Rasulullah s.a.w. diutuskan dengan
pelbagai hikmah buat umat ini. Daripada gerak langkah, cara percakapan serta
segala perkara yang bersangkut paut dengan Baginda adalah merupakan suatu
derapan kearah kebahagiaan di dunia dan di akhirat bagi sesiapa yang mengikuti
sunnahnya.
Rasulullah telah mengajarkan kepada
umatnya bahawa Islam itu indah dan syumul meskipun melalui tindak-tanduk kita
seharian. Ulama’ tasauf ada yang mengertikan agama sebagai akhlak yang mulia.
Maka tidak hairanlah bahawa Islam itu tersebar ke seluruh pelosok dunia dengan
waktu yang singkat. Hal ini telah menyanggah fitnah golongan orientalis yang
menyatakan Islam itu tersebar dengan mata pedang. Islam itu indah dan tidak
mungkin Islam itu menyanjungi segala bentuk keburukan dan ketempangan akhlak
dalam umat ini. Bahkan Islam menawarkan penyembuh bagi luka-luka akhlak
manusia. Sepertimana yang dipamerkan Rasulullah buat pengajaran umat ini, tidak
sekali Rasulullah mengherdik menghina atau merendah-rendahkan orang yang pernah
menyakitinya, malah Rasulullah akan mendoakan dan membantunya tatkala
kesusahan. Namun, tidak bermakna Rasulullah membiarkan seseorang itu berada
dalam kesesatannya.
Gambaran jelas akhlak Rasulullah
adalah melalui hadis yang diriwayatkanoleh Saidatina Aisyah r.ha yang
bermaksud;
“akhlak Rasulullah adalah Al-Quran”.
Oleh itu, marilah kita bersama
mengambil pengajaran daripada akhlak yang ditonjolkan oleh junjungan yang mulia
dalam usaha menyebarkan dakwah dan memberi kefahaman tentang Islam terhadap
orang disekeliling Baginda.
Dalam hadis yang lain riwayat Imam
Tarmizi, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
“Sesungguhnya orang-orang yang
paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya
denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya
orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang
yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia
merasa bangga dengan kesombongannya.” Para sahabat bertanya lagi, “wahai
Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang
yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong,
tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah
“ialah orang yang takbur.”
Oleh yang demikian, akhlak yang buruk
tidaklah menambahkan kepada seseorang itu melainkan kehinaan dan kebencian
insan lain. Dengan iltizam kepada akhlak-akhlak yang mulia ini, maka sebarang
ideologi yang menyesatkan tidak akan mudah tertempel pada individu kerana
ideologi yang menyesatkan itu sentiasa melaungkan seruan-seruan songsang ke
arah kebejatan moral manusia.
Nukilan :
Siti Aisyah Sahleha Bt
Zaharuddin
Usuluddin Tahun 1, Kaherah
Sumber : kelappmram.blogspot.com
No comments:
Post a Comment