Monday, April 30, 2012

Bagaimana Mematuhi Jadual Ulangkaji



Ketahuilah bahawa kejayaan dalam banyak perkara sebenarnya bergantung pada waktu yang kita peruntukkan. Kejayaan bukan dapat diraih dalam sekelip mata. Malah, kejayaan yang diperoleh  bergantung kepada penyusunan masa yang baik . Oleh itu, kesabaran, ketekunan dan istiqamah amat penting dalam kehidupan seseorang. Begitu juga merujuk kepada jadual ulangkaji pelajaran sebagai satu wasilah dalam menentukan kejayaan seseorang. Jika ingin mencapai kejayaan yang diimpikan, maka  perlu kita mematuhi jadual ulangkaji tersebut seperti yang telah disusun.

Dalam kehidupan seharian, kita pasti menyedari betapa sukarnya  untuk mendisiplinkan diri dalam mematuhi jadual. Perkara ini berlaku sekiranya kita berada dalam kelompok yang mempunyai jadual. Namun, bagaimana bagi mereka yang tidak mempunyai jadual? Pastinya tidak mampu mengisi hari dengan perkara yang berfaedah mengikut nisbah masa yang ditentukan. Amat malang lagi bagi mereka yang mempunyai jadual tetapi hanya sekadar menjadi perhiasan dinding dan tidak pernah dipatuhi. Mengapa perkara ini berlaku?. Jawapannya adalah kita bukannya robot yang boleh dijadualkan yang mesti berfungsi mengikut masa yang ditetapkan.

Sebagai manusia kita sering tidak terlepas dengan faktor di luar jangkaan, sebagai contoh, sebagai seorang yang terlibat dengan kepimpinan, anda mahu mengulang kaji pelajaran tetapi dalam masa yang sama perlu menyelesaikan masalah yang berlaku dalam kalangan ahli seperti sakit dan musibah tanpa boleh ditunda pada masa yang lain.

Semua perkara tersebut adalah antara penyebab mengapa kita sukar mematuhi  jadual. Untuk menyelesaikan masalah ini, kita perlu membahagikan masa kepada tiga perkara iaitu peruntukkan masa luar jangkaan, masa dalam jangkaan dan  masa yang disusun. Hal Ini dapat mengelakkan kita daripada terlepas waktu mengulangkaji  pelajaran kerana terpaksa melakukan kerja melebihi had masa.

Seterusnya, penyusunan jadual mestilah mengikut kemampuan diri. Walaupun penyusunan tampak hebat pada kaca mata orang lain, hakikatnya implikasi buruk yang dihadapi iaitu menyebabkan kita cepat bosan dan hilang tumpuan terhadap jadual yang disusun tanpa menyukat kemampuan diri. Sahabat di sekeliling juga memainkan peranan yang besar dalam memastikan kita patuh terhadap jadual yang disusun. Kita perlu meletakkan jadual ditempat yang mudah dilihat. Untuk itu, sebagai sahabat kita berperanan untuk sentiasa mengingatkan sahabat kita yang lain kala terpalit leka dengan keseronokan dunia.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Kecuali orang beriman dan mengerjakan kebenaran serta saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan saling berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-Asr:3).

Penegasan yang sering kali diucap oleh pakar motivasi ialah setiap pelajar mesti mematuhi  jadual, Hal ini akan melatih anda menjadi istiqamah dalam pekerjaan, dan dapat memelihara diri daripada melakukan perkara lalai dan maksiat. Sementelahan itu, matlamat kita dalam mengejar sesuatu  mestilah jelas. Ingat!!, matlamat tidak akan tercapai dengan angan-angan kosong. Matlamat mesti disusuli dengan tindakan. Kejayaan besar yang diimpikan esok hari ialah himpunan kejayaan kecil yang diraih setiap hari.

Oleh itu, pastikan matlamat tidak terlalu kecil sehingga matlamat itu tidak bermakna, dan tidak pula terlalu besar sehingga merasakan mustahil untuk dicapai. Tetapkan satu matlamat yang jelas, sehingga anda begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh menjadikannya  sebagai satu realiti. Matlamat kita ialah  ingin mengecapi kejayaan yang cemerlang . Dengan adanya matlamat , pada bila-bila masa kita boleh mengubah perancangan, asalkan tidak menjejaskan perancangan untuk mencapai matlamat anda tersebut.

Sumber: pmram.org

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM