Definisi
Mogok lapar ialah tunjuk perasaan yang dilakukan
dengan tidak makan dan minum selagimana tidak dipenuhi tuntutan yang
dikehendaki.
Dalam isu banduan Palestin yang melancarkan mogok
lapar adalah disebabkan kezaliman yang mereka hadapi oleh tentera Israel dalam
menahan mereka dan menindas mereka. Banduan Palestin melancarkan mogok lapar
berhari-hari adalah demi menunjukkan kepada dunia mengenai keadaan yang mereka
hadapi di bawah tahanan tentera Israel dan ia bertujuan agar Israel melepaskan
mereka dan mendapat perhatian dunia bagi membela mereka.
Kisah
Berkenaan Mogok Lapar
Imam
At-Tabrani meriwayatkan, Saad bin Abi Waqas berkata :
“Aku adalah seorang lelaki yang taat dan berbuat
kebajikan kepada ibuku. Maka apabila aku telah memasuki Islam, ibuku (tidak
memeluk Islam) berkata kepadaku : Wahai Saad, tinggalkan agamamu (Islam) atau
aku tidak akan makan serta minum sampai mati (jika kamu tidak tinggalkan
Islam). Maka ketika itu orang arab akan memanggil mu ‘pembunuh ibunya’. Lalu
aku menjawab dengan tegas : Wahai ibuku, janganlah kamu berbuat demikian,
sesungguhnya aku tidak akan meninggalkan agamaku ini selama-lamanya. Lalu ibuku
tadi tidak makan dan minum. Bahkan berhari-hari dengan keazaman yang tinggi.
Melihat demikian, aku berkata lagi : Demi Allah, wahai ibuku, jika kamu
mempunyai 100 nyawa sekalipun, dan satu persatu nyawa tersebut tercabut (mati),
aku tidak akan tinggalkan agamaku ini. Jika kamu mahu makan, maka makanlah,
maka jika kamu tidak mahu makan, maka kamu tidak perlu makan. Apabila ibuku
melihat ketegasanku sebegitu, lantas dia pun makan.”
Kisah di atas merupakan gambaran mogok lapar iaitu
ibu kepada Saad bin Abi Waqas tidak makan dan minum sehinggalah Saad bin Abi
Waqas murtad. Ibu beliau melakukan mogok lapar adalah bertujuan supaya Abi
Waqas murtad. Namun atas keimanan yang kuat dan kefahaman yang jelas, Saad bin
Abi Waqas tetap mempertahankan Islam di samping tidak memusuhi atau memutuskan
hubungan dengan ibunya. Hasil atas ketegasan dan hikmah beliau, ibunya berhenti
daripada melakukan mogok lapar dan Saad bin Abi Waqas tidak lagi diugut untuk
murtad daripada Islam.
Firman Allah, dalam Surah Luqman pada ayat ke-15 :
وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ
تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي
الدُّنْيَا مَعْرُوفاً
“Dan
sekiranya mereka berdua (ibu bapamu) mendesakmu untuk kamu mempersekutukan Aku
dengan sesuatu yang engkau tidak mengetahui akannya, maka janganlah engkau taat
pada kedua-duanya, dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik”
Hukum Mogok Lapar Banduan Palestin
Isu yang berlaku mendapat perhatian dunia apatah
lagi ditambah dengan sempena memperingati 64 tahun tarikh Nakbah Palestin
baru-baru ini.
1- Berkenaan dengan hukum mogok
lapar banduan Palestin ini, Dr Yusuf Al-Qardhawi berfatwa bahawa :
“Harus bagi mereka melakukan mogok lapar kerana ia
satu-satu cara yang mereka mampu dalam berhadapan dengan kezaliman, dan cara
tersebut memberikan tekanan kepada kafir (harbi). Maka setiap apa cara yang
memberikan tekanan kepada musuh kafir adalah perkara yang dipuji oleh syara’
sebagaimana ayat Al-Quran :
“Mereka diibaratkan sebagai pokok tanaman yang
mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya
sehingga ia menjadi kuat lalu ia tegap berdiri di atas pangkal batangnya dengan
keadaan yang mengkagumkan orang yang menanamnya. Allah menjadikan sahabat dan
pengikut Nabi Muhammad SAW kembang biak serta kuat gagah, demikian itu, kerana
Dia hendak menjadikan orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki
dengan kembang biak umat Islam itu.” – Surah Al-Fath : 29
“Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka
merasai dahaga, , penat lelah dan lapar di jalan Allah, dan mereka menjejakkan
sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang kafir, dan juga mereka menderita
sesuatu yang mencederakan daripada pihak musuh, semua itu ditulis bagi mereka
pahala amal yang soleh.” – Surah At-Taubah : 120
Maka cara mogok lapar ini memberikan tekanan dan
kemarahan kepada pihak musuh kafir. Ia menyebabkan suara banduan yang dizalimi
tersebut didengari oleh dunia dan membangkitkan isu mereka ditindas dan dunia
akan membantu mereka. Maka ia merupakan perkara yang disuruh bahkan terpuji,
akan tetapi dengan syarat bahawa mogok lapar tersebut tidak sampai menyebabkan
mereka mati. Hal ini demikian kerana diri mereka bukanlah milik mereka, tetapi
milik Allah. Justeru berdasarkan kepada maksud ayat Al-Quran :
“Janganlah kamu membunuh diri-diri kamu.
Sesungguhnya Allah amat mengasihani akan kamu.” – Surah An-Nisa’ : 29
2- Syeikh Faisal Mawlawi, Timbalan
Presiden Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah berkata (no fatwa 1033):
“Harus banduan yang dizalimi (umum tidak hanya
kepada banduan Palestin di dalam tahanan Israel sahaja) melakukan mogok lapar
sekiranya cara ini satu-satu cara bagi menunjukkan hak kemanusiaan mereka
dicabuli dan dizalimi. Namun begitu, perkara tersebut mestilah dijaga dengan
beberapa syarat agar ia tidak bertentangan dengan syariat iaitu :
- Mogok lapar tersebut tidaklah
sehingga menyebabkan mereka mati. Hal ini demikian akan menyebabkan menyerupai
dengan bunuh diri. Hukum bunuh diri adalah haram.
- Mereka yang melakukan mogok lapar
tidak berniat puasa. Hal ini demikian kerana puasa adalah ibadah. Dan terdapat
larangan dalam puasa yang berhari-hari yang tidak berbuka (Jumhur Ulama
mengatakan puasa yang tidak berbuka dan berhari-hari adalah haram).
3- Syeikh Soleh Fauzan berfatwa
mengenai hukum mogok lapar ialah :
“Hukum orang yang melakukan mogok lapar sehingga
dia mati adalah haram kerana ia dikira sebagai membunuh diri. Adapun jika
melakukan mogok lapar secara bertempoh iaitu tidak sehingga mati, dan dengan
cara mogok lapar tersebut merupakan satu-satunya cara bagi melepaskan diri dari
kezaliman dan memperoleh kembali hak mereka, maka ia adalah dibolehkan.”
Adakah Mogok Lapar Ialah Membunuh Diri Dan
Kebinasaan?
Terdapat juga beberapa pihak yang tidak bersetuju
dengan mogok lapar kerana berhujahkan ia merupakan penyebab kepada bunuh diri.
Hukum bunuh diri adalah jelas haram berdasarkan kepada maksud ayat Al-Quran :
“Janganlah kamu membunuh diri-diri kamu.
Sesungguhnya Allah amat mengasihani akan kamu.” – Surah An-Nisa’ : 29
Dan mogok diri juga merupakan penyebab kepada
kebinasaan diri sebagaimana dalam larangan Allah dalam ayat Al-Quran yang
bermaksud :
“Janganlah kamu mencampak diri kamu ke lembah
kebinasaan” –
Surah Al-Baqarah : 195
Jawapan : Mogok lapar ialah menahan diri daripada makan dan
minum selagimana tuntutan mereka tidak diberikan. Bunuh diri ialah memang cara
yang jelas bertujuan membunuh. Disebabkan itu ulama’ yang menghukumkan harus
untuk banduan yang dizalimi tersebut untuk mogok lapar meletakkan syarat cara
mogok lapar tersebut tidak menyebabkan kematian. Justeru apabila mogok diri
yang tidak menyebabkan kematian bukanlah dinamakan sebagai bunuh diri dan ia
terkeluar daripada larangan ayat Al-Quran tersebut.
Manakala mogok lapar bukanlah termasuk dalam
larangan mencampakkan diri ke lembah kebinasaan. Hal ini demikian kerana,
larangan termasuk adalah ke atas mereka yang meninggalkan jihad. Ini
berdasarkan kepada sebab penurunan ayat tersebut (Surah Al-Baqarah : 195) :
Imam At-Tabari meriwayatkan daripada Aslam Abi
‘Amran, beliau berkata :
“Kami di Istanbul, dan umat Islam di Mesir di bawah
pemerintahan Uqbah bin ‘Amir dan umat Islam di Syam di bawah pemerintahan
Fadhalah bin Ubaid. Maka tentera Rom telah datang dengan sekumpulan yang sangat
ramai untuk berhadapan dengan tentera Islam. Sehubungan itu melihat kepada
tentera Rom yang ramai tersebut, terdapat orang yang menjerit : “Kita akan
binasa (kerana ramainya tentera Rom)”. Lalu bangun Abu Ayub Al-Ansori dan
berkata : Wahai manusia, kamu mentakwilkan kebinasaan dalam ayat ke-195 pada
surah Al-Baqarah sebegitu? Sesungguhnya sebab penurunan ayat tersebut berlaku
pada zaman kami dan ke atas kami golongan Ansar, ketika mana Allah telah
memuliakan kami dengan agama-Nya dan harta kami banyak. Terdapat beberapa orang
yang berkata senyap-senyap tanpa pengetahuan baginda SAW bahawa mereka khuatir
akan kehilangan atau kemusnahan harta mereka, disebabkan itu ingin meninggalkan
jihad. Lalu Allah menurunkan ayat tersebut yang mana maksud bagi mencampakkan
diri ke lembah kebinasaan adalah meninggalkan jihad demi menjaga kemewahan
harta.” Disebabkan itulah diriwayatkan bahawa Abu Ayub Al-Ansori akan menyertai
setiap peperangan sehinggalah diwafatkan oleh Allah dan beliau dikebumikan di
Istanbul kerana membenarkan hadis Nabi SAW berkenaan pembukaan Kota Istanbul
akan terlaksana di bawah seorang pemimpin yang terbaik serta tentera yang
terbaik. – Tafsir Ayat Al-Ahkam jilid 1, karangan Syeikh Muhamad Ali As-Sobuni
Justeru, yang dimaksudkan dengan mencampakkan
diri ke lembah kebinasaan ialah meninggalkan jihad demi kepentingan dunia.
Adapun mogok lapar ini sebagaimana yang diharuskan oleh ulama ialah satu-satu
cara yang mampu dilakukan oleh mereka dalam berjihad iaitu dengan menyampaikan
mesej kepada dunia bahawa mereka dizalimi. Maka ia terkeluar daripada larangan
ayat Al-Quran tersebut.
Kesimpulan
Umat Islam wajib berjihad dalam apa jua sekalipun
mengikut kemampuan mereka. Hal ini demikian kerana kezaliman wajib dihapuskan dan
diperangi.
Mogok lapar merupakan salah satu cara yang terakhir
mampu dilakukan oleh banduan yang dizalimi bagi menarik perhatian dunia dan
memberikan tekanan kepada pihak musuh.
Ulama mengharuskan mogok lapar ini dengan menjaga
beberapa syarat :
- Jalan terakhir atau satu-satunya
cara bagi melawan kezaliman yang mereka (banduan) termampu
- Tidak menyebabkan ke arah
kematian.
- Tidak berniat ketika melakukan
mogok tersebut dengan niat puasa.
Wallahu a’lam
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012
Rujukan :
1- Fatawa Min Ajli Falestin,oleh Dr
Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
2- Tafsir Ayat Al-Ahkam, oleh Syeikh
Muhamad Ali As-Sobuni, cetakan Dar As-Sobuni
3- Tafsir Al-Jailani, oleh Syeikh
Mahyuddin Abi Muhamad Abdul Qadir Al-Jailani, cetakan Markaz Al-Jailani Lil
Buhuth Al-Ilmiah Istabul
4- Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh,
jilid ke-3 oleh Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Dar Al-Fikr
sumber : manhal-pmram
No comments:
Post a Comment