Saturday, January 14, 2012

Nilai Islam Dalam Penyampaian Maklumat



Media arus perdana hari ini semakin rancak dalam mempersembahkan beberapa isu tempatan dan luar negara tidak kira samada berkaitan dengan politik,isu semasa,agama dan seumpamanya.

Dengan pelbagai saluran penyampaian maklumat yang telah disajikan kepada masyarakat umum sebagai santapan maklumat tentang perkara yang berlaku seputar.

Namun begitu, di atas  landasan Islam ada beberapa perkara yang perlu diketahui dan ianya begitu penting untuk difahami seiring dengan kemajuan teknologi penyampaian maklumat yang serba canggih dewasa kini.

Semakan Ketepatan Maklumat Dan Fakta

Dalam Islam, fakta-fakta yang diterima hendaklah ditapis, dikaji  dan disahkan kebenarannya sebelum disampaikan kepada orang lain.

Amalan menerima dan terus menyebarkan fakta kepada orang lain tanpa memeriksa dahulu ketepatan maklumat adalah jelas menyalahi ajaran Islam.

Perkara ini sejajar dengan peringatan daripada Allah SWT didalam Al-Quran yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”
                                                                                                                        [al-Hujurat:6]
                                                                                                                                                                                                         
Bentuk Penyampaian Maklumat Yang Berhikmah

Realiti dunia penyebaran maklumat kini seperti sudah semakin kehilangan nilai-nilai murni perwatakan dan peradaban selaku manusia yang dikurniakan akal maka apabila kita menghayati sejenak mengenai nilai hikmah yang telah diberitakan oleh Allah SWT,kita akan dapati bahawa perlunya kepada penyampaian maklumat yang berhikmah demi menjamin kesatuan masyarakat dalam sesebuah negara.

Islam juga meletakkan prinsip hikmah dalam berkomunikasi. Firman Allah di dalam Al-Quran:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan penuh hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik”   
                                                                                                                        [al-Nahl: 125]

                                                                                                                                                                                            
Maka secara tidak langsung penyampaian yang berhikmah dan mengikut nilai-nilai murni akan menjadi ikutan masyarakat sekaligus membudayakan acuan Islam dalam kehidupan seharian.


Keperluan Pegangan Taqwa Dalam Penyampaian Maklumat

Krisis sering terjadi apabila saluran maklumat tidak rasmi tidak dikawal dengan nilai murni dan etika yang baik.Oleh kerana demikian, Islam meletakkan taqwa sebagai salah satu keperluan penting dalam setiap penyampaian maklumat agar tidak tersasar daripada matlamat dan tujuan asal sebaran maklumat tersebut.

Takwa bererti sentiasa mengambil langkah berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara dengan mengelakkan diri daripada dosa dan sifat tercela.

Sepertimana apa yang telah berlaku hari ini seluruh dunia kewujudan pelbagai cabang saluran maklumat disiarkan maka jika tiada sifat ketaqwaan dalam diri maka tidak mustahil wujudnya fitnah dan seumpamanya demi kepentingan diri sendiri.Firman Allah SWT :

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
                                                                                                                        [al-Hujurat: 13]
                                                                                                                                                                         

Ketaqwaan yang didasari acuan keimanan mana mungkin terbentuk sekiranya cara hidup yang diaplikasikan dalam kehidupan masyarakat tersasar jauh daripada landasan Al-Quran dan Sunnah.

Diatas dasar ini, perlu difahami bahawa gaya hidup berteraskan Islam merupakan sebaik-baik cara yang perlu diaktifkan dalam kehidupan masyarakat tanpa mengira darjat,pangkat, taraf hidup, posisi dan sebagainya kerana kemuliaan disisi Allah SWT bukanlah pada zahirnya namun pada keyakinan Islam merupakan acuan terbaik bagi seluruh manusia.


Disediakan oleh :
Zulhafeez bin Ahmad Zahidi
Ketua Badan Penerangan & Penerbitan
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011

Sumber : pmram.org

No comments:

Post a Comment

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2024/2025

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIP...