Tuesday, April 24, 2012

Didikan Islam Dalam Mengawal Nafsu



Agama Islam merupakan rahmat ke atas sekalian manusia. Islam meraikan fitrah semulajadi manusia secara harmoni dan bertamadun. Manusia makhluk yang dimulaikan oleh Allah SWT bahkan dikurniakan nafsu dan akal yang membezakan mereka dengan makhluk lain ciptaan Allah.

Bahkan dalam mengutuskan rasul sebagai utusan Allah bagi membimbing manusia ke jalan yang benar dan mengajarkan manusia akan tuntutan Allah, maka Allah memilih rasul dari kalangan manusia juga kerana hanya manusia yang akan memahami manusia. Sekiranya dibangkitkan rasul dari kalangan manusia, maka ia akan dijadikan hujah oleh golongan yang tidak mahu beriman bahawa fitrah mereka atau realiti adalah berbeza.

Sebab itu kita dapat lihat dan menepis segala hujah pihak yang tidak mahu beriman dengan kebangkitan rasul dari kalangan manusia. Nabi Muhammad SAW menjadi ikon atau contoh teladan yang terbaik dalam segenap aspek iaitu menguruskan jadual kehidupan manusia yang mengikut tuntutan syarak dan bertamadun dari sudut pembangunan insan.

Segala fitrah yang dimiliki oleh manusia disalurkan dengan baik dan dikawal melalui gaya hidup yang sihat berdasarkan tuntutan Islam.

Bahkan apa yang diajarkan oleh Islam adalah memenuhi tuntutan fitrah manusia. Justeru manusia tidak akan berasa beban dengan Islam sebagai agama yang mensistemkan kehidupan manusia. Hal ini demikian kerana Islam merupakan agama yang syumul, bukan hanya tertakluk kepada bidang ibadah semata-mata bahkan mencangkupi segala aspek yang terdapat dalam kehidupan manusia samada bab akhlak, pengurusan kewangan, pembinaan rumah tangga, pemerintahan negara dan sebagainya.


Dalil-dalil Islam Meraikan Fitrah Manusia

Islam tidak pernah menghalang manusia daripada makan, minum serta berhias dengan kecantikan mengikut batas yang telah ditentukan oleh syarak. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah dalam Surah Al-A’raf pada ayat ke-31 dan 32 :

“Wahai Anak-anak Adam! Ambillah perhiasan kamu (pakaian yang elok) bagi setiap kali kamu ingin pergi ke masjid (melakukan ibadah), maka makanlah dan minumlah namun jangan kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai golongan yang melampaui batas. Katakanlah (wahai Muhammad)! Siapakah yang mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan untuk hamba-Nya dan begiti juga dengan benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan? Katakakanlah (wahai Muhammad)! Demikian itu adalah untuk golongan hamba-Nya yang beriman khususnya di Hari Akhirat (golongan yang tidak beriman hanya merasai di dunia sahaja tidak di Akhirat).”

Dalam soal nafsu, Allah mensyariatkan perkahwinan agar nafsu atau keinginan bersama dalam diri manusia dapat disalurkan dengan baik dan cara yang bertamadun. Disebabkan itu Allah mengharamkan golongan rahbaniyyah iaitu golongan yang menolak akan perkahwinan dan fitrah naluri keinginan bersama. Hal ini dapat dilihat pada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi, bahawa Sa’ad bin Abi Waqas menceritakan bahawa Nabi SAW bersabda :

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan ke atas kami akan rahbaniyyah (menolak akan fitrah nafsu perkahwinan) dengan satu agama yang lurus (meraikan fitrah semulajadi manusia dengan adanya syariat perkahwinan)”

Melepaskan nafsu dengan cara berzina adalah dilarang sama sekali dalam Islam. Hal ini demikian kerana ia menunjukkan bahawa berzina adalah memenuhi keinginan nafsu dengan cara yang tidak bertamadun. Sedangan Islam telah memberikan laluan dengan cara perahwinan dalam menjadi saluran meraikan keinginan bersama dengan cara yang bertamadun.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ pada ayat ke- 32 :

“Janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina adalah perbuatan yang keji dan seburuk-buruk cara.”

Nabi SAW bersabda :

“Wahai golongan pemuda! Sesiapa dari kalangan kami yang mempunyai kemampuan, maka nikahlah. Sesungguhnya dengan pernikahan tersebut akan menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah kerana ia mampu mengekang / mengawal syahwat” – Bukhari dan Muslim


Cara Islam Mendidik Nafsu

Maka telah jelas kepada kita bahawa Islam meraikan fitrah manusia dan dalam masa yang sama mengawal nafsu manusia dengan cara yang bertamadun dan harmoni.
Justeru, antara cara Islam mendidik nafsu manusia adalah dengan beberapa perkara : 

1-      Melalui perkahwinan
Perkahwinan merupakan sunnah para nabi dan rasul bahkan menjadi ibadah ke atas umat Islam dalam konteks menjaga nasab dan memperbanyakkan keturunan. Perkahwinan bukan sekadar ikatan mempersatukan 2 jantina iaitu lelaki dan wanita bahkan menjadi medium penting dalam membanteras gejala yang tidak sihat seperti pergaulan bebas, zina dan khalwat. 

Dengan berkahwin, seseorang tersebut samada lelaki atau perempuan akan mampu menundukkan pandangan mereka serta menjaga kemaluan mereka daripada sebarang bentuk maksiat lebih-lebih lagi di zaman dunia tanpa sempadan ini. 

Nabi SAW bersabda : 

“Wahai golongan pemuda! Sesiapa dari kalangan kami yang mempunyai kemampuan, maka nikahlah. Sesungguhnya dengan pernikahan tersebut akan menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah kerana ia mampu mengekang / mengawal syahwat” – Bukhari dan Muslim

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mukmimun pada ayat yang pertama sehingga 6 : 

“Sesungguhnya telah berjaya orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solat. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan menunaikan zakat. Dan menjaga kehormatan mereka. Kecuali kepada isteri atau hamba sahayanya , maka sesungguhnya mereka tidak tercela.”

Maka pensyariatan perkahwinan digalakkan kepada mereka yang mempunyai kemampuan sebagaimana yang telah dibahaskan oleh para fuqaha dengan panjang lebar dalam bab perkahwinan. Bahkan hukum kahwin menjadi wajib ke atas mereka yang mempunyai kemampunan dan dalam masa yang sama tidak mampu mengawal diri dari terjerebak ke kancah maksiat.

Nabi SAW bersabda : 

“Dan pada kemaluan seseorang daripada kalian terdapat sedekah. Maka para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah! Apakah seseorang yang menyalurkan seksualnya (kepada isterinya) memperoleh pahala? Nabi SAW menjawab : Apakah seseorang yang menyalurkan seksualnya dengan cara yang haram (berzina) ia berdosa? Sahabat menjawab : Benar. Lalu Nabi SAW menjawab lagi : Begitu juga jika ia menyalurkannya pada tempat yang halal, maka ia akan memperoleh pahala.” – riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad

2-      Memperbanyakkan puasa sunat

Islam menggalakkan umatnya yang tidak mempunyai kemampuan untuk berkahwin agar memperbanyakkan puasa sunat. Hal ini demikian kerana dengan berpuasa seseorang mampu mengawal nafsunya. Menurut kajian, berpuasa mampu mengekang nafsu kerana apabila tubuh badan manusia tidak diisi dengan makan serta minum ia akan melemahkan badan akibat kekurangan tenaga. Justeru secara tidak langsung, nafsu keinginan tersebut akan menjadi lemah. 

Disebabkan itu Nabi SAW memperingkatkan kepada para sahabat mengenai sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin maka hendaklah ia berkahwin. Nabi SAW bersabda :

“Wahai golongan pemuda! Sesiapa dari kalangan kami yang mempunyai kemampuan, maka nikahlah. Sesungguhnya dengan pernikahan tersebut akan menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah kerana ia mampu mengekang / mengawal syahwat” – Bukhari dan Muslim

Philippus Paracelsus mengatakan bahawa “Fasting is the greatest remedy the physician within.”
Seorang pakar, Allan Cott dari Amerika Syarikat menerbitkan satu buku yang berjudul “Why Fast” yang menghimpunkan kelebihan puasa dari sudut kajian sains antara iaitu lebih mampu mengawal nafsu keinginan seks.

3-      Memenuhi jadual kehidupan seharian dengan perkara bermanfaat

Antara lain cara yang dianjurkan oleh Islam dalam mendidik nafsu ialah dengan memperbanyakkan amalan ibadah. Ia sekaligus akan menjauhkan manusia daripada melakukan perkara-perkara yang lalai dan sia-sia. 

Imam Ibnu At-Taimiyah ada menyebutkan bahawa : jiwa kamu sekiranya kamu tidak menyibukkan dengan perkara yang baik nescaya ia akan menyibukkan kamu dengan perkara yang batil.

Justeru, dapar lihat dalam mengatur jadual kehidupan seharian, Islam amat menitik beratkan pengurusan masa. Sekiranya masa yang digunakan untuk perkara yang bermanfaat secara sepenuhnya, nescaya manusia tidak akan mempunyai kesempatan untuk melakukan perkara lalai apatah lagi maksiat walau seketika. 

Hal ini dapat dilihat bagaimana Allah mendisplinkan umatnya dengan ketentuan 5 solat fardhu secara bertempoh dengan tetap. Begitu juga dengan perkara-perkara manfaat yang lain seperti mencari pekerjaan rezeki yang halal, bermasyarakat, mentadabbur Al-Quran, belajar dan sebagainya.

Maka mereka yang mampu menyusun jadual kehidupan mereka dengan menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang bermanfaat nescaya mereka akan selamat daripada disibukkan daripada perkara yang lalai dan sia-sia. Bahkan mereka bukanlah daripada kalangan orang yang rugi. Firman Allah dalam Surah Al-Asr : 

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam keadaan yang rugi. Melainkan orang yang beriman, orang yang melakukan amalan soleh, dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”


Hukum Onani

Onani atau masturbasi ialah perbuatan mengeluarkan air mani dengan sendiri dalam keadaan yang sengaja. Onani ini merupakan satu gejala yang tidak sihat pada konteks asalnya.

Namun begitu, timbul persoalan sebagaimana yang dipaparkan dalam Surat Khabar Harian Metro pada tarikh 22 April 2012, boleh rujuk di linkhttp://www.hmetro.com.my/articles/Takbolehtahanhidupsendirian/Article/. Maka adakah onani ini dikira sebagai salah satu alternatif bagi penyelesaian daripada zina sebagaimana yang dinyatakan oleh seorang pakar dalam Harian Metro di linkhttp://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Petuaelakzina/Article/index_html ?

Maka perkara utama yang mesti kita selesaikan dahulu ialah merujuk kepada ulama dalam perbahasan hukum berkenaan dengan onani. Maka perbuatan ini telah pun dijawab oleh ulama bahkan banyak fatwa yang telah dikeluarkan berhubung perbuatan onani ini.

Ulama secara sepakat mengatakan bahawa perbuatan onani ini merupakan haram berdasarkan kepada beberapa hujah antaranya :

1-      Firman Allah dalam Surah Al-Mukminun pada ayat ke-5 sehingga 7 yang bermaksud :

 “Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barangsiapa mencari (penyaluran hasrat seksual) selain itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas

Imam Ibnu Katsir mengatakan, “Imam As-Syafie dan para ulama lain yang sependapat dengan beliau berdalil dengan ayat di atas untuk menegaskan haramnya onani atau masturbasi” (Tafsir Ibnu Katsir)

2-      Dari Anas bin Malik, dari Nabi SAW bersabda :

“Ada tujuh macam manusia yang tidak Allah pandang pada hari Kiamat nanti, tidak akan Allah sucikan, tidak akan Allah kumpulkan bersama orang-orang yang beramal kebajikan dan akan Allah masukkan ke dalam neraka pertama kali kecuali jika mereka bertaubat sebelum meninggal dunia. Jika benar-benar bertaubat maka Allah akan menerima taubat mereka. Tujuh macam manusia tersebut adalah pelaku onani, subjek ataupun objek dalam homoseksual, pecandu khamr (arak), anak yang menzalimi orang tuanya sehingga kedua-duanya berteriak minta tolong, orang yang hobi mengganggu para tetangganya sampai mereka mencaci maki dirinya dan orang yang berzina dengan isteri tetangganya” [Ibnu Katsir mengatakan bahwa hadis di atas diriwayatkan oleh Imam al Hasan bin ‘Arafah

3-      Dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, Imam Al-Ghazali ada menceritakan satu kisah berkenaan seorang pemuda yang pergi menemui Ibnu Abbas. Pemuda tersebut meminta nasihat daripada Ibnu Abbas dengan mengatakan :

“Aku seorang pemuda yang belum bernikah dan aku bimbang aku akan terjerebak dalam maksiat iaitu berzina. Maka disebabkan itu, kadang kala aku melakukan onani. Adakah perbuatan ini merupakan maksiat?”

Lalu Ibnu Abbas menjawab :

“Celaka! Menikahlah dengan hamba sahaya lebih baik daripada melakukan onani dan lebih baik daripada zina.”

Maka berdasarkan beberapa hujah di atas jelas menunjukkan kepada kita ulama bersepakat dalam menjatuhkan hukum ke atas perbuatan onani kerana ia merupakan jalan lain yang tidak dibolehkan dalam melempiaskan nafsu apatah lagi untuk berseronok-seronok.

Namun begitu, ada satu pendapat yang mengatakan dibolehkan beronani dengan 2 syarat iaitu tidak ada kemampuan untuk berkahwin dan bimbang akan melakukan zina. Bermaksud onani yang dibolehkan oleh pendapat ini bukanlah berbentuk onani bagi memenuhi keinginan seksual dan berseronok-seronok namun sebagai jalan terakhir untuk mengelak daripada melakukan zina.

Pendapat ini dikemukan dalam fatwa Syeikh Mustafa Al-Zarqa’ dan Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam kitab Al-Halal wa Al-Haram Fi Al-Islam.

Perlu jelas bahawa pendapat yang dikemukan ini merupakan jalan terakhir apabila tiada cara lain atau dalam keadaan dharurat apabila bertembung dengan maksiat yang lebih besar iaitu zina. Hal ini demikian kerana zina merupakan maksiat yang keji dan tergolong dalam perbuatan yang mendapat dosa besar.

Disebabkan itu Dr Yusuf Al-Qardhawi meletakkan syarat juga iaitu tidak berlebihan dan tidak menjadikan ia sebagai tabiat. Hal ini kerana onani ketika itu merupakan jalan selamat bukan jalan berseronok. Maka apabila bertembung 2 dharurat yang tidak dapat dielakkan maka pilih yang paling ringan.

Maka, dharurat yang pasti untuk melakukan zina adalah bukan sekadar berkhayal untuk berzina namun mestilah dalam beberapa kondisi tersebut :

1-      Sedang berada di tempat pelacuran dan tiada jalan keluar
2-      Pelacur berada di hadapan mata dalam keadaan yang merangsang syahwat.

Sekiranya, seseorang tersebut hanya berkhayal untuk melakukan zina sedangkan ia hanya berada di dalam rumah dan tiada pelacur di hadapannya, maka jika begitu ia tidaklah lagi berada dalam keadaan dibimbangi melakukan zina kerana tindakannya untuk berzina masih jauh dan masih diatasi dengan perkara-perkara yang lain.


Kesimpulan

Berdasarkan kajian di atas yang telah dibentang, maka pihak MANHAL memberikan respon terhadap ulasan petua zina sebagaimana yang dipaparkan dalam surat khabar Harian Metro pada 22 April 2012 iaitu :

1-      Islam merupakan agama yang syumul dan meraikan fitrah serta nafsu syahwat yang mengalir dalam diri manusia.

2-      Perkahwinan merupakan medium penting dalam menyelesaikan masalah zina dan gejala sosial.

3-      Sekiranya tidak berkemampuan maka perbanyakkan puasa kerana ia mampu mengekang syahwat.

4-      Begitu juga penuhkan aktiviti harian dengan perkara-perkara yang berfaedah serta sentiasa hidup bermasyarakat. Hidup bersendirian akan psikologi akan mudah dipengaruhi oleh hawa nafsu.

5-      Dalam hidup bermasyarakat, pilih rakan atau teman yang beraklak baik kerana teman memberikan kesan pengaruh yang kuat. Rakan yang baik mampu membimbing serta saling ingat memperingati ke arah kebaikan.

6-      Onani atau masturbasi adalah haram di dalam Islam kerana nafsu yang disalurkan bukan melalui jalan yang sepatutnya.

7-      Dari segi teori, onani dibolehkan dalam keadaan yang dharurat sahaja iaitu memang tiada kemampuan untuk kahwin dan yakin akan berlaku zina. Namun begitu, ketiadaan kemampuan kahwin dapat diatasi dengan berpuasa dan menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Bahkan juga mungkin boleh menggunakan teknikel nikah gantung apabila kedua-dua pihak setuju. Hal ini menunjukkan bahawa dari segi realiti adalah hampir mustahil jalan untuk menggunakan cara ‘memilih dharurat yang kecil apabila bertembung 2 dharurat yang tidak dapat dielakkan’ kerana masih banyak cara untuk mengatasi zina selain daripada perbuatan onani.

8-      Bagi non-muslim pula, agama mereka juga amat menitik beratkan gaya hidup yang sihat dan bertamadun. Maka gejala sosial juga dapat diatasi dengan perkahwinan dalam tradisi agama mereka, kurangkan makan dengan mengambil konsep puasa serta melakukan perkara-perkara yang berfaedah serta menjauhi perkara yang tidak berfaedah seperti melihat wanita seksi, pornografi dan sebagainya.

9-      Setiap permasalahan mestilah merujuk kepada ulama yang berkelayakan dalam menjawab isu dan permasalahan. Intelektual dalam seginap bidang walaupun hanya membentang dari sudut kajian semasa namun ia mestilah selari dan merujuk terlebih dahulu kepada ulama agar dapat menjaga maslahat awam yang lebih besar.

10-  Tidak bermudah-mudah dalam perkara maksiat selagi mempunyai jalan yang pelbagai yang dibolehkan oleh Islam.Justeru pihak media memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan maklumat yang sepatutnya dalam mendidik masyarakat ke arah yang bertamadun.

11-  Emanuel Kant, ahli falsafah German berkata : "bila anda ingin mengetahui hakikat sesuatu perkara (baik/buruk), maka perhatikan amalan tradisi orang ramai. Maka jika ditakdirkan ramai orang melakukan onani dalam masyarakat, maka akan lumpuhlah tradisi pernikahan, terputuslah keturunan, dan pincanglah umat. Atas dasar ini, kita katakan onani adalah suatu perilaku yg buruk, bukan kebaikan, terlarang dan tidak disyari'atkan.”


Wallahu a'lam


Disediakan oleh : 

Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

sumber : pmram-manhal

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM