Friday, June 8, 2012

Imtihan Syahadah, Martabatkan Keagungan Kalam Tuhan



Manusia yang waras akalnya serta baik pemikirannya pasti mengimpikan kejayaan dalam hidup. Namun perbezaan tahap akal inilah yang membawa kepada perbezaan definisi sebuah kejayaan. Kejayaan menuntut kepada pengorbanan, kesungguhan dan kesanggupan bagi menggapai cita-cita serta matlamat. Islam menyeru umatnya gigih berusaha dan alam memburu kejayaan dengan meletakkan Islam sebagai matlamat utama dan bukan sekadar matlamat sampingan.

Kalam hukama’ ada berbunyi “Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah”

Sesungguhnya kejayaan tidak akan dikecapi bagi mereka yang leka dan lalai. Kelalaian akan menjauhkan kita dari melaksanakan perkara-perkara berfaedah dan menjauhkan diri dari matlamat yang asal.

Menyingkap Firman Allah SWT :

(قد أفلح المؤمنون (1) الذين هم في صلاتهم خاشعون (2) والذين هم عن اللغو معرضون (3)
Maksudnya: "Sungguh beruntung orang-orang yang beriman. (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya. Dan menjauhkan diri dari perbuatan yang tidak berguna” [Surah Al-Mukminun :1-3]

Kekurangan diri bukan penghalang meraih kecemerlangan malah ianya menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah kelemahan tersebut. Keaiban diri bukan menjadi alasan untuk tidak meraih kecemerlangan. Malah kekuatan rohani menjadi pemangkin ke arah menyuntik kelemahan serta keaiban diri agar jiwa tidak terus diusik dengan godaan yang melunturkan semangat dan menggelapkan matlamat.

Memetik kalam Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) PMRAM 2012, Saudari Nurul Hasanah binti Yahuza : "Insan yang cemerlang adalah mereka yang menjaga hubungan dengan Allah, tidak suka bertangguh, matlamat belajar yang jelas dan penyusunan jadual pembelajaran yang teratur”.

Sehubungan dengan musim imtihan yang berlalu, barisan kepimpinan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) PMRAM 2012 mengucapkan selamat menghadapi imtihan buat seluruh mahasiswa dan mahasiswi Syahadah Qiraat di Ma’ahad Qiraat cawangan Shoubra dan Mansoura yang bermula dua hari lalu.

Susah bagaimana sekalipun mengingati ayat al-Quran, susah lagi menghayati dan mengamalkan isi kandungnya. Semoga golongan huffaz di Perlembahan Nil berjaya menjadi huffaz yang berjuang untuk meninggikan kalam Tuhan.

Akhir kata, semoga segala usaha yang dititipkan mendapat keberkatan  daripada Allah SWT serta menjadi tonggak merapatkan hubungan dengan Sang Pencipta.

Mardhiah binti Nordin
Ketua Unit Pendidikan Dan Komunikasi Bahasa,
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI PMRAM) 2012.

Sumber : pmram.org

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM