KAHERAH, 2 Feb - Rehlah ke Semenanjung
Sinai merupakan salah satu program di bawah Unit Sambutan dan Rehlah HEWI PMRAM
yang saban tahun diadakan khusus untuk mahasiswi di Perlembahan Nil ini.
Rentetan peristiwa revolusi Mesir yang berlaku pada 25
Januari 2011 yang lalu, Unit Sambutan dan Rehlah sesi 2010 terpaksa
menangguhkan Ekspedisi Sinai HEWI yang telah dirancang.
Dengan itu, Unit Sambutan dan Rehlah sesi ini telah
mengambil inisiatif untuk meneruskan penganjuran rehlah ke Semenanjung Sinai
memandangkan sambutan dan permintaan yang tinggi dari kalangan ahli. Namun
begitu, memandangkan faktor keselamatan di Mesir yang tidak terjamin, kita
mengambil keputusan untuk tidak menganjurkan rehlah pada tahun ini.
Oleh itu, Unit Sambutan dan Rehlah mewakili barisan
kepimpinan HEWI PMRAM 2011 memohon maaf kepada seluruh ahli khususnya mahasiswi
kerana tidak dapat menganjurkan rehlah ke Semenanjung Sinai selama dua tahun
berturut-turut.
Kita amat memahami keadaan dan kehendak ahli yang ingin
berehlah dan tidak mahu melepaskan peluang menjejak tanah penuh bersejarah
tersebut, terutamanya mahasiswi tahun akhir. Namun, sebarang keputusan yang
dibuat adalah berdasarkan perbincangan dan kepentingan keselamatan ahli.
Berikutan beberapa kes yang berlaku di Sinai baru-baru ini,
PMRAM tidak menggalakkan ahli untuk menganjurkan atau mengikut sebarang rehlah
ke sana.
Berikut adalah antara rentetan kes-kes terkini yang berlaku
:
- • Pergaduhan di antara askar dan satu qabilah (penduduk tempatan) di Sinai dan menyebabkan 4 orang terbunuh
- • Berlaku rompakan senjata di Toba
- • Berlaku sekatan di laluan Toba ke Sinai dan keadaan yang agak berbahaya pada waktu malam
Justeru, Unit Sambutan dan Rehlah mengharapkan supaya ahli
tidak mengambil jalan mudah dengan mengikut sebarang rehlah yang dianjurkan
oleh mana-mana pihak. Ahli seharusnya memberi makluman dan merujuk pihak PMRAM
atau pihak kedutaan terlebih dahulu tentang tahap keselamatan Mesir yang
terkini terutamanya sekitar Semenanjung Sinai.
Sekiranya terdapat ahli yang ingin mengikuti mana-mana
travel, sila pastikan bahawa travel yang dipilih sudah berpengalaman dan
dipercayai. Segala permasalahan dan kesulitan yang berlaku adalah di bawah
tanggungjawab travel tersebut.
Merujuk kepada etika Badan dan Unit Sambutan Dan Rehlah
PMRAM fasal (2) – Lawatan Akhawat item ke-6, mahasiswi tidak dibenarkan
mengikut sebarang rehlah yang dianjurkan selain PMRAM, BKAN dan DPM kecuali
setelah mendapat keizinan daripada Pengerusi HEWI PMRAM.
"Pihak PMRAM sangat mengambil berat dan menekankan
tentang faktor keselamatan mahasiswa/wi dan berharap agar setiap mahasiswa/wi
sentiasa cakna dengan isu-isu yang berlaku di Mesir," ujar Saudari Juhaida
Abdul Hamid selaku Ketua Unit Sambutan dan Rehlah HEWI PMRAM.
Sumber : pmram.org
No comments:
Post a Comment