Wednesday, May 23, 2012

Kepentingan Musyrif



Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud“Sesungguhnya Allah membenarkan kamu hai wanita untuk keluar bagi memenuhi keperluan”(Hr Ahmad). Walaupun begitu Islam menegaskan bahawa tempat bagi seorang perempuan adalah di rumah jika tidak ada sebarang keperluan yang memerlukannya untuk keluar. Allah berfirman, “Dan hendaklah kamu hai wanita duduk menetap di rumah kamu”ayat 33 surah Al-Ahzab.                                    
              
Namun demikian terdapat juga keadaan yang mana Islam tidak menggalakkan perempuan keluar dari tempat tinggalnya iaitu apabila boleh membahayakan keselamatannya atau membawa kepada maksiat.Ini jelas dari hadis Nabi SAW:“Sesungguhnya diri perempuan itu adalah aurat(boleh membawa kepada fitnah).Apabila perempuan itu keluar maka syaitan akan mengawasi dan menghiasi dirinya(sehingga lelaki tertawan dan membuat maksiat)”hadis riwayat Tarmizi.

Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa seseorang perempuan itu berupaya menarik perhatian lelaki dan menggodanya.Ini boleh mendedahkan perempuan tadi kepada bahaya gangguan seksual dan pelbagai lagi fitnah.Fitnah ini lebih banyak terjadi kepada mahasiswi yang belajar di luar negara. Perkara ini disebabkan persepsi masyarakat tempatan yang menganggap mahasiswi asing mudah dikacau dan diganggu kerana tiada yang dapat melindungi mereka. 

Suasana di Mesir tidak menyokong keselamatan yang baik kepada mahasiswi. Telah diketahui umum bahawa perbelanjaan kahwin di Mesir memerlukan belanja yang bukan sedikit sehingga menyebabkan ramai lelaki warga tempatan mesir menangguhkan perkahwinan kerana terpaksa mencari kewangan yang mencukupi terlebih dahulu.Kesukaran untuk berkahwin menyebabkan segelintir dari mereka melempiaskan nafsu bukan melalui saluran yang halal seperti mencabul kehormatan,rogol,dan lain-lain. Dalam Al-Quran ada dijelaskan tentang adanya kejahatan-kejahatan yang banyak pada waktu malam. Allah S.W.T berfirman,


“Dan Aku berlindung dari kejahatan malam apabila ia berlabuh”surah Al-Falaq.Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda “Kalaulah manusia tahu tentang keburukan berjalan seorang diri, nescaya aku tidak akan dapat mengetahui adanya orang yang sanggup berjalan seorang diri pada waktu malam”. 

 Ini menunjukkan bahawa waktu malam adalah sangat berbahaya terutama kepada perempuan yang dijadikan Allah SWT kurang dari segi kekuatan fizikal berbanding lelaki.Kurangnya kekuatan fizikal memerlukan bantuan lelaki untuk melindungi dan membantu mereka. Dalam surah Al-Qasas ayat 23 dan 24 ada disebut kisah dua orang anak perempuan Nabi Syuib yang berusaha untuk mengambil air namun tidak berjaya kerana ramainya orang.Lalu datanglah Nabi Musa AS membantu mereka.Dalil ini menunjukkan bahawa bilangan perempuan yang ramai juga memerlukan bantuan lelaki dalam keadaan-keadaan tertentu

Sememangnya menjadi kewajipan bagi mahasiswi untuk tidak mendedahkan dirinya kepada bahaya. Firman Allah SWT “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan”surah Al-Baqarah ayat 195.Nabi SAW juga bersabda “Janganlah melakukan perkara yang memudharatkan diri kamu dan diri orang lain.”riwayat Ibnu Majah.

Kes-kes mahasiswi Malaysia yang menerima ganguan seksual daripada orang Arab di Mesir ini bukanlah satu perkara yang dapat dirahsiakan lagi.Sebab itulah diwujudkan sistem musyrif di bumi Mesir ini iaitu untuk membantu dan melindungi keselamatan mahasiswi dari diganggu.Sesungguhnya mahasiswi yang keluar malam tanpa pantauan musyrif adalah mendedahkan diri kepada bahaya dan boleh membawa kepada kemudharatan.
                                
Oleh : Unit Tugas-tugas Khas BPSR KPIPM 2011/2012

No comments:

Post a Comment

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2024/2025

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIP...