Thursday, April 26, 2012

INSPIRASI : Bukti Keprihatinan Anak Muda Pada Negara



Penubuhan Inspirasi anak Muda Malaysia atau singkatannya INSPIRASI yang telah dilancarkan oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) pada 25 Mac yang lepas merupakan suatu perkara yang cukup positif. Penubuhan ini jelas menunjukkan bahawa wujudnya kesedaran dalam diri anak muda khususnya mahasiswa dalam mengemukakan pandangan, lontaran idea dan buah fikiran bagi membantu proses pembangunan negara supaya berlaku dengan baik berdasarkan kepada prinsip keadilan sejagat dan selaras dengan tuntutan syarak.

Melihat kepada realiti negara pada hari ini, PMRAM melihat enam gagasan yang telah dikemukakan oleh INSPIRASI iaitu transformasi pendidikan, keadilan undang-undang, ekonomi yang merakyat, jaminan kerjaya, politik berintegriti, dan keharmonian sosial sebagai suatu perkara yang bersesuaian dan tepat dengan apa yang berlaku pada negara kita hari ini. Kesemua enam gagasan yang ditekankan di sini meliputi pelbagai aspek dan ianya jelas menunjukkan bahawa mahasiswa merupakan golongan yang prihatin dan serius dalam mengambil tahu proses pembangunan negara. Ianya tidak lain dan tidak bukan kecuali bertujuan membangkitkan kesedaran, menambahkan pengetahuan dan meningkatkan rasa tanggungjawab serta partisipasi anak muda terhadap agenda pembinaan negara Malaysia yang lebih cemerlang.

Justeru, kerajaan perlu melihat pandangan dan lontaran idea yang telah diberikan oleh kelompok mahasiswa ini sebagai salah satu usaha untuk membantu pihak pentadbiran negara dalam mengubah dan melakukan penambahbaikan terhadap sistem dan perjalanan pentadbiran sesebuah negara. Ini kerana golongan mahasiswa merupakan golongan yang terpelajar dan memiliki intelektual yang tinggi dan sewajarnya golongan seperti ini dilihat sebagai satu aset yang cukup berharga yang perlu digunakan dengan sebaik mungkin demi kepentingan negara Malaysia di masa hadapan.

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang merupakan kawan karib GAMIS di luar negara sentiasa mengikuti perkembangan semasa GAMIS di Malaysia dan PMRAM menyokong penuh gagasan yang telah dibentangkan itu. PMRAM mengharapkan agar  GAMIS terus optimis memperkasakan peranan yang dimainkan dan memimpin gerakan mahasiswa yang berlatarbelakangkan pelbagai ideologi politik agar mampu untuk mewujudkan permuafakatan di kalangan mahasiswa dalam menyuarakan pandangan dan pendapat mereka kepada semua pihak sama ada kerajaan yang memerintah mahupun parti politik ke arah pentadbiran negara yang padu dan berkesan.

Syabas dan tahniah PMRAM ucapkan kepada seluruh mahasiswa pendokong perjuangan GAMIS yang ternyata bertindak tepat pada waktunya dalam menubuhkan Inspirasi Anak Muda Malaysia (INSPIRASI) ini sebagai sebuah gagasan atau idea daripada komuniti anak muda terhadap pembentukan masa hadapan negara yang lebih cemerlang untuk dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Sumber : pmram.org

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM