Saturday, February 4, 2012

Cinta Kepada Rasulullah S.A.W Tidak Berbelah Bahagi



KAHERAH, 2 Feb – Bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul pihak Badan Dakwah dan Tarbiah KPIPM telah mengadakan Qiamullail Perdana yang disertai dengan tazkirah pada sebelah malam dan tazkirah dari pentazkirah jemputan pada paginya. Program ini ialah salah satu program yang dirancang khas sepanjang bulan Rabiul ‘Awal.

Ustaz Faizal bin Jaafar telah berkata dalam tazkirahnya : “ Kita mengaku beriman dan mencintai Rasulullah SAW akan tetapi andai ditanya nama penuh baginda SAW mungkin ada di antara kita yang masih tergagap-gagap untuk menjawabnya….Baru ditanya nama belum lagi disoal dengan sirah dan peristiwa sepanjang hidup baginda SAW…Muhasabah bersama untuk kita yang mengaku  umat Nabi Muhammad SAW .”  

Itulah di antara isi tazkirah yang telah disampaikan oleh pentazkirah, yang menyentuh kembali peranan kita selaku umat baginda SAW, yang sepatutnya mengenal Rasulullah SAW lebih daripada kita mengenal ibu bapa kita, sahabat-sahabat kita dan juga artis-artis masa kini. Pentazkirah juga menekankan berkenaan istiqamah kita dalam mengamalkan sunnah baginda SAW, yang semakin dilupakan dan dipinggirkan oleh umat akhir zaman. Selepas tazkirah solat isya’ dan solat sunat hajat telah dilakukan secara berjema’ah yang diimamkan oleh YDP KPIPM Ustaz Mohammad Omar bin Adam.

Program diteruskan dengan Qiamullail yang dimulakan pada pukul 4.30 pagi yang menghimpunkan ahli KPIPM dari wisma A dan wisma B dan juga rumah-rumah  sewa, dilanjutkan dengan solat subuh berjemaah.

Selepas itu program diteruskan pula dengan tazkirah yang disampaikan oleh pentazkirah jemputan Ustazah Nurul Hasanah bt Yahuza, Naib Pengerusi 2 HEWI PMRAM. Tazkirah yang masih berkisar tentang tokoh agung Rasulullah SAW. Antara isi-isi tazkirah yang disampaikan pentazkirah adalah berkenaan Sambutan Maulidur rasul yang telah disambut oleh umat islam di seluruh dunia samada di Malaysia, Mesir dan negara-negara lain dengan gaya sambutan yang berbeza-beza. Namun tujuan dan objektif sambutan tersebut semuanya sama iaitu untuk menyemarakkan kembali rasa cinta umat Islam kepada Rasulullah SAW.

Ustazah Hasanah telah memetik satu hadis daripada kitab  Sohih Bukhari, sabda Rasulullah SAW : “Tidak akan sempurna keimanan seorang pun daripada kalangan kamu semua sehinggalah daku menjadi orang yang paling dikasihinya lebih daripada kasihnya terhadap ayahnya, anaknya dan manusia seluruhnya.” Salah satu ayat yang disebut oleh pentazkirah jemputan pagi itu, “ Orang yang cinta kepada seseorang pasti akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik untuk orang yang dicintainya.”  

Begitulah yang harus kita lakukan andai kita benar-benar mencintai Nabi Muhammad SAW. Tazkirah pada pagi itu diakhiri dengan bacaan surah Ar-Rahman  dan selawat keatas nabi SAW.

Semoga program yang dilaksanakan oleh pihak badan Dakwah dan Tarbiah KPIPM ini akan meningkatkan lagi kecintaan ahli-ahli KPIPM umumnya dan umat Islam khususnya kepada Rasulullah SAW. Besarlah harapan andai semua ahli dapat istiqamah dan mengambil ihtimam dengan setiap input yang didapati daripada program ini.

No comments:

Post a Comment

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2024/2025

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIP...