Sunday, June 3, 2012

Keunggulan Islam Untuk Kehidupan Masyarakat



Dewasa ini Islam semakin hari semakin diterima dalam kehidupan masyarakat. Ini merupakan satu petanda yang positif bagi pendokong Islam agar meningkatkan lagi kualiti amalan dan penyampaian dakwah agar manusia terus meyakini hanya dengan Islam manusia beroleh gaya hidup terbaik dan sempurna.

Pengiktirafan Islam telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran sekaligus memberikan gambaran awal untuk mengaplikasikan Islam dalam seluruh aspek kehidupan seharian.

Keunggulan Islam dapat dilihat dengan pelbagai keadaan dan pelaksanaan Islam yang bersifat adil tanpa mengira darjat dan latar belakang kedudukan. Contohnya ibadah solat yang telah diwajibkan kepada kita sama ada di kalangan Muslim di desa dan kota, lelaki mahupun perempuan, kaya ataupun miskin semua wajib melaksanakannya.

Kualiti keunggulan Islam memberikan impak besar dalam konteks masyarakat ialah "Amar maaruf nahi mungkar" kerana dengan melaksanakannya bakal menatijahkan kesempurnaan hidup dan dijanjikan keredhaan Allah SWT.

Menurut pandangan Dr. Muhammad Imarah, tranfomasi kehidupan masyarakat hasil implikasi daripada pelaksanaan "Amar maaruf nahi mungkar" ini akan memberikan peluang untuk meneruskan beberapa langkah pembaikan kepada masyarakat, antaranya :

- Menegakkan keadilan melalui pelbagai sudut pembelajaran ataupun praktikal.

- Melaksanakan sistem syura samada dalam institusi kekeluargaan, masyarakat dan pentadbiran negara.

- Berjihad dalam membantu golongan dizalimi dan membebaskan golongan lemah yang tidak berdosa.

- Mengutamakan aktiviti kebajikan untuk membantu manusia dalam segala bentuk sama ada duniawi atau ukhrawi.

- Memberikan kefahaman nilai kebebasan berlandaskan syariat Islam, teori diasimilasikan dalam ideologi dan  pengetahuan semasa.

Ini adalah sejajar dengan kehendak Islam sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah At-Taubah ayat 71 yang bermaksud :  "Dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagiannya menjadi penolong bagi sebahagian yang lain mereka mengajak kepada kebaikan, dan melarang daripada kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka akan dikurniakan kerahmatan oleh Allah SWT, sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

Kita masih berpeluang membuka mata dunia untuk mengetahui keunggulan Islam untuk semua lapisan masyarakat. Apa yang pasti tanggungjawab ini bukan terletak pada bahu seseorang tetapi ianya diamanahkan kepada semua dalam melunaskannya.

Umpama pepatah Melayu menyebut "Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang", maka usaha gigih perlu diteruskan demi melihat generasi rabbani direalisasikan agar Islam dijulang tinggi.

Sinergi kekuatan Islam terletak pada satu senjata ampuh dikenali dengan kesatuan. Dengan senjata ini sahaja mampu menggugat segala kesempitan yang berlaku, oleh itu ada benarnya kata pepatah "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat".

Kepentingan menjaga kesatuan ini adalah momentum unggul bagi umat Islam dipandang tinggi berbanding yang lain. Peristiwa sejarah kemenangan tentera Islam dalam beberapa siri peperangan adalah kerana kerjasama dan kebersamaan yang dibentuk atas dasar kefahaman Islam untuk berjuang.

Justeru, selagi umat Islam bersatu dengan keyakinan penuh kepada Allah SWT selagi itu Islam tertegak di bumi Allah SWT.

"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Ahmad Baihaki bin Rashid
Naib Presiden I
(Ketua Lajnah Dakwah & Pembangunan Insan)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Sumber : pmram.org

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...