Friday, December 2, 2011

KPIPM Gerakan Dakwah Penyambung Mata Rantai Dakwah Rasulullah S.A.W



KAHERAH, 2 Dis- Menjadi kelaziman bagi KPIPM mengadakan perkumpulan ahlinya pada setiap minggu, khamis malam jumaat di bawah program Ehya’ Al-Jum’ah. Perjalanan Ehya’ Al-Jum’ah semalam telah berlangsung seperti kebiasaan. Bermula dengan alunan burdah sekumpulan ahli KPIPM sementara menanti kehadiran ahli yang lain bagi memenuhi ruangan Dewan Syeikh Sya’rawi, Wisma Darul Ridzuan A.

Majlis bacaan Yassin telah diketuai oleh Saudara Mohammad Fadzil Bin Abdul Rahim. Seterusnya, pengisian rohani pada malam itu telah disajikan oleh pentazkirah yang merupakan Graduan Kuliah Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah, Universiti Al-Azhar, Saudara Muhammad Mujahid Bin Muhammad Fadzil.

Beliau dalam tazkirahnya telah mencuri perhatian ahli KPIPM yang hadir dengan penceritaan sejarah KPIPM bermula zaman Nabi Muhammad S.A.W sehingga kini, termasuk beberapa kronologi penting yang perlu diketahui oleh ahli KPIPM.

Beliau berkata pada pemulaannya dengan menegaskan kalam Hukama’ “Barangsiapa yang tidak membaca sejarah, tidak akan sama sekali dia mencipta sejarah”.

Dakwah Risalah Tauhid yang dimulakan oleh Nabi Muhammad S.A.W telah di sambung oleh Khulafa’ Ar-Rasyidin yang Berjaya menyebarkannya ke seluruh tanah arab. Seterusnya disambung perjuangan dakwah ini oleh Bani Umaiyah dengan berjaya menyebarkannya ke seluruh Asia dan pada zaman Abbasiah dakwah islam ini terus tersebar ke seluruh Nusantara termasuk tanah melayu ketika itu.

Dakwah islam yang berjaya masuk ke nusantara ini  berjaya meyerapi setiap roh masyarakat yang mempunyai kesedaran ketika itu akan kepentingan islam untuk disebarkan ke seluruh dunia. Namun medium ketika itu, digunakan oleh para ulamak yang mendapat suntikan dan pendedahan organisasi ketika menuntut ilmu untuk membebaskan tanah air dari pelbagai penjajah seperti portugis, belanda dan lain-lain.

Penubuhan gerakan islam awal di Malaysia pada tahun 1948 seperti Hizbul Muslimin dan lain-lain telah melahirkan pelbagai generasi pelapis melalui kesatuan-kesatuan pelajar di institusi pengajian seperti Kesatuan Penuntut Islam Se-Malaya(KEPAS) yang menggabungkan Kesatuan Penuntut Islam Perak (KEPIP) dan Kesatuan Pelajar Agama Kedah(KEPAK) pada tahun 1954.

Antara tokoh yang dilahirkan KEPAS ialah Ustaz Jaiz Anwar. Ketika menyambung pelajarannya di Mesir, beliau telah menubuhkan satu persatuan yang menaungi anak-anak perak di Mesir iaitu Keluarga Pelajar Perak Kaherah(KPPK) dan juga menjadi Badan kebajikan Anak Negeri (BKAN) pertama wujud di Mesir. Beliau telah menjadi Ketua Pelajar, Keluarga Pelajar Perak Kaherah(KPPK) jika dikenali sekarang YDP pertama Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM).

Sehingga kini KPIPM terus memperjuangkan segala matlamat utama penubuhan gerakan dakwah ini antaranya tiga elemen penting kesatuan, kebajikan dan kemaslahatan.

Antara beberapa kronologi yang telah disebutkan ialah bermula dengan usaha mahasiswa terdahulu yang ingin mendapatkan penempatan anak-anak perak di mesir pada tahun 1970 dengan penghantaran memorandum dan pada tahun 1980 diluluskan seterusnya dapat didiami sebuah rumah yang sekarang dikenali sebagai Wisma Darul Ridzuan A. Antara lain, Perpustakaan Syeikh Ismail Al-Nadawi(PERSIDA) yang di wujudkan pada tahun 1993.

Ehya’ Jum’ah pada minggu ini telah memulakan aktiviti solat sunat hifzi sebagai ikhtiar persediaan menghadapi peperiksaan yang akan bermula bulan hadapan.

Subuh jumaat yang dingin amat menenangkan jiwa seorang hamba yang mengenali erti syukur. Solat subuh berjemaah telah dilaksanakan di kedua-dua Wisma Darul Ridzuan. Tazkirah juga turut diadakan di wisma A oleh Saudari Fadhlin Sakina Bt Sukri, Wisma B oleh Saudari Syariza Bt Ayub.




No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM