Anak muda di hadapan
saya terus mengasak saya dengan hujah-hujah logiknya. Senang melihat anak muda
yang berani dan berterus-terang begitu. Hujahnya tajam dan menikam. "Tidak
semestinya wanita yang menutup aurat itu baik, " tegasnya.
"Saya kenal
beberapa orang wanita yang menutup aurat, perangai mereka ada yang lebih buruk
berbanding wanita yang tidak menutup aurat," tambahnya lagi.
Saya diam melihat dia
berhujah dengan akal dan pengalaman. Namun pengalamannya agak terbatas. Berapa
ramai wanita yang dikenalinya dalam usia semuda itu? Dan akalnya juga terbatas
, aqal perlu dirujuk kepada naqal. Mesti memahami prinsip ilmu wahyu terlebih
dahulu, kemudian barulah kita bebas menggunakan fikiran dan pengalaman tanpa
terbabas.
"Sebenarnya, apa
yang cuba awak sampaikan?" tanya saya lembut.
"Saya nak tegaskan
bahawa wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat."
"Justeru, wanita
yang jahat itu ialah wanita yang menutup aurat?" jolok saya melayan pola
logiknya berfikir.
"Er, er, bukan
begitu. Maksud saya, baik atau buruknya perangai seseorang wanita tidak
bergantung pada pakaiannya, samada dia menutup aurat atau tidak."
"Apa ukuran awak
tentang nilai kebaikan seorang wanita?" kilas saya tiba-tiba.
"Jujur,
terus-terang, pemurah, lemah-lembut..."
"Itu sahaja?"
"Ya. Pada ustaz
pula apa ukurannya?"
"Kita hanya
manusia. Akal kita terbatas. Ukuran dan penilaian kita juga pasti terbatas.
Jika diserahkan kepada manusia mentafsir apa itu kebaikan, akan celaru
dibuatnya."
"Mengapa?"
"Kerana setiap
manusia ada jalan berfikirnya sendiri. Saya bimbang nilai kebaikan akan menjadi
suatu yang relatif dan subjektif, padahal kebaikan itu juga seperti kebenaran, ia suatu yang objektif dan mutlak, " akui
saya terus-terang.
"Habis, untuk apa
kita diberi akal? Kita harus rasional dan logik!"
Saya cuba senyum lantas
berkata, "akal perlu tunduk kepada penciptanya, Allah. Fikiran mesti
merujuk kepada Al Quran dan Hadis. Itu kan lebih tepat, ilmu kita terbatas, ilmu Allah Maha
Luas."
"Jadi akal kita
untuk apa?" desaknya lagi.
"Untuk memikirkan
apa hikmah kebaikan yang telah ditentukan Allah dan bagaimana melaksanakannya
dalam kehidupan."
"Ertinya akal kita
terikat?"
"Akal kita bebas,
tetapi dalam lingkungan syariat. Sama seperti bumi yang sedang ligat berpusing
ini, tetapi tetap pada paksinya."
"Bukankah agama ini
untuk orang yang berakal?"
"Betul. Tetapi
tidak semua perkara dapat dicapai oleh akal. Lebih-lebih lagi perkara-perkara
yang ghaib, tidak akan terjangkau oleh akal. Syurga, Neraka, Titian Sirat, Mahsyar
misalnya, wajib dipercayai dan diyakini tanpa perlu dilogik-logikkan lagi.
Itulah iman."
"Ah, jauh kita
menyimpang. Bukankah tadi kita berbincang tentang wanita yang baik? Saya
ulangi, wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat, betulkan?"
"Separuh
betul," jawab saya.
"Kalau dia wanita
yang jujur, terus-terang, pemurah dan lemah lembut, ya dia 'baik' di sudut itu.
Tetapi jika dia mendedahkan auratnya, dia telah melanggar perintah Allah di
sudut yang lain. Dia 'tidak baik' di sudut berpakaian, kerana hukum menutup
aurat telah termaktub dalam Al Quran."
Anak muda di hadapan
saya muram. Nampaknya dia belum berpuas hati.
"Tetapi dia jujur,
amanah"
"Orang yang baik
menurut Islam ialah orang yang baik hubungannya dengan Allah dan manusia.
Menutup aurat perintah Allah."
Anak muda di hadapan
saya masih tidak puas hati. Perlahan-lahan saya tusuk dengan hujah yang
memujuk, "namun percayalah jika benar-benar hatinya baik, insyaAllah
lambat laun dia akan menutup aurat juga."
"Apa hujah ustaz?
Pengalaman? Fikiran atau telahan?"
"Masih merujuk
kepada Al Hadis."
"Hadis yang
mana?"
"Hadis riwayat
Bukhari mengisahkan seorang wanita pelacur berbangsa Yahudi yang telah memberi
minum seekor anjing yang kehausan. Atas sebab sifat belas kasihannya itu dia
mendapat hidayah lalu menjadi wanita yang solehah."
"Apa kaitan cerita
itu dengan subjek yang kita bincangkan ini?"
"Secara tidak
langsung itu menunjukkan bagaimana jika hati seseorang mempunyai
sifat-sifat baik seperti kasih sayang, belas kasihan dan pemurah, sekalipun
kepada anjing, itu boleh menjadi sebab Allah kurniakan hidayah untuk dia
beriman seterusnya menjadi wanita solehah."
"Maksud
ustaz?"
"Jika seorang
wanita itu benar-benar baik hatinya insya-Allah lambat laun dia akan menutup
aurat walaupun sebelumnya tidak menutup aurat."
"Oh, begitu. Kenapa
ya?"
"Allah menilai pada
hati. Jika hati itu baik, lambat laun hal-hal luaran pasti mengikutnya
jadi baik."
"Apa pula pendapat
ustaz tentang wanita yang menutup aurat tetapi akhlak dan perangainya
buruk?"
"Bab aurat dia
telah selamat. Alhamdulillah, kewajiban menutup aurat telah dipatuhinya. Apa
yang tinggal, dia perlu membaiki akhlak dan perangainya. Dia perlu terus
berusaha."
"Jika ada
berpura-pura? Menutup aurat hanya untuk menunjuk-nunjuk atau sekadar tuntutan
fesyen dan trend?"
"Hati manusia kita
tidak tahu. Kita tidak tahu hati wanita yang menutup aurat tu jahat atau tidak,
samalah seperti kita tidak tahu samada hati wanita yang tidak menutup aurat itu
baik atau tidak. Soal hati hak Allah."
"Tetapi katalah
hati wanita yang menutup aurat itu benar-benar jahat."
"Jika hatinya
benar-benar jahat, lambat laun dia akan mendedahkan auratnya semula."
"Mengapa?"
"Menutup aurat
adalah pakaian wanita yang solehah. Wanita yang jahat tidak akan mampu memakai
pakaian wanita solehah."
"Patutlah saya
lihat ada wanita yang dulunya memakai tudung labuh, tapi kemudiannya tudungnya
semakin singkat, lama kelamaan mula memakai seluar ketat, kemudian berubah kepada
memakai baju T sendat, lama-kelamaan bertudung ala kadar sahaja."
"Perubahan luaran
gambaran perubahan hati. Yang tidak menutup aurat, akhirnya perlahan-lahan
meningkat untuk menutup aurat kerana hatinya beransur jadi baik. Sebaliknya,
yang menutup aurat secara beransur-ansur akan mendedahkan auratnya jika kualiti
hatinya semakin merosot."
"Siapa wanita yang
paling baik?" tiba-tiba anak muda di hadapan saya bertanya sambil merenung
muka saya. Serius dan tajam renungannya.
"Tentulah
isteri-isteri dan anak-anak nabi Muhammad s.a.w." jawab saya pasti.
"Bagaimana pakaian
mereka?"
"Tentu sahaja
mereka menutup aurat. Dan mereka juga pasti memiliki hati yang baik. "
Kali ini dia pula
terdiam. Melihatnya begitu saya terus mengasak, "kalaulah hati yang baik
sahaja jadi pernilaian Allah, tentulah isteri-isteri dan anak-anak perempuan
Rasulullah tidak perlu menutup aurat. Hati mereka sudah baik. Namun tidak
begitu, hati yang baik bukan alasan untuk mendedahkan aurat."
"Wanita yang baik
mesti menutup aurat?"
"Ya."
"Wanita yang jahat
mesti mendedah aurat?"
"Tidak semestinya,
kerana ada wanita yang berhati baik tetapi belum menutup aurat kerana mungkin
dia sedang berusaha untuk mengatasi halangan-halangan luaran dan dalamannya
untuk menutup aurat."
"Apa yang boleh
kita katakan kepada wanita begitu?"
"Dia sedang
berusaha menjadi wanita yang baik."
"Bagaimana pula
dengan wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangainya? Wajarkah mereka
mendedahkan aurat supaya tidak hipokrit."
"Perangai yang
buruk bukan alasan mendedahkan aurat. Bagi mereka ini, tuntutan menutup aurat
sudah ditegakkan, alhamdulilah. Tinggal satu lagi, tuntutan memperbaiki akhlak,
itu sahaja yang perlu dilaksanakan. Satu selesai, tinggal lagi satu. Namun
bayangkan jika disamping perangai buruk, mereka juga turut mendedahkan aurat, Itu
lebih buruk lagi. Dua perkara tak selesai, bab aurat dan bab perangai!"
"Jadi apa kita nak
kata tentang wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangai ni?" Sekali
lagi dia mengajukan soalan yang sama.
"Wallahua'lam.
Boleh jadi mereka juga sedang berusaha mengatasi halangan dalaman dan luarannya
untuk memperbaiki perangainya. Dan nauzubillah, boleh jadi juga iman mereka
sedang merosot sehingga menjejaskan akhlak mereka yang lama kelamaan jika tidak
diatasi akan menyebabkan mereka kembali mendedahkan aurat!"
Dia senyum. Alhamdulillah.
"Saya tahu apa yang
saya akan lakukan sekarang"
"Kenapa? Mengapa?
Punya kekasih tidak bertudung tetapi baik hatinya? Atau dikecewakan oleh wanita
bertudung tetapi buruk perangainya?"
Soalan akhir itu tidak
terluahkan oleh saya. Saya simpan sahaja di dalam hati. Biarlah anak muda ini
belajar dari pengalamannya, insyaAllah esok apabila dia mengalaminya sendiri,
dia akan ingat satu persatu apa yang didengarnya pada hari ini.

0 comments:
Post a Comment