Saturday, December 31, 2011

Penghantaran Pelajar Ke Mesir : PMRAM Kecewa Dengan Kenyataan Terbabit



PMRAM kecewa dengan kenyataan yang telah telah dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM),Wan Harujan Sulaiman dalam satu keratan akhbar  yang telah disiarkan oleh Sinar Harian yang bertarikh 25 Disember lalu.

Dalam kenyataannya yang bertajuk “ Henti hantar pelajar ke Mesir “  beliau telah menyenaraikan beberapa alasan untuk tidak menghantar pelajar-pelajar Terengganu ke Mesir, antaranya ialah :


1. Sistem pengajian yang ketinggalan
2. Mengikut jejak langkah Yayasan Terengganu
3. Fokus untuk menghantar pelajar ke Jordan
4. Pelajar terlibat dengan aktiviti yang merugikan kerajaan.
5. Keadaan keselamatan yang tidak terjamin
                                                                  
PMRAM beranggapan keputusan tersebut bersifat pra matang dan jelas menunjukkan bahawa pihak-pihak tertentu seolah-olah tidak mengiktiraf peranan dan tanggungjawab yang telah dimainkan oleh Al-Azhar sebagai gedung ilmu tertua di dunia itu yang telah banyak melahirkan golongan-golongan ulama’ dan profesional dalam pelbagai bidang yang bertebaran di seluruh pelusok dunia.

Bukan itu saja, bahkan kenyataan itu juga cukup untuk mengguris jiwa dan mengecewakan perasaan seluruh mahasiswa Islam yang mengikuti dan melalui sistem Al-Azhar itu sejak sekian lama. Pada masa yang sama, kita tidak menafikan Al-Azhar itu mempunyai kekurangan dari sudut kemudahan infrastruktur dan prasarana, akan tetapi dari sudut keilmuan dan metodologi yang diguna pakai di Al-Azhar inilah yang telah menjadi rujukan dan mendapat pengiktirafan daripada pelbagai institusi ilmu dari seluruh dunia.

Selain itu, PMRAM melihat tindakan menghentikan penghantaran pelajar ke Mesir ini adalah suatu tindakan yang kurang tepat jika dikatakan kebanyakkan pelajar terlibat dengan aktivit-aktiviti yang merugikan kerajaan.

 Apa yang ingin kita tekankan di sini, keberadaan pelajar di sini cukup giat dan aktif dengan aktiviti-aktiviti dan program-program yang bermanfaat sebagai contoh keterlibatan mereka dengan persatuan-persatuan anak negeri masing-masing  yang dikenali dengan nama Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN),yang mana perkara tersebut cukup dititikberatkan  oleh pihak universiti di Malaysia bahkan kerajaan Malaysia sendiri mewajibkan pelajar-pelajar terlibat dalam aktiviti ko-kurikulum sama ada di sekolah rendah, menengah mahupun di universiti bahkan perkara tersebut menjadi syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi dan dinilai dalam pasaran kerjaya.

Justeru, PMRAM sebagai sebuah gerakan ataupun persatuan induk mahasiswa/wi Malaysia di Mesir ini memohon kepada pihak-pihak berkenaan supaya menilai, mengkaji dan meneliti semula keputusan yang telah diambil supaya ianya tidak menjejaskan proses penghasilan ulama’-ulama’ dan golongan ilmuan yang bakal mencurah khidmat dan bakti untuk tanah air kelak.

Cukuplah mahasiswa/wi Mesir ditekan dengan pelbagai tohmahan sebelum daripada ini. Isu lemah penguasaan Bahasa Arab, kemerosotan pencapaian akademik dan tidak cukup dengan itu mereka yang ingin menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar pula dikenakan imtihan qabul dan sebagainya.

 Mahasiswa perlu diberi kebebasan, peluang dan ruang untuk mereka membuat pilihan dalam menentukan institusi pengajian tinggi mereka supaya perkara tersebut dapat mendorong mereka untuk lebih cemerlang dalam pengajian mereka seterusnya menjadi golongan yang mampu mengubah corak kehidupan masyarakat yang telah terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar dan mampu menerajui kepimpinan negera dimasa hadapan.

Abdul Aziz bin Ali,
Timbalan Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011.

sumber : pmram.org

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...