Solat dalam keadaan berkasut bukan
merupakan satu adat kebiasaan bagi umat Islam di Malaysia. Namun, adat
kebiasaan sepatutnya tidak dijadikan sebagai hujah untuk kita memutuskan
bahawa memakai kasut sambil bersolat tidak disyariatkan oleh Islam. Segala
dalil yang berkaitan terutamanya daripada Al-Quran dan As-Sunnah perlu diteliti
terlebih dahulu sebelum kita mengambil sebarang keputusan berkaitan perkara
ini.
Hukumnya sah berdasarkan dalil
dari Sahih Muslim pada bab (Rasulullah SAW membenarkan solat berkasut): Rasulullah
SAW membenarkan solat dalam keadaan berkasut dan bersandal selama mana ianya
tidak bernajis.
Dalil yang berkaitan dengan
bab ini ialah :
1) Diriwayatkan oleh Adam Bin Abi
Iyas berkata dari Syu`bah berkata daripada Abu Maslamah Said Bin Yazid Al-Azyid
RA katanya:
“Aku pernah
bertanya Anas bin Malik adakah Rasulullah SAW pernah bersolat dengan memakai
kasut?” Anas menjawab “Ya!”
(Hadis riwayat Sahih Bukhari no.
386, Sahih Muslim no. 555 dan dalam Sunan Tirmidzi no. 396). Kemudian Abu
Maslamah mengatakan bahawa para ulama sepakat mengamalkannya.
2) Imam Al-Iraqi di dalam syarahnya
terhadap kitab Sunan Imam At-Tirmidzi :
"Bahawa
solat dengan memakai kasut diamalkan dan disukai oleh Umar Al-Khattab, Uthman
Ibnu Affan, Abdullah Ibnu Abbas, Anas bin Malik,Salamah bin Al-Akwa dan Aus
ibnu Ath-Tsaqafi radiyallahu anhu."
3)Ibnu Abi Aus berkata bahawa
pakciknya menerangkan bahawa "saya melihat RAsullAllah menunaikan solat
dengan memakai kedua-dua kasutnya" (Hadis dari Sunan Ibnu Majah)
Solat dalam keadaan berkasut
menurut pandangan Ibnu Dakik adalah satu bentuk rukhsah (keringanan
yang diizinkan dalam keadaan tertentu) dalam ibadah solat dan bukannya perkara
sunat kerana ianya tidak termasuk dalam perkara yang dituntut ketika bersolat.
Ianya boleh dilakukan dengan syarat kita perlu memastikan dengan penglihatan biasa bahawa tiada
kesan-kesan najis atau kotoran yang melekat pada kasut.
Mengikut pandangan ulama,
sekiranya terdapat najis ianya boleh dibersihkan dengan menggosokkan kasut ke
tanah untuk menyucikannya dan kadar bersihnya memadai boleh dilihat dengan mata
kasar. Imam Syafie memberikan 2 pandangan iaitu sah dan tidak sah.
Kisah
berkaitan pensyariatan perkara ini
Amalan bersolat dengan memakai
kasut ini, sebenarnya bermula di awal penghijrahan umat Islam ke Madinah.
Ketika itu memang telah wujud beberapa kumpulan kaum Yahudi yang tinggal di
sana. Apabila Nabi Muhammad S.A.W dan umat Islam mendirikan solat di masjid
yang baru dibina dengan tidak berkasut maka berkata penduduk kaum Ansar
Madinah, bahawa orang Yahudi juga beribadah tanpa berkasut.
Maka dengan itu Nabi S.A.W
memerintahkan agar umat Islam bersolat dengan berkasut. Telah diriwayatkan
daripada Abu Daud dan Al-Hakim daripada Syadad Bin Aus berkata Nabi Muhammad
SAW telah bersabda :
"Berperilakulah
yang berlawanan dengan orang-orang Yahudi kerana mereka tidak mengerjakan solat
dengan memakai sandal atau kasut mereka".
Adapun hadis berkaitan dengan
mengenai berkasut dalam solat merupakan suatu perkara yang diperintahkan
yang diriwayatkan oleh Ibnu Adi dan Ibnu Mardawiyah merupakan hadis dhaif.
Oleh itu, sebab atau punca
permulaan hukum diharuskan memakai kasut ketika bersolat ialah bagi membezakan
diri daripada perbuatan ibadah kaum Yahudi. Islam sememangnya sejak dari awal
kelahirannya amat menekan kepada umatnya agar membezakan diri dari kaum-kaum
yang lain. Ini termasuklah cara peribadatan, cara berpakaian, adat kebiasaan
dan sebagainya. Tuntutan ini ialah bagi membuktikan Islam adalah agama yang
unggul dan ia tidak bercampur aduk atau hasil tiruan dari agama-agama lain. Membezakan
diri dari agama lain juga bermatlamat supaya kita dapat memastikan bahawa amal
ibadat kita adalah tulen dari ajaran Islam yang sejati dan bukan pinjaman dari
agama lain.
Keadaan
perlaksanaan solat berkasut
Solat dalam keadaan berkasut boleh
dilakukan tanpa mengira masa. Rasulullah SAW melakukannya terutama ketika
bermusafir. Namun, Rasulullah SAW tidak melakukannya ketika bersolat di dalam
rumah Baginda SAW. Hal ini menunjukkan solat dalam keadaan ini perlu dilaksanakan
mengikut keadaan. Pada masa kini, kebanyakan masjid atau surau telahpun dibina
dengan binaan yang sempurna dan menyediakan hamparan sejadah, permaidani atau
simen sebagai alas bersolat. Oleh itu, solat dalam keadaan berkasut tidak
dituntut perlaksanaannya dalam keadaan ini kerana kawasan solat yang bersih.
Akan tetapi, sekiranya keadaan tersebut perlu maka tiada masalah untuk
menunaikannya melalui dalil-dalil yang telah kita bentangkan sebentar
tadi. Cuma perkara yang tidak biasa dilakukan pastinya akan kekok ketika mana
menunaikannya.
Kesimpulan
1)Solat dengan keadaan berkasut
dibolehkan dengan syarat ia bersih daripada najis.
2)Solat dengan keadaan berkasut
ialah sunnah Rasulullah SAW dan termasuk dalam perkara rukhsah dalam
agama.
3)Syariat Islam diwahyukan oleh
Allah dan tidak akan menyerupai amalan agama lain.
4)Dalil agama perlu mengatasi adat
kebiasaan dalam menentukan hukum sesuatu ibadat.
Rujukan :
1)Sahih Bukhari, hadis 386. Bab
solat berkasut. Percetakan Maktabah As-thaqafah Ad-diniah.
2)Sahih Muslim Bisyarah Nawawi.
Jilid Ketiga. Percetakan Maktabah Dar At-turath.
3)Fathul Bari. Juzuk pertama.
Percetakan Maktabah Obaikan.
Tambahan rujukan :
- Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi
Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, , jilid pertama, oleh Syeikh Atiyah Saqar, cetakan
Maktabah Wahbah
Wallahu a’lam
Disediakan oleh :
Muhammad Zuhaili Bin Zanal Ali,
Anggota Felo MANHAL PMRAM 2012
Sumber : manhal.pmram
No comments:
Post a Comment