"Patah tumbuh hilang
berganti", itulah pepatah yang
memberi erti bahawa perjuangan terdahulu pasti akan diteruskan oleh generasi
akan datang. Harapan ini bukanlah gurauan biasa kerana umur dunia semakin tenat
bahkan sudah menjangkau tua dan menuju noktah hentinya. Namun begitu apakah
masih lagi bersisa harapan bahawa generasi mendatang mampu mencipta sejarah tersendiri.
Semakin tua umur dunia ini,
semakin manusia tenggelam hala tuju kehidupan duniawi, seakan-akan tiada lagi
kehidupan selepas ini. Suasana sekeliling mampu mengaburi neraca kewarasan
manusia lalu membias segala keindahan dunia sehingga menjadi satu kebiasaan
tanpa memikirkan hukum Allah SWT.
Ternyata kenikmatan yang
dikurniakan Allah SWT kepada manusia tidak pernah disyukuri sehinggakan wujud
segelintir golongan berbangga dengan segala kemewahannya. Hakikatnya semua itu
sekadar pinjaman belaka namun bisikan keangkuhan menodai akal agar ingkar
daripada tunduk dan patuh pada percaturan Allah SWT.
Keindahan Islam bukan hanya
sekadar pada sudut ibadah semata-mata, bahkan merangkumi segala aspek kehidupan
termasuk pembinaan jati diri dan syakhsiah muslim berteraskan syariat Islam.
Oleh kerana demikian, pepatah " Melentur buluh biarlah daripada rebungnya
" amat relevan dengan realiti
keadaan semasa namun apakah ia benar-benar diaplikasikan atau sekadar pepatah
kosong sahaja.
Menurut Islam, apabila
kanak-kanak sudah mencecah umur 7 tahun maka wajib menunaikan solat manakala
apabila mencecah usia 10 tahun jika meninggalkan solat boleh dipukul sebagai
salah satu cara pendidikan tanda peringatan. Namun realiti masa kini apakah
masih wujud rebung yang dilenturi berdasarkan nilai-nilai Islam atau diberikan
pengetahuan sebagaimana corak kehidupan barat.
Seandainya dihayati perjalanan
kehidupan Nabi Muhammad SAW maka sudah pasti kita akan melihat bagaimana
didikan yang diberikan yang akhirnya membentuk satu ikon modal insan
berkualiti, bukan hanya pada kata-kata bahkan melengkapi segala sifat.
Melalui ruang lingkup kehidupan
sederhana Baginda diajar menjadi seorang pengembala kambing, tanpa kasih sayang
ibu bapa Baginda dibesarkan dengan segala kekurangan, namun itu bukanlah satu
sandaran untuk memilih jalan pintas bagi membelakangi ketentuan Allah SWT.
Tempoh remaja Baginda tidak
pernah dihidangkan dengan kecanggihan teknologi, hanya sekadar mengembala
kambing dan pada sekitar usia 14-15 tahun Baginda telah menyertai Peperangan
al-Fajr yang mempertemukan antara kaum
Quraisy dan kaum Qias. Tugasnya adalah mengumpulkan anak-anak panah untuk bapa
saudaranya. Secara tidak langsung ia mendidik diri Baginda sifat kepahlawanan
dan kesabaran ketika berada di medan perang.
Hasil didikan yang cukup
sederhana ini menatijahkan seorang pemuda yang sangat berpengaruh sehinggakan
digelar Al-Amin dan sebagainya. Walaupun begitu jelas jalan pendidikan yang
dicorakkan Islam, namun apakah golongan pemuda hari ini diberikan pendidikan
rohani yang sewajarnya ataupun dihidangkan dengan hiburan dan keseronokan
melalaikan. Mana mungkin kita mampu merealisasikan ungkapan "Patah tumbuh
hilang berganti" kerana belum tersemai satu jaminan bahawa generasi yang
bakal menggantikan kelak sangat berkualiti bahkan mungkin lebih parah daripada
itu.
Rebung yang tidak dilenturi
dengan penghayatan Islam dan mengenal hakikat sebenar kehidupan seorang muslim
memungkinkan akan lahirnya belia yang memilih kehidupan berkiblatkan
keseronokan dunia semata-mata. Ini memberikan kita satu isyarat kehancuran
ketamadunan dunia semakin hampir jika ia tidak dibendung daripada sekarang.
Sesungguhnya kemuliaan manusia
berbanding ciptaan lain adalah pada akalnya, sekiranya anugerah akal ini
diletakkan bukan pada tempatnya maka kehinaan pada manusia lebih teruk
berbanding ciptaan lain. Jangan biarkan kita adalah generasi terakhir mengecapi
keindahan Islam tetapi jadilah generasi yang berusaha menjulang Islam ke puncak
tertinggi agar manusia sedar bahawa Islam adalah cara hidup terbaik.
"Memartabat Keilmuan
Memimpin Kesatuan"
Unit Biah Solehah
Lajnah Dakwah & Pembangunan
Insan
Persekutuan Melayu Republik
Arab Mesir 2012
Sumber : pmram.org
No comments:
Post a Comment