Sunday, June 3, 2012

Ehya' Al-Jum`ah : Tanaman Di Rejab, Hasilan Di Ramadhan



Program Ehya’ Al-Jumaah yang merupakan agenda mingguan Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir dibawah seliaan Biro Dakwah dan Tarbiah kali ini berjalan seperti biasa.

Dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, alunan burdah, bacaan Yaasin dan seterusnya pengisian tazkirah. Pada malam tersebut tazkirah disampaikan oleh Saudara Huzairi b. Zamhuri,  mahasiswa tahun 2 kuliah Bahasa Arab. Permulaan tazkirahnya beliau menekankan supaya kita sentiasa mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w dan sentiasa berselawat kepada Baginda s.a.w. Mengulas diantara pesanan beliau dalam tazkirahnya, dekati dan tuntutlah ilmu daripada Pewaris Nabi iaitu para alim Ulama’ terutamanya di bumi Anbiya’ ini dan beliau berkongsi pesanan daripada seorang syeikh mengenai 3 perkara yang perlu dilakukan oleh penuntut ilmu, solat sunat Rawatib, membaca buku setengah jam sebelum masuk ke kelas dan selepas kelas dan terakhir qiamullail.

Beliau memetik kata-kata daripada pensyarahnya, “Penuntut ilmu umpama lebah, para alim Ulama’ umpama bunga dan ilmu itu umpama madu, Untuk mendapatkan madu yang manis seekor lebah itu perlu  mendapatkanya daripada bunga yang banyak,”ulas beliau. Sebelum akhirnya beliau mengingatkan supaya memperbanyakkan istighfar di bulan Rejab ini dan lakukan persediaan sebelum sampai bulan Ramadhan dan banyakkan amal ibadah serta istiqamah dibulan-bulan seterusnya.

Seterusnya, agenda diteruskan dengan penyampaian hadiah Baiti Jannati bagi bulan Mei, bagi kategori ikhwah disandang oleh Bait Afnan ( Syaqah satu, wisma b), Bait Mujahidin dan bagi kategori akhawat dimenangi oleh Bait Rabiatul Adawiyah. Tahniah diucapkan kepada yang menang dan kepada yang tak berjaya diharapkan  dapat menjayakan kempen Baiti Jannati anda dalam semua sudut.

Kemudian program Ehya’ Al-Jumaah diteruskan dengan solat Isya’ berjemaah dan solat hajat. Seterusnya di sebelah pagi,selepas solat Subuh berjemaah tazkirah disampaikan oleh Saudari Izzati Ismail di Wisma A dan Saudari Siti Nabilah bt. Zakaria di Wisma B. Beliau membawa pendengar memahami begaimana erti sebenar seorang pendakwah yang mana bukan sekadar mendalami bidang agama malah perlu mengetahui cabang-cabang bidang yang lain, seterusnya beliau mengulas mengenai ciri-ciri seorang pendakwah professional.

Majlis berakhir dengan bacaan Surah Al-Waqiah dan ditangguhkan dengan tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr.


No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...