Tuesday, October 11, 2011

Keadaan Mahasiswa/wi Malaysia Di Mesir Stabil Dan Terkawal


KAHERAH, 11 Okt - Berikutan kes pertempuran berdarah yang berlaku di Masbero, Kaherah pada 9/10/2011 yang menyebabkan kematian seramai 24 orang dan ratusan yang cedera, pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) menjelaskan bahawa kondisi bagi mahasiswa/wi Malaysia di Mesir dalam keadaan stabil dan terkawal.

Sehingga kini, di peringkat PMRAM, tidak ada keterlibatan mahasiswa/wi Malaysia dalam insiden terbabit.

Insiden tersebut hanya berlegar di sekitar Medan Tahrir sahaja, yang jauh daripada penempatan mahasiswa/wi Malaysia di Kaherah.

Ekoran kes yang berlaku, pihak tentera telah pun mengeluarkan perintah berkurung bermula jam 2 pagi sehingga 7 pagi sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan setiap orang awam.

Sehubungan itu, Syeikhul Azhar Syeikh Ahmed Tayyib mengadakan pertemuan pada pagi tadi (10/10/2011) diantara para pembesar agama Islam dan juga Masihi bagi membincangkan jalan penyelesaian berkenaan perkara ini.

Pertemuan tersebut turut menjemput Pope Shenouda III, Pope Alexandria dan beberapa pemimpin Kristian yang lain untuk mengambil bahagian dalam perbincangan tersebut.

"PMRAM minta semua pihak dalam keadaan tenang terutama para ibu bapa di Malaysia. PMRAM sentiasa memerhatikan keadaan yang berlaku dan menghulurkan sebarang bantuan terhadap apa yang berlaku," ujar Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman.

"PMRAM juga telah mengeluarkan pekeliling keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga. PMRAM juga telah memaklumkan kepada pihak kedutaan di sini dan sentiasa memberikan kerjasama yang terbaik demi kebajikan dan keselamatan mahasiswa/wi Malaysia di Mesir," tambah beliau lagi.

Namun begitu, beliau turut mengingatkan agar semua mahasiswa/wi Malaysia di Mesir sentiasa berjaga-jaga dengan situasi yang berlaku dan mematuhi pekeliling keselamatan yang telah dikeluarkan.

Sumber : pmram.org

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM