PERUBAHAN
DAN KEBANGKITAN
Di sana terdapat perbezaan antara “tajdid”
dan “jaded”. Kalimah “ad-Din al-Jadid” memberi maksud yang
bercanggah dengan syariah, kerana terjemahannya adalah “agama yang baru”.
Adapun kalimah “Tajdid ad-din” pula adalah kalimah keramat yang mulia
dan layak diungkapkan dalam skop perbincangan ilmiyyah dan perlaksanaan.
Tajdid atau terjemahan Melayunya “pembaharuan”,
atau telah dimelayukan juga kepada kalimah “reformasi”.
Tajdid ad-din bermaksud, gerakan untuk melakukan
pembaharuan terhadap agama. Gerakan memperbaharukan agama bukan bermaksud
mewujudkan agama baru, tetapi mengembalikan agama yang sudah ditinggalkan.
Usaha mentajdidkan agama ini bukanlah satu lontaran retorik dan hipokrit, tetapi
ianya adalah perkara yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW.
Al-Hakim An-Naisaburi menukilkan satu hadis dalam
kitabnya;
عن
أبي هريرة رضي الله عنه ولا أعلمه إلا عن رسول الله (ص) قال إن الله يبعث إلى هذه
الأمة على رأس كل مائة سنة من يجدد لها دينها
Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah, dan aku
tidak mengetahuinya melainkan daripada Rasulullah SAW bersabda,
"Sesungguhnya Allah membangkitkan kepada umat ini atas awal setiap seratus
tahun mereka yang akan mentajdidkan baginya agamanya."
Dalam hadis ini, Rasulullah sendiri telah
mengungkap kewujudan manusia yang akan melakukan tajdid dalam agama. Mereka
berusaha ke arah mengembalikan manusia kepada ajaran Islam yang telah
ditinggalkan oleh manusia, khususnya orang Islam sendiri.
Bagi membasmi pemikiran karut meracuni pemikiran
dan amalan umat Islam, baginda SAW menyatakan tentang kewujudan manusia yang
beriman untuk mengembalikan mereka kepada Islam mengikut acuannya yang betul.
Kehadiran golongan yang mengembalikan mereka kepada Islam dalam bentuk yang
betul itu dinamakan sebagai “mujaddid”
Walaupun
kebanyakan ulama melihat bahawa kalimah ‘man’ itu merujuk kepada
individu, tetapi beberapa ulama terkemuka seperti Ibn al Athir dan al Hafiz al
Zahabi pula melihat ianya bukanlah satu kemestian, bahkan ianya mungkin
bermaksud satu kumpulan ulama yang bersama – sama membawa tajdid agama.
Dan, alangkah baiknyaa jika kumpulan ulama yang
melakukan tajdid ini membentuk satu madrasah atau gerakan pemikiran dan amal
yang tersusun dan saling bahu - membahu. Inilah syarah terhadap al hadis di
atas yang paling baik dan realiti (waqiey) untuk kebangkitan umat Islam
hari ini mengikut pandangan al Syeikh Yusuf al Qaradhawi.
ULAMA
YANG MEMIMPIN KEBANGKITAN DAN PERUBAHAN
Perjuangan tajdid agama adalah disinonimkan dengan
keadaan yang apabila lahirnya pemikiran meninggalkan agama. Atau dalam keadaan
manusia menganggap sesuatu amalan yang tidak Islam sebagai Islam.
Dengan kelahiran Imam Ibnu Taimiyyah, Muhammad bin
Abdul Wahab, Ibnu Al-Qayyim, Abu Hasan Al-‘Asyari, Hassan Al-Banna, Sayyeq
Qutb, al-Maududi, Imam Ahmad bin Hanbal dan sebagainya adalah membuktikan
bahawa mereka ini adalah golongan telah berusaha ke arah pentajdidan yang
sesuai di zaman mereka.
Golongan Mujaddid yang lahir di kemudiannya, dengan
gaya tajdid yang dipimpin oleh mereka tidak pernah memperlekehkan golongan
mujaddid yang terdahulu.
Kita membaca perjuangan Imam Ahmad bin Hanbal (w
241 H) yang telah “berpeluh” dalam menghadapi golongan Muktazilah sehingga dia
dipenjara oleh Muktazilah yang memerintah, iaitu zaman pemerintahan Al-Ma’mun
yang telah terpedaya dengan dakyah Muktazilah dari seorang “ulama” muktazilah
yang bernama Ahmad bin Abi Daud.
Perjuangan itu telah disambung oleh murid-murid
beliau yang dikenali sebagai golongan Hanabilah. Perjuangan mereka melawan
Muktazilah dengan method Imam Ahmad bin Hanbal telah menyebabkan pertembungan
hebat antara Muktazilah dan Ahli As-Sunnah ketika itu.
Selepas daripada itu, lahir pula seorang tokoh yang
tidak kurang juga hebat dalam menghadapi golongan Muktazilah, iaitu Imam Abu
Hasan Al-‘As’ari (W 324 H). Cara tokoh ini berserta pengikut-pengikutnya
menghadapi Muktazilah agak berbeza dengan cara yang dipersembahkan oleh
golongan Hanabilah.
Daripada itu, kita dapat melihat bagaimana
“keharakian” yang wujud dalam jiwa mujaddid-mujaddid ini dalam menghadapi musuh
di zaman mereka.
ASPEK-ASPEK
KEBANGKITAN ISLAM (TAJDID)
Berikut ini adalah berbagai aspek yang diprogramkan
bagi sesuatu kebangkitan Islam (Tajdid).
1. Mengenalpasti penyakit-penyakit zaman
kini:
Mengadakan diagnosis penyakit yang menjangkiti di
dalam lingkungannya. Lantaran itu ahli gerakan tajdid perlu memandang segala
masalah yang timbul di zamannya dan dapat mengetahui di mana jahiliyyah itu
bersembunyi dan memulai operasinya di kalangan masyarakat itu.
Kemudian bagaimanakah caranya yang harus
dilaksanakan untuk mengatasinya. Mereka juga perlu mengetahui sejauh mana
jahiliyyah itu menyebarkan pengaruhnya dalam kehidupan ini, dan apa pula
peranan Islam dalam menghadapi kenyataan tersebut.
2. Rancangan pembaharuan:
Mengambil keputusan yang pasti di mana harus
dilakukan serangan untuk melumpuhkan kekuatan jahiliyyah dan memungkinkan Islam
menguasai seluruh kehidupan.
3. Penilaian batasan dan keupayaan:
Harakah mestilah dapat menimbang dan menghitung
kekuatan yang ada pada seseorang serta menentukan garis-garis amliahnya dan
langkah-langkah untuk membawa perubahan.
4. Perubahan Pemikiran:
Membentuk pemikiran, iman dan pandangan akhlak
masyarakat ke dalam acuan Islam, memperbaharui sistem pendidikan dan
menghidupkan kembali ilmu-ilmu pengetahuan dan sikap sikap ke-lslaman secara
umum.
5. Penukaran secara Amali:
Membenteras tradisi-tradisi jahiliyyah, memurnikan
akhlak dan memberi rangsangan jiwa untuk melaksanakan Syariah, dan
mempersiapkan individu-individu yang mampu melaksanakan kepimpinan Islam.
6. Ijtihad:
Memahami asas-asas yang mendasar dalam agama,
menilai kebudayaan yang dianuti pada ketika itu serta pelbagai kecenderungannya
dari sudut pandangan Islam. Lalu menentukan perubahan-perubahan yang ingin
dihasilkan sesuai dengan pola-pola kehidupan sosial yang berlaku berdasarkan
Syariah untuk mencapai tujuan-tujuan tertentu, dan agar Islam mampu memimpin
dunia dalam susunan masyarakat baru kelak.
7. Pertahanan Islam:
Mengimbangi kekuatan-kekuatan politik yang hendak
melenyap dan menghancurkan kekuatan Islam. Mematahkan kekuasaan jahiliyyah agar
Islam menjadi suatu kekuatan yang hidup.
8. Tajdid (menghidupkan kembali) sistem
Islam:
Mencabut kembali kekuasaan itu dari tangan-tangan
jahiliyyah dan menegakkan hukum menurut peraturan Islam, yang oleh syara'
dikenal dengan nama "khalifah berdasarkan sistem nubuwwah".
9. Revolusi 'Alamiyyah
Berusaha untuk mengadakan pergolakan `alamiyyah
dengan pengertian tidak memadai menegakkan hukum Islam itu dalam sesuatu daerah
tertentu sahaja, atau di daerah-daerah yang memang majoritinya beragama Islam.
Tetapi gerakan universal ini harus bangkit dengan teguh, mengawal meluasnya
da'wah Islamiyyah di seluruh penjuru dunia. Sehingga dengan demikian kebudayaan
Islam menjadi kebudayaan yang sedang bertahta di Barat dan di Timur. Kini tiba
giliran Islam untuk tampil sebagai pimpinan dunia, baik dari segi akhlak cara
berfikir mahupun politik.
PERANAN GERAKAN KEBANGKITAN DAN PERUBAHAN
Sebuah gerakan kebangkitan dan perubahan mestilah
memainkan peranan yang utama di dalam gerakan tajdid Islami dan mengembalikan
semula hak Islam untuk memimpin kehidupan seluruhnya selepas berjaya
menghilangkan segala halangan yang menghalang.
Tajdid yang perlu dilaksanakan hendaklah tertumpu
kepada dua perkara utama;
Pertama, membentuk sebuah pasukan Islam yang mampu
memimpin masyarakat hari ini dengan Islam yang benar dan menyeluruh dan
merawati penyakit mereka dengan penawar bersumberkan Islam itu sendiri. Pasukan
Islam ini hendaklah memiliki tiga sifat utama; iman yang mendalam, kefahaman
yang jelas dan ikatan yang kukuh.
Kedua, membentuk pandangan umum rakyat majoriti yang
menyokong pasukan Islam tersebut dan memberikan bantuan dan kasih sayang mereka
kepadanya selepas mengenali matlamat perjuangan dan melihat keikhlasan dan
kekuatan mereka.
Pandangan umum sejagat yang positif inilah yang
akan membuka dada mereka untuk menerima kehadiran dan hak umat Islam untuk
menyusun kehidupan mereka berlandaskan hukum agama mereka sendiri di dalam
negara umat Islam yang majoriti sebagaimana ianya bertepatan dengan seruan
demokrasi yang dilaungkan oleh dunia mereka sendiri.
EMPAT LAPANGAN YANG PERLU DIUTAMAKAN
Dr Yusuf al Qaradhawi berpendapat bahawa pemusatan
dan kesegeraan hendak digerakkan kepada empat lapangan amal yang paling penting
untuk diterokai dengan jayanya iaitu;
Pertama, di alam lapangan pemikiran hendaklah
diberi tumpuan yang mendalam dan pencerahan yang baru ke atas beberapa
kefahaman Islam yang penting. Ini dinamakan al fiqh al jadid. Di
antara kefahaman yang mesti diketengahkan ialahfiqh al awlawiyah, fiqh
al muazanah dan fiqh al maqasid.
Kedua, di dalam lapangan dakwah hendaklah
ditumpukan kepada beberapa sektor dan kelompok masyarakat yang tertentu yang
berpengaruh. Rakyat marhaen mestilah diselami kehidupan mereka. Kelompok
perniagaan, bidang – bidang kewanitaan dan golongan akademik sebagai contoh
adalah medan yang perlu dimedani dan dikuasai.
Ketiga, di dalam lapangan tarbiyah hendaklah
ditumpukan kepada pembinaan kualiti yang tertentu ke atas kelompok kepimpinan
masa depan terutama di dalam sudut fikrah dan iman. Inilah medan paling utama.
Inilah kumpulan hari ini yang mengambil peranan kumpulan sahabat di zaman
RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.
Keempat, di dalam lapangan politik hendaklah
ditumpukan kepada pemajuan pemikiran dan praktikalnya di dalam politik hubungan
dalam dan luar negari termasuk dengan non muslim, agar dapat
keluar daripada masalah dalaman dan sekatan oleh pihak luar selain merealitikan
maksud ke’alamiahan Islam. Kefahaman politik yang terlalu dibayangi ujian dan
serangan musuh yang mewujudkan politik perang, politik ekslusif dan politik
taqlid hendaklah diperbaharui kefahamannya agar gerakan Islam terus maju atau
setidak – tidaknya tidak terus ketinggalan di dalam memahami seterusnya
memimpin umat.
PENUTUP
Gerakan perubahan dan kebangkitan mestilah memiliki
segala ciri – ciri gerakan hizbuLLah demi mendapat janji kemenangan daripada
Allah.
Gerakan tersebut hendaklah sentiasa membuka pintu
kepada lambaian tajdid Islami terutamanya pada zaman kini yang semakin cepat
berkembang dan berubah. Apapun, yang lebih penting adalah menjaga keaslian
sebuah gerakan dakwah nabawiyah untuk umat manusia sejagat.
Rujukan :
1) Al-Quran.
2) Hadis Nabawiyyah.
3) Al-Mustadrak ‘Ala Sahihain :
4/567 : hadis no : 8592.
4) Abul Ala Al Maududi (1988)
Harakatul Tajdid al-Islami.
5) Al-Qaradhawi : Sohwatul
Islamiyyah.
Ditulis oleh :
Ahmad Ulwan Hassim
Kuliah Usuluddin,
Universiti Al-Azhar, Kaherah
*** artikel ini telah disemak oleh anggota
Felo MANHAL PMRAM 2012
Sumber : manhal-pmram
No comments:
Post a Comment