusaka yang diagihkan kepada anak lelali dan anak perempuan dengan kadar nisbah
2 :1 adalah tidak adil berdasarkan akal fikiran mereka, namun nilai keadilan
adalah mengkiut ketetapan Islam bukan dengan ideologi barat kerana jelas dalam
Al-Quran mengenai nas pembahagian kadar 2 : 1 bagi anak lelaki dan anak
perempuan.
Maksud daripada firman Allah :
“Patutkah mereka berkehendak kepada hukum-hakam
jahiliyyah? Padahal (kepada orang yang penuh keyakinan) tidak ada sesiapa yang
boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah.” – Surah Al-Maidah :
50
6- Jumud ke atas fatwa yang lama tanpa meraikan perubahan yang berlaku
Hukum dalam konteks ijtihadiyyah ke atas furu’ dan dalil yang zhonni
adalah berubah mengikut faktor-faktor yang terikat. Hal ini jelas bahawa di
dalam Islam adanya kontek thawabit iaitu tidak berubah dan ia dalam konteks
perkada usul. Berbeza dengan konteks furu’ maka hukum boleh berubah mengikut
perubahan yang berlaku dan sewajarnya.
Dan ini perbahasan yang panjang dalam perbincangan ulama. Namun apa yang
jelas ialah sekiranya, fatwa yang berkaitan dengan furu’ adalah berubah bagi
meraikan maslahat umum yang semasa kerana syariat Islam adalah bersesuaian
sepanjang zaman dan di mana jua tempat. Disebabkan itu, Dr Yusuf Al-Qardhawi
menyebutkan bahawa konsp wasatiyyah dalam Islam ialah kita menjaga prinsip
thawabit dan mutaghaiyirat (berubah-ubah), bukannya hanya berpandukan hadfiyyah
semata-mata seperti Mazhab Zohiriyah dan menolak nas-nas yang jelas seperti
yang dibawa oleh ideologi barat yang menolak nas-nas yang jelas kemudian
mencipta sesuatu etika dengan beralasan maslahat.
KESIMPULAN
Fatwa merupakan jawapan kepada permasalahan semasa yang berlaku. Ia
menunjukkan bahawa Islam menjaga maslahat manusia sepanjang zaman. Hal ini
dengan menjadikan segala persoalan dan permasalahan yang berlaku adalah menurut
pandangan Islam.
Mufti adalah orang yang diamanahkan dalam mengeluarkan fatwa. Maka sudah
tentu ia paling layak di sisi masyarakat awam. Justeru, mufti mestilah
memainkan peranan yang jelas dalam menyampaikan mesej agar masyarakat dapat
memahami hukum Islam dengan baik.
Sehubungan itu, 6 faktor utama ini mestilah dijaga dengan baik, agar
fatwa yang dikeluarkan dilihat mempunyai kredibiliti yang tinggi dan ia
mengaitkan dengan imej institusi yang membawa dan menjaga agama Islam sebagai
konteks agama rasmi.
Ulama terdahulu tetap berpegang dengan kebenaran walaupun dikenakan
pelbagai seksaan. Hasil pegangan mereka yang teguh terhadap kebenaran, manusia
kini dapat merasai nikmat Islam di seluruh dunia.
Akhirnya, pihak MANHAL PMRAM melihat fatwa merupakan senjata uatama
dalam menerangkan Islam itu syumul dan sesuai sepanjang zaman. Justeru, pihak
yang dipertanggungjawabkan mestilah menjaga kredibiliti fatwa dan imej
institusi yang menjaga urusan agama Islam.
Wallahu a’lam
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012
Rujukan :
1- Al-Fatwa Baina Al-Indibat Wa At-Tasayyub, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi,
cetakan Maktabah Wahbah
2- Fiqh Al-Islam Wa Adillatuh, oleh Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-1,
cetakan Dar Al-Fikri
3- Mujibat Taghaiyur Al-Fatwa Fi 'Asrina, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi,
cetakan Dar Al-Sharouq
No comments:
Post a Comment