Tuesday, October 4, 2011

Langkah Penjagaan Kesihatan Di Musim Sejuk




1. Sepertimana yang kita sedia maklum, musim sejuk di Mesir akan tiba tidak lama lagi. Pendedahan kepada cuaca yang sejuk boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan. Oleh itu, langkah-langkah penjagaan kesihatan yang baik haruslah diamalkan bagi melindungi diri anda daripada menghadapi masalah kesihatan akibat cuaca sejuk.

2. Antara masalah kesihatan yang boleh dihadapi semasa musim sejuk adalah seperti berikut:

a. Masalah kulit kering
b. Jangkitan Kulat
c. Trenchfoot
d. Hipothermia (Kesejukan)

KULIT KERING


3. Udara dan angin sejuk boleh mengakibatkan kekeringan kulit. Masalah ini selalunya terjadi di kawasan kulit yang terdedah seperti bibir dan tangan dan juga celah-celah sendi, siku dan lulut. Kulit yang kering biasanya akan pecah dan terasa gatal serta menyebabkan anda terasa ingin menggaru. Jika kulit digaru secara berlebihan, lapisan perlindungan atas kulit boleh tercalar. Ini membolehkan kuman masuk ke lapisan dalam kulit dan          menyebabkan jangkitan kuman merebak.

4. Cara mencegah dari kulit kering:

a. Gunakan krim pelembap kulit dan lip balm dengan kerap supaya kulit sentiasa lembut.
b. Pastikan kuku sentiasa pendek untuk mencegah dari mengaru kulit dengan kuat.
c. Pastikan kulit sentiasa bersih untuk mengelakkan jangkitan kuman.
d. Minum air masak/mineral dengan mencukupi (8 gelas sehari).
e. Pastikan anda membasuh tangan dengan bersih setiap kali sebelum makan.

JANGKITAN KULAT

5. Cuaca sejuk boleh melambatkan proses pengeringan pakaian yang basah. Masalah boleh terjadi jika pakaian yang masih basah dipakai semasa anda bertugas. Tempat yang lembap dan basah serta kurang saluran udara adalah tempat yang berisiko bagi jangkitan kulat atau fungus merebak. Jangkitan kulat boleh terjadi di mana-mana dan kebiasaannya terjadi di celah-celah jari kaki serta di celah peha dan ketiak.
 6. Cara mencegah dari jangkitan kulat :

a. Pastikan stokin dan seluar dalam ditukar setiap hari dan sentiasa berada dalam keadaan kering. Ini juga termasuklah kasut yang dipakai.
b. Pastikan kulit terutama pada celah-celah jari kaki dan celah-celah peha sentiasa kering.
c. Pengunaan bedak pada badan dan kaki boleh menolong dalam memastikan celah-celah kulit berada dalam keadaan kering dan seterusnya boleh mengelakkan daripada jangkitan   kulat berlaku.
d. Ambil kesempatan untuk membuka kasut dan stokin apabila anda tidak bertugas.
 
TRENCH FOOT (KAKI MEREKAH)

7. Trench Foot boleh terjadi kepada kaki yang terdedah kepada keadaan basah, kotor dan cuaca sejuk (suhu di bawah 10 ‘C) secara berlarutan. Kaki akan terasa kebas, sejuk, sakit dan menjadi bengkak. Kuman boleh masuk di tempat kulit yang pecah dan boleh mengakibatkan jangkitan.

8. Cara mencegah dari trench foot:

a. Pastikan kaki anda sentiasa dalam keadaan panas/suam dan kering.
b. Sentiasa bersihkan dan keringkan kaki dengan rapi.
c. Memakai stokin yang bersih dan menukarnya setiap hari.

HIPOTERMIA 

9. Hipotermia adalah satu situasi dimana suhu badan menurun di bawah 35°C. Ini boleh terjadi sekiranya badan anda tidak dilindungi dan terdedah kepada suhu pesekitaran yang sejuk. Jantung, urat saraf dan organ yang lain tidak boleh berfungsi dengan betul jika suhu badan terlalu rendah. Pesakit biasanya akan merasa lemah, keliru, kurang koordinasi pergerakan anggota badan, kurang keupayaan untuk bercakap dan hilang kesedaran semasa menghidap hipotermia.

10. Cara mencegah dari hipotermia:

a. Pastikan pakaian sentiasa bersih dan kering.
b. Pakai beberapa lapisan pakaian ringan yang longgar yang boleh menakung lapisan udara dan mencegah haba badan dari hilang ke persekitaran.
c. Pakai penutup kepala dan sarung tangan untuk mencegah haba badan daripada hilang ke persekitaran.
d. Elakkan melakukan aktiviti yang berlebihan yang menyebabkan banyak berpeluh kerana kombinasi pakaian basah dan cuaca sejuk boleh menyebabkan haba badan hilang dengan cepat.
e. Elakkan tidur atau berbaring di atas lantai.


SELAMAT BERAMAL.

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM