Saturday, October 29, 2011

Teratak Islami Pencetus Akhlak Sejati



Saban hari ada sahaja insan yang dilahirkan atas nama Islam. Mereka lahir dengan status Islam baqa’ tetapi tidak mengerti tanggungjawab mereka di atas status Islam yang di miliki. Islam pada mereka hanyalah sekadar slogan dan istilah sahaja. Saidina Umar RA mengimpikan rijal yang hebat dan  membariskan nama-nama yang terbukti hebat seperti Abu Ubaidah bin Jarrah dan Mu’az bin Jabal dalam hal jihad untuk agama Allah. ‘Ibrahnya di sini adalah, bukan kuantiti pemuda yang diharapkan dalam membela agama yang suci ini, bahkan kualitilah yang menjadi penyebab kepada kejayaan    meninggikan kalimah Allah.

Islam kini mencecah bilangan yang hampir suku penduduk dunia yang tersebar diseluruh benua. Jumlah ini merupakan aset utama dalam             menegakkan Islam. Jamaluddin al-Afghani pernah berkata kepada rakyat India : ”Sekiranya bilangan kamu yang berjuta-juta ini semuanya mampu menjadi lalat,  nescaya kamu mampu untuk menghancurkan telinga Inggeris”. Persoalannya, bagaimanakah kuantiti umat Islam yang ramai ini dapat                      ditransformasikan supaya menjadi generasi yang berkualiti? Jawapannya adalah dengan akhlak Islamiah menghiasi peribadi dan menjadi pakaian diri setiap muslim.

Orientalis barat ada menyatakan “Islam tidak akan tertegak selagi solat subuh tidak menyamai solat Jumaat”. Perkara penting yang dapat kita ‘highlightkan’ dari ungkapan ini adalah solat berjemaah. Seorang muslim sepatutnya memahami bahawa solat berjemaah adalah satu perkara yang amat dituntut kerana ianya merupakan kunci kekuatan umat Islam serta dapat menjalinkan ukhuwwah sesama muslim.

Apabila ukhuwwah dapat dijalinkan maka dari situ akan terlahirnya satu perpaduan dikalangan  umat islam. Hakikatnya, kita adalah umpama batu-bata yang berselerak dan perlu diikat dengan teguh dan kuat dengan hubungan yang erat di antara satu sama lain. Keteguhan ukhuwwah di jalan Allah   merupakan satu perkara yang berpengaruh kuat dan mampu menarik dan memperingatkan kita kembali ke jalan kebenaran sewaktu kita lemah dan leka. Disebabkan kekuatan luar biasa yang terkandung dalam persaudaraan Islam, maka perkara pertama yang Rasulullah SAW            laksanakan sewaktu berhijrah ke madinah adalah mempersaudarakan golongan muhajirin dan ansar.  Melalui hubungan persaudaraan ini, maka keteguhan saf di dalam perjuangan Islam itu dapat diwujudkan. Firman Allah s.w.t., maksudnya : “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (Al-Saff: 4)

Kegiatan usrah adalah sebahagian daripada langkah mengeratkan persaudaraan, kerana perkataan usrah yang bermakna keluarga itu adalah lebih  bertujuan untuk menjalinkan hubungan dan menyelesaikan masalah secara kekeluargaan serta membuka ruang bagi menambahkan thaqafah dalam diri setiap individu muslim. Melalui medan ini  juga kita dapat menggerakkan ‘jentera-jentera’  yang memahami ‘hakikat hidup ini adalah satu ibadah’ untuk sama-sama bergerak seiring dalam membanteras budaya yang merosakkan masyarakat khususnya pemuda pemudi Islam. Antara budaya yang sudah mencapai  ‘kanser  tahap keempat’ adalah zina, pembuangan bayi, penggunaan media elektronik secara tidak sihat, lumba haram, murtad dan sebagainya. Maka ‘jentera-jentera’ yang telah ditarbiah inilah yang bertanggungjawab untuk menutup ‘ruang’ maksiat yang  semakin subur dan sihat dengan berusaha sehabis mungkin dalam membanteras punca kepada budaya tersebut seperti membanteras hubungan yang tidak syar’ie, membuka pemikiran pemuda-pemudi Islam untuk memanfaatkan penggunaan media elektronik dan sebagainya.

Nyata, krisis yang melanda umat Islam hari ini adalah kerana mereka tidak melaksanakan akhlak Islamiah yang sebenar. Penyelesaian fenomena ini akan jauh lebih buruk lagi sekiranya mereka gagal meleburkan asas-asas akhlak Islamiah ini ke dalam diri dan jiwa mereka. Arus jahiliah sedang melanda ummah Islam pada hari ini sehingga menenggelamkan ciri-ciri Islam. Jahiliah jauh menonjol memadamkan obor syiar Islam.

Resolusinya, umat Islam perlulah kembali menyemai  akhlak Islamiah yang sejati. Berusaha menyematkannya dalam diri dan mencernakan dalam setiap tindakan dan tingkah laku. Seterusnya, akhlak ini disebarkan ke seluruh umat dunia, sehingga terpadamnya fitnah jahiliah dan semuanya  kembali kepada pengabdian diri kepada Allah S.W.T.





Disediakan Oleh :
BIRO DAKWAH DAN TARBIAH
KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR
SESI 2011/2012



No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM