Saturday, April 28, 2012

Ukhwah Bersatu Di Laman Riadhah



Di dalam tubuh, kita mempunyai dua unsur yang saling berkait antara satu sama lain, iaitu rohani dan jasmani. Rohani tanpa dokongan jasmani yang kuat akan menjejaskan ibadah kita kepada Allah, begitu juga sebaliknya. Demi meningkatkan kualiti jasmani selain menjaga pemakanan, riadhah adalah sebagai ikhtiar lain untuk kita untuk menuju jasmani yang yang sihat mengikut landasan syariat yang telah digariskan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Riadhah merupakan aktiviti yang dianjurkan oleh Islam untuk kesihatan tubuh badan kita yang telah dianugerahkan Allah kepada kita. Aktivti ini dilakukan oleh semua golongan samada tua atau muda, lelaki atau perempuan. Ia juga merupakan satu perkara yang penting dalam kehidupan kita selaku seorang muslim. Hal ini bertepatan dengan hadis yang telah disabdakan Nabi Muhammad S.A.W,yang bermaksud “orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan dicintai Allah daripada mukmin yang lemah

Menyedari akan kepentingan riadhah, pihak Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) telah menganjurkan pelbagai aktiviti berbentuk riadhah bagi memastikan kesihatan ahli-ahlinya sentiasa dalam keadaan yang baik. Tambahan pula kita selaku mahasiswa islam yang pastinya memerlukan tenaga yang banyak dalam meneruskan perjuangan untuk menuntut ilmu serta mengerjakan ibadah-ibadah lain.

Di samping itu juga,dalam melaksanakan aktiviti riadhah,pihak KPIPM tidak hanya menumpukan kepada satu matlamat sahaja. Antara matlamat yang lain adalah untuk mengeratkan ukhwah sesama ahli. Seperti yang kita ketahui ukhwah merupakan sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan seorang muslim bagi meneruskan perjuangan Rasulullah untuk menegakkan agama Allah.Firman Allah S.W.T “Sebenarnya orang-orang beriman itu bersaudara” (al-hujurat:10)

Dengan kuatnya ukhwah yang kita bina maka mudahlah gerak kerja kita untuk melakukan sesuatu perkara secara berjemaah. Sesuai dengan firmanNya “hendaklah kamu tolong-menolong dalam berbuat kebajikan dan ketakwaan” (al-maidah:2).

Selain itu, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna juga ada mengatakan bahawa “yang saya maksudkan dengan ukhwah adalah mengikatnya dengan hati-hati dan jiwa-jiwa ini dengan ikatan aqidah,dan aqidah merupakan ikatan paling kukuh dan paling mahal harganya,dan ukhwah adalah saudara keimanan,sementara perpecahan adalah teman dari kekufuran.kekuatan yang utama adalah persatuan dan tidak ada persatuan tanpa cinta,dan cinta yang paling rendah adalah berlapang dada manakala yang paling tinggi adalah ithar

Akhirnya semoga dengan apa yang dikongsikan diatas, sedikit sebanyak dapat membantu kita untuk tetap menjaga ukhwah dan kesihatan lebih-lebih lagi di dalam tempoh imthan ini yang pastinya akan ada ujian dan cubaan datang bertandang. Berusahalah untuk terus istiqamah dalam setiap amal ibadat kita, insyaAllah kita akan beroleh ganjaran pahala di akhirat kelak.

Salam imtihan,bittaufik wannajah..

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM