Friday, February 24, 2012

Tanah ARMA : Masih Sah Milik PMRAM



KAHERAH, 23 Feb - Tanah ARMA seluas 2,212 meter persegi yang dianugerahkan oleh Almarhum Presiden Mesir, Jamal Abdul Nasir kepada PMRAM atau Persekutuan Melayu Mesir (PMM) pada tahun 1959 masih lagi sah dimiliki oleh PMRAM sehingga ke hari ini.

Perkara tersebut disahkan dengan pengesahan surat akuan rasmi telah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah bahagian Selatan Kaherah yang bertempat di Ramsis. Kandungan dalam surat tersebut menunjukkan tidak ada sebarang makluman penukaran hak milik tanah tersebut kepada mana-mana pihak seperti yang didakwa sebelum ini.

Menurut Saudara Abdul Aziz Ali, Timbalan Presiden PMRAM, hasil daripada perjumpaan beliau pertengahan Januari lalu dengan pegawai tanah di jabatan tersebut, En Syaaban memberitahu bahawa dengan pembuktian surat akuan itu jelas menunjukkan PMRAM adalah pemilik sah tanah tersebut dari sudut undang-undang (qanun) Mesir sehingga ke hari ini.

" Adapun sejarah PMRAM pada tahun 1960 sebagaimana yang tercatat berlaku pertukaran hak milik tanah daripada nama PMRAM kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu itu sebenarnya tidak berlaku  dari sudut undang-undang secara sah akan tetapi ia adalah pertukaran dari sudut pengurusan ke atas tanah itu sahaja " ujar Saudara Abdul Aziz Ali.

Pembuktian surat akuan ini akan menguatkan lagi usaha PMRAM untuk menuntut semula hak ruang pejabat PMRAM di ARMA kepada pihak-pihak berkenaan di masa akan datang. PMRAM mengharapkan agar seluruh ahli terus bersama-sama PMRAM dalam mengembalikan semula hak PMRAM sebagaimana yang dipersetujui sebelum daripada ini.

Sumber : pmram.org

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM