Monday, April 30, 2012

Dimana ARMA Dihati Kalian?



Kemajuan yang dikecapi oleh dunia hari ini bukanlah kerana usaha seorang individu tetapi hasil usaha generasi terdahulu dalam memastikan ketamadunan manusia bergerak seiring dengan peredaran zaman.

Ini memberikan kepada kita gambaran jelas sejarah lampau sebagai cermin dalam membentuk generasi akan datang. Persoalannya adakah kita benar-benar memahami kepentingan mengetahui sejarah.

Ada ungkapan yang menyatakan bahawa " Sejarah Perlu Diketahui Sebelum Kita Mencipta Sejarah ". Sejauhmana penguasaan sejarah tersebut perlulah kita sendiri mengukurnya agar ianya bukan sekadar dimimpi dibibir sahaja bahkan dihayati sebaik mungkin.

PMRAM juga mempunyai sejarahnya yang tersendiri sehingga mampu bertahan mencecah 82 tahun. Segala yang berlaku dalam lipatan sejarah PMRAM perlu diketahui oleh semua pendokong PMRAM agar tidak lari daripada landasan sebenar perjuangan PMRAM.

Melalui acuan Al-Quran dan Sunnah lalu disalurkan momentum kebajikan kepada ahli tanpa mengira latar belakang asal dan pendidikan kerana berdasarkan peringatan Allah SWT didalam Surah Al-Maidah yang bermaksud " Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa " maka diaspirasikan janji Allah SWT dalam Surah Muhammad yang bermaksud " Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu membantu (agama) Allah, nescaya Allah akan membantumu dan meneguhkan kedudukanmu ".

Di atas dasar ini, PMRAM yang ditubuhkan pada 1930 optimis dalam meneruskan agenda kebajikan. Maka antara kebajikan yang PMRAM laksanakan adalah dengan menempatkan sebuah asrama anak Melayu yang lebih dikenali dengan ARMA ( Asrama Rumah Melayu Abbasiah ). Sejarah ARMA semakin pudar daripada ingatan pendokong dan penyokong PMRAM. Namun begitu, apakah ARMA sudah hilang serinya? adakah kita mengetahui betapa bernilainya ARMA kepada PMRAM? bagaimanakah tahap pengetahuan kita terhadap sejarah ARMA?

Persoalan inilah yang perlu diberikan kepada kita agar paradigma mahasiswa Islam amnya ahli PMRAM khususnya untuk memikirkan bagaimanakah ARMA perlu dikembalikan kepada PMRAM. Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-79 telah meluluskan usul "Mengembalikan Hak PMRAM di ARMA" yang telah diperbahaskan oleh perwakilan daripada seluruh peringkat PMRAM Cawangan. Dimanakah suara-suara bersedia menjayakan impian PMRAM ini atau sekadar ungkapan biasa yang meniti dibibir semata-mata.

Tiga tuntutan perlu dilunaskan dalam menjayakan usul ini:

- Pejabat PMRAM di Anjung ARMA
- 3 Wakil Badan Pengurus dalam jawatankuasa dasar ARMA
- Fakta sejarah yang telah diselewengkan.

Selagimana PMRAM terus berpencak Menghayati Sejarah Mempertahankan Maruah dipersada dunia selagi itu perjuangan mengembalikan hak PMRAM di ARMA akan tetap diteruskan kerana jasa mereka terdahulu perlu diasimilasikan dengan perjuangan mendapatkan hak PMRAM di ARMA. Sesungguhnya nilai ARMA dalam lipatan sejarah PMRAM tidak luntur ditelan zaman dan tidak rapuh dimamah usia.

"Menghayati Sejarah Mempertahankan Maruah"

"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"

Atiyqah binti Yusoff
Naib Pengerusi HEWI I
Ketua Unit Perancang Dan Panitia HEWI PMRAM
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Sumber : pmram.org

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM