Sunday, January 1, 2012

Ehya' Al-Jum'ah : Kewajiban Pemuda Islam



KAHERAH, 30 Dis - Program Ehya’ Al-Jumaah yang merupakan aktiviti mingguan KPIPM di bawah kelolaan Biro Dakwah dan Tarbiah kali ini berjalan seperti biasa.

Setelah selesai bacaan Yaasin hadirin dan hadirat yang hadir disajikan dengan pengisian tazkirah oleh Ustaz Khairul Ashraf b. Mohd Khir, Pengerusi Penasihat KPIPM 2011/2012. Beliau yang juga merupakan mantan Yang Dipertua KPIPM sesi sebelum ini dalam tazkirahnya membawa kita menghayati dan memahami kewajipaan sebagai individu muslim terutama sebagai golongan pemuda.

Apa yang menarik, beliau telah membedah dan mengupas secara ringkas isi kandungan kitab ‘Wajibussyababulmuslim’ karangan Dr.Majdi Hilali. Beliau menerangkan terdapat 6 kewajipan yang yang telah digariskan oleh pengarang di dalam kitabnya.

Kewajipan yang pertama terhadap Allah swt dalam menunaikan ibadah yang mana hendaklah kita melakukannya dengan penuh  keikhlasan kerana-Nya, kewajipan yang kedua terhadap diri sendiri dengan cara memelihara dan mencegah diri daripada sifat-sifat terkeji, ketiga adalah kewajipan terhadap akal iaitu pemikiran yang baik memerlukan ilmu aqidah serta ilmu feqh, ilmu tasawwuf, dan akhlak.


Kewajipan yang keempat adalah tanggungjawab kita untuk belajar, mendalami ilmu kerana seorang yang a’lim itu berbeza dengan seorang a’bid dan kewajipan yang kelima terhadap ahli keluarga atau sahabat handai yang bersama kita dan akhirnya kewajipan yang keenam adalah terhadap masyarakat.

Seterusnya Dr.Majdi Hilali mengajar bagaimana cara untuk menggabungkan keenam-enam kewajipan ini dalam diri kita adalah dengan mewujudkan biah yang solehah bagi melahirkan masyarakat yang solehah bertepatan dengan apa yang dibawa oleh Biro Dakwah dan Tarbiah sendiri. Demikian ulasan Ustaz Khairul Ashraf berkisar kandungan kitab  ‘Wajibussyababulmuslim’ ini.

“Pentingnya untuk kita beramal atas kewajipan yang Allah swt perintahkan dan menjauhi larangan-Nya.”Tambah beliau lagi. Dan diakhirnya beliau menegaskan supaya kita menerapkan konsep ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’ dalam diri masing-masing.
Kemudian Ehya’ Al-Jumaah diteruskan dengan Solat Isya’,Solat Sunat Hajat dan berakhir dengan Solat Sunat Hifzi. Pada keesokan pagi, Ehya’ Jumaah diteruskan lagi dengan tazkirah pagi Jumaat selepas solat subuh berjemaah.

Tazkirah telah disampaikan oleh Ustazah Nur Nasihah Binti Khairuddin di Wisma A, manakala di Wisma B, tazkirah pagi Jumaat telah disampaikan oleh Ustazah Nurul Fadhillah Binti Mohd Khairi.



No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM