Home » » Membaca & Menulis, Peranan Para Daei

Membaca & Menulis, Peranan Para Daei



Membaca dan menulis merupakan tuntutan dalam Islam. Membaca boleh mendatangkan pengetahuan dan hikmah dalam menstrategikkan tindakan serta pemikiran, manakala menulis akan memastikan sesuatu ilmu dapat disebarkan dan disampaikan. Penekanan ini jelas sebagaimana perintah Allah SWT pada wahyu yang pertama dengan perintah "Iqra".

Sebagai mahasiswa Islam yang akan mewarisi tugasan memartabatkan Islam, pastinya menjadi satu keperluan untuk terus menambah ilmu pengetahuan dengan membaca dan menghasilkan kefahaman untuk disebarkan.

Peranan ulama muda seharusnya sedar dan yakin bahawa perjuangan untuk menyampaikan risalah ini kepada sekeliling adalah amanah yang harus digerakkan sebaik-baiknya agar ia mendatangkan hasil yang membolehkan generasi warisan benar-benar merasai betapa manisnya hidup bersyariat.

Tugas menggerakkan dakwah pastinya memerlukan kepada wasilah agar haluan perjuangan tersusun rapi dan tidak mendatangkan fitnah. Islam adalah rahmat seluruh alam, maka wasilah untuk menyebarkan kalimah Allah terlalu luas dan fleksibel mengikut kesesuaian keadaan.

Antara wasilah yang berkesan semenjak dahulu dan masih diterima pakai hingga sekarang adalah penulisan. Wasilah ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh ulama terdahulu dalam memastikan Islam terus sampai kepada generasi selepasnya. Sehingga kini kita boleh membaca ribuan kitab-kitab ulama terdahulu dalam pelbagai genre penulisan. Dengan keikhlasan mereka yang meletakkan dakwah dalam bentuk tulisan itu, maka sehingga sekarang kitab-kitab mereka dipandang tinggi dan tidak lapuk ditelan zaman.

Zaman serba canggih ini sudah pastinya terhidang seribu cabaran buat umat Islam dan ianya terus meningkat terutamanya melalui media massa dan elektronik seperti internet, akhbar, majalah dan lain-lain. Propaganda untuk mengelirukan masyarakat berkenaan kesucian Islam kadang-kala dari 'tangan-tangan umat', ini boleh dilihat dengan 'hidangan' hiburan untuk masyarakat yang disifatkan sebagai membina rohani, penyebaran surah-surah palsu, penyelewengan sejarah Islam dan sebagainya.

Zaman dunia terus melalui perubahannya, wasilah komunikasi sentiasa berubah agar tamadun semakin membangun pada padangan minda manusia. Lalu 'manhaj' serangan pemikiran diguna pakai oleh mereka agar kekalahan umat Islam bermula pada minda umatnya.

Kebobrokan yang berlaku dalam negara terus bertahan dalam dasar pemerintahan hingga mengakibatkan masyarakat menjadi kucar kacir. Keruntuhan moral semakin berlambak, norma-norma kehidupan dilanggar begitu sahaja sehingga seorang anak sanggup membuang ibu bapa sendiri, rasuah berleluasa, murtad dan kristianisasi, dan lambakan isu-isu lain yang menjauhkan masyarakat dari nilai-nilai Islam. Malangnya ideologi ini mendapat sokongan dan terus bertahan dengan adanya penulis-penulis yang lantang mempertahankannya melalui media massa.

Tuntasnya sebagai mahasiswa Islam, sudah menjadi tanggungjawab dan peranan kita untuk mempertahankan dan menjawab segala kekeliruan dan tohmahan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

Para ulama terdahulu membaiki kembali pemikiran umat Islam dengan bingkisan jawapan yang dipaparkan melalui kitab-kitab dan risalah dakwah, sebagaimana diusahakan oleh al-Banna, al-Ghazali, al-Qaradhawi, dan ramai cendekiawan Islam lagi.

Di tanah air tercinta nama-nama seperti  Tok Kenali, Syeikh Tahir Jalaluddin dan sahabatnya Sayed Syeikh al-Hadi cukup tegas dan lantang dalam menyedarkan masyarakat pada zaman mereka melalui majalah al-Imam.  Selain mereka ramai lagi tokoh ulama yang memanfaatkan bidang penulisan ini sebagai method untuk mereka menyampaikan ajaran Islam yang sebenar dan menyedarkan masyarakat agar bangkit menentang segala kekeliruan dan penyelewengan.

Tanamlah keinsafan dan perangilah kemalasan jiwa dan minda kita. Seruan jihad sudah sampai masanya, bukan dengan pedang atau kapal perang, bukan juga senapang atau meriam, tetapi jihad melalui penulisan.

Gelombang reformasi dan kebangkitan Islam perlu dirancakkan melalui media penulisan. Tanamkan keinsafan, tambahkan pengetahuan , pasakkan keyakinan, dan gerakkan secara berpasukan agar perjuangan ini terus berjalan dan mencapai kemenangan.

Mohd Safwan Abdullah,
Pengarah, Kelab Latihan Penulis (KELAP) PMRAM 2012.

Sumber : pmram.org
Jika Anda menyukai Artikel di blog ini, Silahkan klik disini untuk berlangganan gratis via email, dengan begitu Anda akan mendapat kiriman artikel setiap ada artikel yang terbit di Creating Website

0 comments :

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

 
Support : UPP KPIPM | PMRAM Cawangan Perak | KPIPM
Copyright © 2011. Laman KPIPM - All Rights Reserved
Template Modify by KPIPM64
Proudly powered by Blogger