Home » » Caj Perkhidmatan Yang Diharuskan Oleh Syara’

Caj Perkhidmatan Yang Diharuskan Oleh Syara’



Caj perkhidmatan merupakan bayaran yang dikenakan ke atas perkhidmatan yang diberikan oleh pihak syarikat atau individu. Sebelum ini, pihak MANHAL telah mengeluarkan kajian berkenaan dengan kontrak pinjaman PTPTN dan jelas menunjukkan kontrak pinjaman yang dikenakan mengandungi unsur riba apabila caj tambahan yang dikenakan ke atas pihak yang meminjam dengan kadar tetap 3 peratus.

Adapun keistimewaan yang diberikan kepada beberapa mahasiswa/wi yang mendapat cemerlang iaitu melepaskan bayaran hutang adalah tidak menjadi permasalahan kerana ia tidak mengandungi unsur riba, bahkan ia merupakan salah satu cara melangsaikan pinjaman di dalam Islam bahkan cara ini yang digalakkan.

Justeru, dalam konteks caj perkhidmatan maka ia perlu dinilai dari sudut hukum Islam. Caj perkhidmatan ini dapat dikoreksi berkenaan permasalahan dari sudut hukum berdasarkan hukum kontak ijarah (sewa) iaitu bayaran upah ke atas manfaat (perkhidmatan).

KONTRAK IJARAH / SEWA DALAM ISLAM


Dari sudut bahasa sewa memberi erti belian ke atas manfaat. Iaitu bayaran yang diberikan ke atas manfaat yang diperoleh.

Dari sudut istilah pula, ulama berbeza pendapat. Ia boleh dirujuk di kitab-kitab fekah 4 mazhab. Walaupun berbeza dari sudut istilah, namun mereka bersepakat bahawa kontrak sewa ialah kontrak yang lazim (melibatkan kedua-dua pihak) ke atas (memperoleh atau menggunakan) manfaat, dalam tempoh tertentu dengan bayaran yang diketahui kadarnya.

Dalil yang mengharuskan kontrak sewa ialah :
-
          Berdasarkan kepada Firman Allah dalam Surah At-Tholak pada ayat ke-6:
 (
“Maka sekiranya mereka menyusukan anak kamu maka berikanlah kepada mereka akan upah.”
-          Nabi SAW bersabda :

أعطوا الأجير أجره قبل أن يجف عرقه

“Berikanlah kepada pekerja (yang kamu upah tersebut) akan upah sebelum kering peluhnya (jangan bertangguh atau melewat-lewatkan).” – Sunan Ibnu Majah no 2443

Rukun bagi kontrak sewa ialah : 
      1 - Dua pihak yang terlibat.
      2 -   Lafaz yang menunjukkan sewa atau ingin memberi upah.
    3 -  Nilai upah mestilah dimaklumi samada nilai wang atau barangan yang dipersetujui bersama.
      4 -  Manfaat. Iaitu upah yang diberikan adalah ke atas manfaat yang diperolehi.


Para ulama bersepakat bahawa sewa diharuskan ke atas manfaat samada berbentuk barangan atau khidmat. Justeru, pihak yang mengambil khidmat wajib memberikan upah dengan kadar yang tertentu pada waktu yang tertentu mengikut sebagaimana persetujuan bersama dengan pihak yang memberikan sewaan barang atau khidmat. – Fiqh Sunnah, karangan Sayyid Sabiq

CAJ PERKHIDMATAN ADALAH BERASASKAN KONSEP UPAH

Hasil penilaian di atas maka jelas kepada kita bahawa caj perkhidmatan termasuk dalam kontrak sewa iaitu melibatkan bayaran upah (ujrah) ke atas khidmat yang diberikan.
Caj khidmat ini bukan hanya khusus untuk diperbincangkan ke atas caj kadar tetap bayaran pinjaman PTPTN bahkan apa jua yang boleh dikaitkan sebagai caj perkhidmatan antara caj mesin ATM dalam mengeluarkan wang dan sebagainya.

Justeru, caj perkhidmatan apa jua bentuk yang dilakukan oleh mana-mana pihak samada negara, syarikat atau individu maka ia mestilah menepati kontrak upah agar hukum ke atas caj tersebut mengikut syara’. Jika tidak, maka ia adalah haram disebabkan kontrak yang terbatal bahkan boleh terjatuh ke dalam konteks riba.

Dalam konteks bayaran pinjaman PTPTN, terdapat dakwaan bahawa caj kadar tetap 3 peratus tersebut merupakan caj perkhidmatan dalam menguruskan kewangan yang dijalankan. Bermakna ia merupakan upah bagi perkhidmatan yang dijalankan. Sehubungan itu, kita perlu mengkaji dan meneliti adakah caj tetap kadar 3 peratus tersebut menepati syara’ sebagaimana yang telah disepakati oleh ulama.

SYARAT KE ATAS CAJ PERKHIDMATAN

Berikutan caj perkhidmatan kadar tetap 3 peratus bagi bayaran pinjaman PTPTN atau apa jua caj perkhidmatan ke atas pinjaman, maka telah bersepakat dan mengeluarkan ketetapan melalui Akademi Fiqh Islam (Mujamma’ Fiqh Islami) pada perbincangan kali ke-3 yang telah diadakan di Oman pada tahun 1986 iaitu :
1-      Harus mengambil upah / caj perkhidmatan ke atas pinjaman.
2-      Caj perkhidmatan yang dikenakan adalah mengikut kadar perbelanjaan pengurusan yang diusahakan.
3-      Tambahan nilai ke atas perkhidmatan yang sebenar adalah diharamkan dan dikira sebagai riba.

Mana-mana pihak yang mengenakan caj perkhidmatan tanpa menepati 3 syarat yang telah ditetapkan oleh Akademi Fiqh Islami tersebut maka adalah haram. Ia jelas bahawa ulama bersepakat membenarkan bahawa caj perkhidmatan yang dikenakan ke atas pinjaman adalah mengikut perbelanjaan perkhidmatan, bahkan dilarang sama sekali melebih daripada tanggungan perbelanjaan yang sebenar.

Justeru, caj perkhidmatan tersebut bukanlah ke atas nilai pinjaman yang diberikan. Hal ini demikian kerana jika melakukan tambahan upah iaitu caj ke atas nilai pinjaman maka ia adalah jelas riba sebagaimana riba yang dilakukan  pada zaman jahiliyyah.
Firman Allah dalam Surah Ali Imran pada ayat ke-130 

“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil riba dengan tambahan berganda-ganda (riba jahiliyyah). Bertaqwalah kepada Allah semoga kamu beroleh kejayaan.”

Jasas di dalam kitab Ahkam Al-Quran menyebutkan bahawa :

“Riba jahilyyah ialah pinjaman secara bertempoh dan dikenakan bayaran tambahan secara bersyarat.”

Selain itu, kadar caj perkhidmatan yang dikenakan mestilah jelas dan dimaklumi iaitu bukan dalam bentuk nisbah peratus. Hal ini demikian nisbah peratus dalam caj perkhidmatan boleh menimbulkan keraguan dan kesamaran yang dipanggil sebagai gharar. Hasilnya,berlaku persoalan berapakah yang mesti dibayar kerana tidak jelas dalam caj yang dikenakan ekoran gharar yang berlaku.
Gharar ialah :

ما يكون مستور العاقبة أو الخطر الذي يستوي طرفاه , أي الوجود والعدم

“Apa yang terlindung penghujungnya dan risiko yang sama tahap mungkin wujud atau tidak.” – kitab Bada'i As-Sonai'e, Al-Kasani

Nabi Muhammad SAW menegaskan:

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن بيع الغرر

"Nabi  melarang daripada mengurus perniagaan dengan Gharar"  - Riwayat Muslim

Maka di sini jelas bahawa caj perkhidmatan harus dikenakan bagi menampung perbelanjaan pengurusan yang dijalankan. Namun begitu harus diingatkan bahawa caj tersebut bukanlah ke atas nilai pinjaman akan tetapi mengikut kadar perbelanjaan dan tidak boleh melampaui. Di samping itu juga, kadar caj yang dikenakan mesti jelas dan tepat dengan menggunakan angka supaya pihak yang ingin melakukan pinjaman jelas berkenaan nilai pinjaman yang ingin dipohon dan caj perkhidmatan yang mesti dibayar. – boleh rujuk Fatwa yang dikeluarkan oleh Institusi Kewangan Kuwait no Fatwa 282

KESIMPULAN

Berdasarkan kepada kajian yang telah dibentangkan di atas, pihak MANHAL menegaskan bahawa caj perkhidmatan mestilah menurut syarat-syarat yang telah disepakati oleh para ulama’. Hal ini demikian bagi menjamin kontrak yang sedang dijalankan tidak mengandungi unsur riba. Justeru, MANHAL juga menjelaskan kembali bahawa :
1-      Caj yang dikenakan ke atas nilai pinjaman adalah berbentuk riba. Hal ini sebagaimana riba jahiliyyah iaitu mengenakan bayaran berganda ke atas hutang.
2-      Caj perkhidmatan adalah mengikut kadar perbelanjaan perkhidmatan yang disediakan sahaja.
3-      Kadar caj yang dikenakan mestilah berbentuk jelas bukannya tertakluk kepada nisbah peratus. Elakkan dari berlaku unsur gharar kerana boleh merosakkan akad.


Disediakan oleh :

Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Sumber : pmram-manhal
Jika Anda menyukai Artikel di blog ini, Silahkan klik disini untuk berlangganan gratis via email, dengan begitu Anda akan mendapat kiriman artikel setiap ada artikel yang terbit di Creating Website

0 comments :

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

 
Support : UPP KPIPM | PMRAM Cawangan Perak | KPIPM
Copyright © 2011. Laman KPIPM - All Rights Reserved
Template Modify by KPIPM64
Proudly powered by Blogger