Friday, December 2, 2011

Berusaha Dan Istiqamah, Pra Syarat Kemenangan




Dalam melaksanakan tuntutan agama Islam, cabaran yang paling utama ialah istiqamah dalam perlaksanaan yang dilakukan. Ramai di kalangan pejuang agama Islam yang kecundang di garisan akhir ekoran tidak berkeupayaan untuk meneruskan langkah yang telah disusun, dengan erti kata yang lain, tidak istiqamah atau tetap dalam perjuangan sehingga ke akhirnya.

Tuntutan Islam bukan sekadar mencapai objektif bahkan ia lebih daripada itu. Sebab itu, selaku mahasiswa Islam yang membawa agenda Islam perlu jelas akan objektif dan dasar. Perjuangan adalah untuk melaksanakan dasar yang telah ditetapkan. Manakala objektif pula sesuatu perancangan dalam memastikan kejayaan untuk sesuatu tempoh bagi meneruskan kesinambungan agenda Islam yang menjadi dasar. 

Sebagai contoh, keberadaan kita di Mesir untuk sebagai mahasiswa/wi Islam yang menuntut adalah untuk memperolehi kejayaan dan ijazah sebagai bukti kejayaan beserta ilmu yang dipelajari. Ini adalah objektif. Buktinya, adakah selepas kita memperolehi kesemua perkara tadi, kita sudah boleh melepaskan amanah sebagai khilafah Allah di muka bumi ini? Sudah tentu tidak. Perjuangan menegakkan Islam iaitu dasarnya kita meletakkan Islam dijulang mesti dilaksanakan walaupun kita sudah pulang ke Malaysia.

Maka apabila di Malaysia pula, objektif keberadaan kita pula adalah berbeza daripada objektif keberadaan kita di Mesir. Justeru, dapat difahami bahawa objektif adalah berbeza mengikut situasi realiti bagi mencapai kesinambungan serta kekuatan untuk terus melaksanakan dasar.

Manakala dasar, walau di mana pun jua atau situasi, ia mesti dilaksanakan. Di Mesir, kita mesti bekerja untuk Islam, di Malaysia juga kita mesti bekerja untuk Islam. Ketika kehidupan bujang, kita bekerja untuk Islam, maka apabila sudah berumah tangga juga kita mesti melaksanakan gerak kerja Islam.

Inilah dasar yang mesti kita jelas pemahaman ke atasnya. Ramai yang menjadikan objektif sebagai dasarnya sehingga menyebabkan segelintir yang hany tumpu pengajian sehingga mengabaikan gerak kerja Islam.

Tokoh gerakan Islam yang paling disegani mengungkapkan satu kalimah yang jelas berkenaan dengan 'tetap dalam perjuangan' iaitu :

"Seorang muslim berterusan melaksanakan gerak kerja yang bersungguhnya di jalan Allah, walaupun tempoh berjuang itu panjang dan bertahun-tahun sehingga dia mencapai kejayaan dengan salah satu daripada kejayaan Islam : samada dengan kemenangan Islam atau mati syahid"

Justeru, selaku mahasiswa Islam yang telah meletakkan diri dalam golongan yang memperjuangkan Islam mestilah pasakkan niat dalam gerak kerja iaitu memastikan kemenangan Islam atau mati syahid dalam berjuang. Hal ini demikian, umat Islam menyakini dengan janji Allah bahawa kemenangan itu milik Islam, hanya masa dan zaman bila, itu ditentukan oleh Allah.

Satu motivasi diberikan oleh seorang penulis, Dr Raghid As-Syarjani berkenaan dalam melaksanakan gerak kerja Islam ialah pra syarat dalam kemenangan iaitu "kita bantu agama Allah maka Allah akan memberikan kemenangan kepada kita".

Maka untuk mendapatkan pertolongan atau kemenangan daripada Allah, syarat utama ialah kita mesti berusaha terlebih dahulu. Usaha adalah persoalan pertama yang mesti diutarakan oleh seorang pejuang bukannya persoalan bilakah kemenangan akan datang. 

Konsep yang sangat cantik ditetapkan melalui sunnatullah. Justeru, kita dapat lihat bagaimana kesungguhan para sahabat dalam peperangan Badar dalam membentuk perancangan untuk mengalahkan pihak musuh. Walaupun berada di pihak yang benar, Allah tetap mahu melihat para pejuang Islam melaksanakan usaha yang bersungguh. 

Dalam peperangan Badar, para sahabat RA bermesyuarat dengan Rasulullah SAW untuk kedudukan posisi tentera Islam, samada di belakang lembah atau di hadapan lembah?

Ketika hijrah Nabi SAW bersama Abu Bakar As-Siddiq, Nabi SAW merancang keluar di kala waktu masyarakat arab Mekah tidak keluar rumah. Saidina Ali mengaburi pihak musuh dengan menggantikan Nabi SAW tidur di atas katil baginda SAW. Perjalanan Nabi SAW bersama Abu Bakar As-Siddiq melalui jalan yang jauh dan bukannya melalui jalan kebiasaan masyarakat arab ke Madinah. 

Dalam peperangan Khandak, Nabi SAW dan para sahabat berbincang bagi strategi menghadapi pihak musuh yang datang menyerang Madinah. Akhirnya strategi menggali parit yang diutarakan oleh Salman Al-Farisi diterima.

Maka pra syarat bagi mencapai kemenangan adalah usaha kemudian istiqamah dalam usaha. 2 inilah yang menjadikan Islam terus dijulang dan diperjuangkan ke akhir, berdasarkan hadis Nabi SAW :

Akan ada satu kumpulan dari kalangan umatku yang sentiasa memperjuangkan kebenaran, dan mereka ini tidak akan berasa lemah dengan dugaan dan cabaran sehingga Allah menurunkan keputusan (sehingga hari kiamat).

Begitu juga Nabi SAW memberikan wasiat kepada sahabat iaitu :

Katakanlah aku telah beriman kemudian istiqamahlah.

Justeru, PMRAM menyeru kepada semua mahasiswa/wi Islam agar terus berusaha dan tetap dalam perjuangan yang dilakukan. Inilah rahsia PMRAM terus bertahan sehingga 81 tahun. Pendokong-pendokong yang berusaha dan terus istiqamah dalam perjuangan.
Penuhi 2 pra syarat kemenangan, Allah akan memberikan kemenangan kepada kita.


Muhamad Zuhaili Saiman
Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2011

Sumber:pmram.org

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM