Friday, November 4, 2011

Kelebihan Bulan Zulhijjah Sepuluh Hari Pertama




Imam Ahmad meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar R.A. bahawa Baginda S.A.W. bersabda : “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allahu Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA.
PERTAMA : Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Sabda Nabi S.A.W. : “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”.

KEDUA : Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah -  Dalam hadith qudsi ada menyebut : “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”. Dari Abu Sa’id al-Khudri R.A. berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda : “Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah   menjauhkan mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun dengan puasanya” (muttafaq ‘alaih). Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah R.A. bahawa Nabi S.A.W. bersabda : “Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan hapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang datang”.

KETIGA : Takbir dan zikir padaNya, firman Allah bermaksud: “(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”, hari tersebut adalah 10 hari di bulan Zulhijjah. Hadith Ibnu ‘Umar R.A. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad menyebut : “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil, takbir dan tahmid”. Imam Al Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah R.A. kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah yang bermaksud : “(Dan supaya kamu bertakbir kepada Allah di atas   nikmatNya menghidupkan kamu)”. 

KEEMPAT : Bertaubat dan tinggalkan segala maksiat dan dosa. Ini kerana maksiat adalah punca kepada terhindarnya seorang hamba dari rahmat    Allah manakala ketaatan adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A., Nabi S.A.W. bersabda : “Bahawa Allah tidak suka apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaqun ‘alaih).

KELIMA : Banyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, sedekah, membaca al-Quran, seru kepada kebaikan, cegah kemungkaran dan lainnya kerana semuanya akan digandakan pada hari tersebut. Waktu itu walaupun amalannya kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah jika dibandingkan pada hari lain.

KEENAM : Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada siang atau malam terutama selepas menunaikan solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), dan berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah.

KETUJUH: Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim A.S.  setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail A.S. tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

KELAPAN : Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah R.A. bahawa Nabi S.A.W. bersabda : “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya” Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya : “(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”. Namun tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

KESEMBILAN : Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjemaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Perayaan ini merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, jangan pula melakukan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah seperti mengerjakan maksiat dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.

KESEPULUH : Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, tunai perintahNya, jauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM