Definisi
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ke-4,
pilihanraya memberikan maksud membuat pemilihan dengan cara mengundi yang
dilakukan oleh semua orang. Iaitu dalam konteks negara Malaysia, pilihanraya
ialah satu sistem yang dilakukan oleh warganegara yang mencukupi syarat-syarat
untuk mengundi melakukan undian ke atas calon-calon yang bertanding samada yang
membabitkan di peringkat negeri atau parlimen.
Pilihanraya merupakan satu satu konsep dalam sistem
demokrasi yang dijalankan oleh Negara kita selain kebebasan bersuara, kebebasan
berhimpun, kebebesan media dan sebagainya.
Justeru, pilihanraya merupakan satu sistem dalam rakyat
memilih calon wakil mereka untuk dilantik sebagai pemimpin samada di peringkat
negeri atau parlimen. Pemilihan tersebut dilakukan dengan cara mengundi salah
seorang daripada calon-calon yang layak bertanding.
Konsep Pemilihan Dalam Al-Quran Dan
Hadis
Dalam Al-Quran dan hadis secara tidak langsung banyak
memaparkan kisah atau sejarah terdahulu serta sirah yangh berlaku di zaman Nabi
SAW berkenaan dalam memilih seseorang atau lebih untuk sesuatu penentuan.
Justeru, konsep pemilihan ini merupakan salah satu cara untuk menaikkan
seseorang atau melantik seseorang.
Bahkan pilihanraya sebagaimana yang diberikan definisi
asas ialah memilih seseorang untuk dilantik sebagai pemimpin. Hal ini ada
disebut dan kalimah yang digunakan samada dalam Al-Quran samada خ ,
ي , ر atau ص
, ف , و yang memberikan makna memilih.
Antaranya ialah :
1- Dalam
Surah Al-A’raf, pada ayat ke-155 yang bermaksud :
“Dan Nabi Musa telah memilih 70 lelaki dari kaumnya (untuk dibawa
bersama ke Gunung Thursina) pada waktu yang telah kami tetapkan.”
2- Surah
Taha, pada ayat ke-13 yang bermaksud :
“Dan Aku telah memilihmu menjadi rasul, maka
dengarkanlah apa yang akan diwahyukan kepadamu.”
3- Surah
Ad-Dukhan, pada ayat ke-32 yang bermaksud :
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah memilih mereka dengan berdasarkan pengetahuan
(Kami) – menjadi lebih pangkatnya lebih dari penduduk dunia (pada zaman itu)”
4- Surah
Shad pada ayat ke-47 yang bermaksud :
“Dan sesungguhnya mereka di sisi Kami
adalah dari orang-orang pilihan yang sebaik-baiknya.”
5- Surah
Al-Isra’ pada ayat ke-40 yang bermaksud :
“Patutkah Tuhan mengambil dari
makhluk-makhluk yang diciptakan-Nya menjadi anak-anak perempuan-Nya dan Dia mengutamakan
dengan memilih kamu dengan anak-anak lelaki?”
Berdasarkan ayat-ayat Al-Quran di atas, kesemuanya
menunjukkan perkataan memilih atau pilihan yang menjadi kata dasar. Dan inilah
konsep pemilihan dalam sejarah dan kisah-kisah yang dibentangkan melalui
Al-Quran.
Adapun dalam hadis-hadis, antaranya ialah :
1- Ketika
berlakunya perjanjian Aqabah yang ke-2, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Keluarkan (tampillah) daripada
kalangan kamu kepadaku akan 12 wakil sebagai lantikan naqib ke atas kaum-kaum
mereka.” Kemudian lantas keluar 12 wakil dengan dilantik sebagai
naqib, 9 daripada mereka dari kalangan Khazraj, bakinya daripada Aus.[2]
Jelas berlakunya pemilihan daripada kalangan rombongan
dari Madinah yang berjumpa dengan baginda SAW untuk mengambil perjanjian Aqabah
yang ke-2 yang datang sejumlah 70 orang (dalam riwayat lain seramai 72 orang).
Pemilihan berlaku ke atas mereka untuk menaikkan 12 wakil daripada kalangan
mereka sebagai naqib.
2- Dalam
kisah pemilihan khalifah yang ke-3 selepas kewafatan Saidina Umar Al-Farouq,
maka para sahabat yang menggotai majlis syura telah berkumpul dan menyatakan
pandangan dalam memilih seorang sahabat. Lalu Zubair menyatakan pilihannya
iaitu Ali bin Abi Talib. Talhah pula memilih Usman bin Affan. Sa’ad pula pula
memilih Abdul Rahman bin Auf. Maka terdapat 3 calon dalam menggantikan tempat
khalifah iaitu Ali bin Abi Talib, Usman dan Affan dan Abdul Rahman bin Auf.
Hasil perbincangan selepas itu, Saidina Usman bin Affan dilantik menjadi
khalifah yang ketiga[3].
Dalam peristiwa tersebut menunjukkan berlakunya pemilihan
dan undian ke atas 3 calon. Hasil keputusan syura menunjukkan Saidina Usman
dipilih sebagai khalifah yang ketiga.
Kesemua ayat-ayat Al-Quran dan hadis serta sirah si atas
menunjukkan wujudnya pemilihan dalam melantik seseorang atau lebih. Bahkan ayat
yang digunakan juga menunjukkan makna memilih. Walaupun situasi tidak sama
sebagaimana pilihanraya yang berlaku pada hari ini namun makna dari sudut
bahasa iaitu “memilih” ada dinyatakan. Situasi yang berlaku pada hari ini adalah
berbuah namun konsep pemilihan tetap berlaku mengikut situasi semasa.
Pilihanraya Dari Kacamata Islam
Pilihanraya merupakan salah satu sistem dalam pengamalan
demokrasi di Negara Malaysia. Pilihanraya memberikan hak kebebasan kepada
mana-mana individu untuk bertanding sebagai calon dan rakyat bebas memilih
siapa sahaja yang dirasakan daripada calon-calon yangh bertanding untuk
menjalankan amanah dengan baik dan amanah.
Perbahasan dengan demokrasi adakah menurut Islam atau
tidak boleh rujuk di artikel yang lepas di : http://www.manhal.pmram.org/2012/05/demokrasi-dari-kacamata-islam.html
Hasilnya, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa
demokrasi yang menurut Islam sebagaimana yang telah dijalankan oleh
negara-negara Islam pada hari ini bukanlah sebagaimana yang dibawakan oleh
pihak Barat. Akan tetapi demokrasi yang menurut Islam adalah digunakan dalam
sudut politik iaitu dalam memilih pemimpin, konsep menasihati, amar makruf nahi
mungkar dan konsep mesyuarat atau syura. Ia berbeza dengan doktrin pihak Barat
dalam pembawakan demokrasi yang menyerahkan kuasa mutlak kepada manusia
sehingga melebihi syara’.
Demokrasi yang dituntut dalam Islam memberikan kebebasan
kepada rakyat untuk memilih serta mengundi wakil mereka sebagai pemerintah
untuk melaksanakan amanah dalam bidag tugas pentadbiran Negara adapun dalam
bidang syara’ ia tidak mencampuri. Pemimpin menjaga had dan batasan syara’ agar
ia terpelihara dan suci dari sebarang pencerobohan dengan memastikan Islam
dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Justeru, Ulama berselisih pendapat berkenaan dengan hukum
ke atas pilihanraya. Majoriti ulama dan pendapat yang digunapakai oleh
negara-negara Islam pada hari ini ialah pandangan yang mengharuskan
pilihanraya. Antara ulama yang menyokong pandangan ini ialah Syeikh Muhamad Rashid
Redha, Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, Syeikh Muhamad Abu Zuhrah, Abu
Al-A’la Al-Maududi, Abdul Qadir Audah, Dr Abdul Karim Zaidan dan Dr Yusuf
Al-Qardhawi.[4]
Hujah-hujah yang menyatakan bahawa pilihanraya adalah
harus ialah :
1- Berdasarkan
kaedah hukum asal bagi sesuatu perkara (dalam konteks urusan keduniaan) adalah
harus selagimana tidak ada nas yang menunjukkan ia adalah diharamkan.
الأصْلُ في الأَشْياءِ الإِباحَةُ
2- Sistem
pilihanraya pada zaman sekarang merupakan daripada urusan dunia maka tidak
bermasalah untuk memperbaharui, mengubah teknikel dan sebagainya. Apa yang
penting, tujuannya adalah melantik seseorang pemimpin. Teknik dan cara adalah
terpulang kepada kebijaksanaan dan kesesuaian masa tersebut.
Lihat perbahasan terperinci pada artikel lepas di :http://www.manhal.pmram.org/2012/05/nabi-saw-tidak-pernah-lakukan-hujah.html
3- Pilihanraya
seumpama konsep bai’ah[5] iaitu perjanjian ke atas pemimpin yang
dilantik, ia dapat dilihat pada undian yang dilakukan iaitu seseorang akan
memilih calonnya yang diredhai dan dipersetujui untuk calon tersebut menjadi
pemimpinnya.
4- Banyak
catatan sirah dan sejarah yang menunjukkan bahawa umat Islam juga menggunakan
teknik yang digunakan oleh pihak luar seperti dalam peperangan Khandak iaitu
menggali parit sedangkan ia merupakan kebiasaan oleh pihak Farsi ketika dalam
peperangan, Saidina Umar di zaman pemerintahannya menubuhkan sistem jabatan
bagi melicinkan pentadbiran dan sebagainya yang mana kesemua tersebut tidak
dilarang dan tidak bercanggah dengan syara’. Ia dinamakan sebagai hikmah :
الحِكْمَةُ ضالَةُ المُؤْمِن فَمَنْ
وَجَدَها فَهُوَ أَحَقُّ بِها
“Kebijaksanaan itu barangan
peninggalan yang tercicir daripada orang mukmin. Maka sesiapa (orang mukmin)
yang mendapatinya maka ia lebih berhak dengannya”
5- Tidak
ada dalil yang menghadkan atau mengkhususkan sesuatu cara dalam melakukan
pemilihan pemimpin. Cara atau teknik adalah terpulang kepada ijtihad yang
bersesuaian dengan masyarakat, masa dan tempat selagimana tidak bertentangan
dengan nas syara’.[6] Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Kamu lebih mengetahui akan urusan
keduniaan kamu.” – muslim
6- Ia
termasuk juga dalam konteks maksud firman Allah berkenaan tolong menolong dalam
perkara kebaikan dan kebajikan, dalam Surah Al-Maidah pada ayat ke-2 :
“Dan tolong menolonglah kamu dalam
perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan tolong menolong dalam perkara dosa dan
melampaui batas”
7- Termasuk
dalam konteks suruhan Allah berkenaan dengan amar makruf nahi mungkar.
Surah Ali Imran pada ayat ke-104 yang bermaksud :
“Hendak ada dari kalangan kamu satu
kelompok yang menyeru ke arah kebaikan dan menyuruh melakukan perkara makrif
serta mencegah kemungkaran, dan merekalah orang yang berjaya.”
Surah Ali Imran pada ayat ke-110 yang bermaksud :
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang
dikeluarkan kepada manusia untuk kamu menyuruh kepada perkara makruf, mencegah
kemungkaran dan beriman kepada Allah.”
Umar AL-Tilmisani, mantan Mursyidul Am Ikhwan Al-Muslimin
berkata :
“Sesungguhnya kita tidak mengejar
akan kemenangan yang dinamakan dengan kemenangan politik. Akan tetapi kita
mengejar akan kemenangan yang hakikatnya pertolongan daripada Allah. Maka apabila
kita memasuki Dewan Rakyat / Parlimen, maka kita tidak menganggap ia sebagai
satu kemenangan mengikut pertimbangan manusia, akan tetapi ia sebagai minbar
atau medium untuk menyampaikan dakwah.”[7]
8- Salah
satu cara dalam mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah yang lepas.
Iaitu dengan menggantikan dengan pemerintah yang adil dan amanah. Serta mampu
membawa suara rakyat serta dakwah ke dalam parlimen. Hal ini termasuk dalam
konteks “kuasa” dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud :
“Sesiapa dari kalangan kamu yang
melihat kemungkaran, maka cegahlah ia dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu
maka cegahlah dengan lisan, maka jika tidak mampu maka dengan hati, dan itu
adalah selemah-lemah iman.”[8]
Dan perbahasan dalam mencegah kemungkaran boleh lihat
dalam artikel lepas yang berjudul “Kewajipan Membebaskan Penjajahan Ke Atas
Syariat Islam” di :http://www.manhal.pmram.org/2012/04/kewajipan-membebaskan-penjajahan-ke.html
9- Menyebarkan
Islam dalam konteks yang lebih luas dan membawa maslahat kepada manusia. Hal
ini demikian kerana Islam tidak hanya tertumpu kepada hubungan manusia dengan
tuhan semata-mata, tidak hanya dalam konteks ibadah khusus semata-mata bahkan
segenap urusan dalam kehidupan manusia.
Al-Imam Hassan Al-Banna menyebutkan bahawa :
“Islam adalah satu sistem yang
menyeluruh yang merangkumi semua aspek dalam kehidupan. Ia adalah negara dan
tanah air ataupun kerajaan dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun
rahmat dan keadilan. Ia adalah kebudayaan dan undang-undang ataupun keilmuan
dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan harta ataupun kerja dan kekayaan.
Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Sebagaimana juga ia
adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama
pengiktibarannya di sisi kita.”[9]
10-Berdasarkan hadis yang menunjukkan
pemilihan pemimpin. Antaranya sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Keluarkan (tampillah) daripada
kalangan kamu kepadaku akan 12 wakil sebagai lantikan naqib ke atas kaum-kaum
mereka.” Kemudian lantas keluar 12 wakil dengan dilantik sebagai
naqib, 9 daripada mereka dari kalangan Khazraj, bakinya daripada Aus.[10]
Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Kamu keluar 3 orang yang bermusafir,
maka hendaklah mereka melantik seorang ketua daripada kalangan mereka.”[11]
Dalam hadis di atas jelas menunjukkan melantik seorang
ketua atau wakil pemimpin melalui pemilihan samada undi mengikut majority atau
kesepakatan bersama.
Bahkan Nabi SAW mengiktiraf akan konsep majority dalam
sabda baginda SAW yang maksud :
Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar dan Umar Al-Khattab
yang bermaksud :
11-Berdasarkan kaedah-kaedah, iaitu :
ما لا يَتِمُّ الواجِبُ إلا به فَهُوَ
واجِب
Sesuatu kewajipan yang tidak akan sempurna melainkan
dengan sesuatu perkara maka ia menunjukkan bahawa perkara tersebut adalah
wajib. Membangunkan negara Islam adalah kewajipan kerana menegakkan syariat
secara menyeluruh tidak dapat tidak mesti dengan pentadbiran sesebuah negara.
Maka tanpa melalui pilihanraya, gerakan Islam tidak akan mampu meraih ruang
kuasa untuk mentadbir negara.
Hukum Mengundi
Ulama berbahas dalam menentukan apakah hukum bagi
mengundi. Terdapat perselisihan ulama dalam menentukan hukumnya. Walaupun
begitu majority ulama meletakkan hukum mengundi sebagai penyaksian iaitu
memberikan saksi bahawa calon yang undi tersebut adalah baik dan layak untuk
memegang amanah sebagai pemerintah.
Pendapat ini digunakan oleh Al-Imam As-Syahid Hassan
Al-Banna, Kesatuan Ulama Sedunia yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi,
Syeikhul Al-Azhar Syeikh Ahmad Tayyib, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah dan
sebagainya.
Justeru warganegara yang layak mengundi wajib mengundi
atas dasar memberikan penyaksian. Jika calon tersebut tidak layak serta tidak
amanah maka ia tidak boleh berkrompomi dengannya. Jika calon tersebut amanah
dan mampu memikul tanggungjawab pemerintah untuk menjaga agama dan maslahat
keduniaan manusia ia mestilah mengundi calon tersebut. Hal ini demikian kerana
memberikan kuasa kepada orang yang akan memberikan kerosakan adalah haram
kerana bersubahat dengannya.
Berkata Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna : “Memberikan undian adalah suatu
penyaksian, manusia akan ditanya akannya (calon mana yang akan dipilih dan
kenapa), maka putuslah untuk memberikan undian berdasarkan hati-hati kamu dan
akal kamu, dan jadilah orang yang membantu akan kebenaran dan berani dalam
memilih calon yang baik (serta amanah)”
Perkara ini disebut oleh Al-Imam As-Syahid pada tahun 1936
sewaktu memutuskan gerakan Islam Ikhwan Al-Muslimin untuk memasuki pilihanraya.
Dan ia menambah lagi bahawa :
- Mengundi
adalah hak bagi semua warganegara dan kewajipan yang mesti dilaksanakan
- Undian
dalam pilihanraya merupakan salah satu penyaksian yang terbesar selain di
padang mashsyar
Ini dikuatkan lagi dengan fatwa yang telah dikeluarkan
oleh Syeikhul Azhar Syeikh Ahmad Tayyin dan Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah
berkenaan dengan undian adalah wajib kerana ia merupakan suatu penyaksian,
sebagaimana yang dikeluarkan dalam surat khabar tempatan Mesir yang bertarikh
28 November 2011.
Sehubungan itu, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa :
“Sesiapa yang memberikan saksi (undian) kepada seorang
yang tidak soleh bahawa lelaki tersebut adalah soleh (layak menjadi pemimpin)
maka ia sesungguhnya orang yang memberikan undi tersebut telah melakukan dosa
dan kesalahan berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Hajj pada ayat ke-30 yang
bermaksud :
“Dan jauhilah kekotoran syirik dan
perkataan yang dusta (menipu)”
Maka sesiapa yang mengundi seseorang calon kerana
kepentingan peribadi seperti kroninya atau kawannya atau kepentingan lain
(selain Islam), maka ia telah melanggar konsep saksi. Sedangkan Allah menyuruh
manusia memberikan saksi kerana-Nya (kepentingan Islam) bukan sebab kepentingan
lain. Berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah At-Thalak pada ayat ke-2
yang bermaksud :
“Dan hendaklah kamu menyempurnakan
penyaksian itu kerana Allah semata-mata”
Dan sesiapa yang tidak mengundi atau tidak memberikan undi
kepada yang selayak (dengan sengaja) ia dikira telah menyembunyikan penyaksian
dan ini bersalahan dengan perintah Allah dalam Surah Al-Baqarah pada ayat 283
yang bermaksud :
“Dan janganlah kamu menyembunyikan
penyaksian, maka sesiapa yang menyembunyikan penyaksian sesungguhnya ia berdosa
akan hatinya”[14]
Kesimpulan
Berdasarkan kepada penerangan-penerangan di atas dapat
disimpulkan beberapa perkara :
- Pilihanraya
merupakan salah satu jihad dalam menegakkan negara yang melaksanakan Islam
dengan sepenuhnya
- Undian
merupakan satu penyaksian. Maka ia merupakan hak dan kewajipan yang mesti
dilaksanakan.
- Islam
tidak menetapkan bagaimana konsep untuk melantik pemerintah, ia terpulang
kepada ijtihad selagimana tidak bercanggah dengan syara’.
Wallahu a’lam
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012
Rujukan :
1- Min
Fiqh Ad-Daulah Fi Al-Islam, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Dar As-Syarouq
2- Al-Intikhabat
; Ahkam Wa Dhawabit, oleh Dr Akram Kassab, cetakan Dar As-Salam
3- Al-Ikhwan
Al-Muslimun Wa Al-Intikhabat, cetakan Al-Basair Lil Buhuth Wa Ad-Dirasat
4- Kitab
Qadhaya Fiqhiyyah Muasorah, bagi Syariah Islamiah tahun 2, Universiti Al-Azhar
5- Nazorat
Fi Risalah At-Ta’lim, oleh Muhamad Abdullah Al-Khatib dan Muhamad Abdul Halim
Mahmud, cetakan Dar At-Tauzik Wa An-Nasyr
6- Al-Qawaid
Al-Fiqhiyyah, oleh Dr Abdul Aziz Muhamad Azzam, cetakan Dar Al-Hadis Al-Kaherah
[4] Tafsir
Al-Manar cetakan Al-Haiah Al-Masriah Al-‘Ammah lil Kitab jilid ke-4, Majalah
Ikhwan Al-Muslimin bil 46 diterbitkan pada 4 November 1994 dan bil 47
diterbitkan 18 November 1994, kitab Tadwin Ad-Dustur Al-Islami oleh Abu Al-A’la
Al-Maududi, cetakan Ad-Dar As-Sa’udiah, kitab Min Fiqh Ad-Daulah Fi Al-Islam
oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi cetakan Dar As-Syarouq m/s 139
[5] Al-‘Alam Al-Islami Baina As-Syura Wa Ad-Demokratiyah, oleh
Abdul Hamid Al-Ansori, cetakan Dar Al-Fikr Al-Arabi
sumber : manhal-pmram
No comments:
Post a Comment