Home » » Mencabul Hak Dan Suara Ahli KPIPM

Mencabul Hak Dan Suara Ahli KPIPM



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Segala Puji bagi Allah S.W.T yang memberikan nikmat hidup bagi menyempurnakan amanah sebagai hamba. Selawat dan salam kepada junjungan besar nabi Muhammad S.A.W yang memandu manusia ke jalan yang benar bagi mengikuti  perintah Allah dan meniggalkan segala laranganNya.

Alhamdulillah, kita berada di dalam bulan yang penuh keberkatan iaitu bulan Ramadhan. Semoga kita dapat menggunakan setiap ruang masa dan kesempatan untuk menggandakan amalan seterusnya membenarkan firman Allah S.W.T dengan menjadi hamba yang bertaqwa. Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan ganjaran daripada Allah S.W.T. Justeru, Biah solehah perlu diteruskan sejajar dengan kehendak bulan yang penuh kemuliaan.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah S.W.T Sekalian,

Dewasa ini kita telah mendapati bahawa telah berlaku pencabulan ke atas hak bersuara anak-anak Perak iaitu usul Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kali ke 44 yang telah diputuskan. Usul yang berbunyi “ Membenarkan penggunaan komputer di Wisma Darul Ridzuan dengan syarat tertentu manakala penggunaan internet  hanya di tempat yang dikhususkan”.

Sebagai maklumat untuk para sahabat sekalian, pemasangan wireless telah dilakukan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) melalui pegawai, Encik Abdul Muhaimin Bin Abdul Majid. Pemasangan ini bertujuan memberikan kemudahan kepada penghuni di Wisma Darul Ridzuan B untuk menggunakannya di setiap ruang wisma termasuk di dalam syaqah masing-masing.

Kaedah penggunaannya adalah dengan memberikan nama kepada petugas yang dilantik oleh Pejabat HEP berserta bayaran LE 30 sebulan. Seterusnya, akan diberikan password dan boleh menggunakannya mengikut kehendak masing-masing.
Oleh yang demikian, tindakan yang telah dilakukan oleh pihak pejabat HEP jelas bertentangan dengan apa yang telah diputuskan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kali ke 44.


PENDIRIAN KPIPM 

KPIPM tidak bersetuju dengan tindakan yang telah dilakukan oleh pihak pejabat HEP dan tindakan tersebut telah mencabul hak dan suara anak-anak Perak di Mesir.

TINDAKAN YANG TELAH DIAMBIL

Kepimpinan KPIPM telah mengadakan perjumpaan bersama dengan Encik Abdul Muhaimin Bin Abdul Majid pada 26 Julai 2012, Khamis di Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP). Wakil KPIPM yang turut serta dalam perjumpaan tersebut ialah saudara Mohammad Omar Adam, Yang Dipertua KPIPM, Saudara Ibnu Abbas Azizuddin, Timb. Yang Dipertua dan Saudara Hanif  Musa, AJK Badan Penasihat.

Antara perkara yang dibincangkan iaitu pendirian pejabat HEP berhubung perkara ini. Namun, apa yang dikesali adalah beliau bertegas dalam tindakannya dan setelah ditanya mungkin wujud permintaan daripada anak-anak perak, beliau menegaskan tiada sebarang sebab lain dalam pemasangannya melainkan kehendak beliau sendiri.

Pihak KPIPM telah menuntut beliau bertanggungjawab dalam sebarang perkara yang berlaku berhubung tindakan beliau.

Dalam pada itu, penjelasan berhubung perkara ini (penggunaan internet) telah dijadikan usul juga telah dinyatakan kepada pihak pejabat HEP oleh wakil pimpinan.  

BERSAMA MEMPERTAHANKAN USUL KPIPM DAN BIAH SOLEHAH

Pihak KPIPM menegaskan perkara ini (pelaksanaan undang-undang) bertepatan dengan sumber perundangan Islam iaitu masalih mursalah (undang-undang yang baik dan berfaedah untuk kepentingan manusia dan masyarakat yang tidak ada sebarang nas untuk dijadikan bukti dan dasar samada ia boleh dilaksanakan, harus atau tidak boleh dilaksanakan)

Perkara ini juga boleh diklasifikasikan sebagai peringkat maslahah daruriyyah (keperluan yang wajib dijaga) iaitu memelihara agama.

Menurut pendapat Imam al-Ghazali, terdapat beberapa syarat dalam penggunaan masalih al-mursalah. Antaranya ialah, sesuatu maslahah itu haruslah sampai ke peringkat maslahah daruriyyah yang menjaga lima perkara utama iaitu agama, jiwa, keturunan, akal dan harta. Oleh yang demikian, Imam al-Ghazali telah menetapkan tiga syarat untuk sesuatu itu dianggap sebagai maslahah daruriyyah. Hal ini dapat dilihat seperti berikut:

1.         Mestilah  merangkumi  faedahnya kepada orang Islam.
2.         Segala penetapan hukum yang ditetapkan berdasarkan kemaslahatan mestilah rasional dan boleh diguna pakai.
3.         Maslahah itu benar-benar mendatangkan manfaat dan menolak mudharat. 

Kaedah fiqh ada menyebut  :
درء المفاسد اولي من جلب المصالح

menolak kerosakan lebih baik daripada mendapatkan manfaat

Tidak dinafikan wujud kebaikan berdasarkan kemudahan yang disediakan. Oleh itu, pihak KPIPM menyediakan alternatif yang boleh memberikan kesempatan  untuk ahli mengambil peluang-peluang yang ada. Atas dasar itu, Pihak KPIPM telah menyediakan Cyber Café (Silver Net) di kedua-dua wisma.

Berdasarkan maklumat yang dilaporkan oleh pihak Hisbah KPIPM, masalah Hisbah di Wisma Darul Riduzan semakin meruncing dari sudut penggunaan media elektronik (layari laman web tidak syarie), prestasi solat jemaah merosot, jalinan ukhuwah tidak dipraktikkan dan sebagainya.

Oleh itu, Usul KPIPM itu berpandukan menurut kaedah menolak kerosakan itu lebih baik daripada memperoleh manfaat  .

Pihak KPIPM juga menegaskan usul yang telah disepakati ini merupakan suara majoriti anak-anak perak di dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT).
Allah S.W.T menjelaskan di dalam firmannya:

وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ

bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. (Surah ali Imran :159)

Saidina Umar bin Al-Khattab juga tidak memutuskan suatu urusan yang penting tanpa bermesyuarat terlebih dahulu dengan para sahabatnya. Ia berkata,“Pendapat satu orang bagaikan satu benang yang tidak terikat, dua pendapat bagaikan dua benang yang terikat, dan tiga benang adalah kekuatan dahsyat yang hampir tidak boleh dihancurkan.”

Mesyuarat merupakan satu kekuatan bagi umat Islam dan dapat memperkukuhkan hubungan antara satu sama lain. Begitulah dalam konteks ahli KPIPM dalam menuruti sunnah nabi dan para salafus soleh.

Apabila mesyuarat telah memutuskan suatu perkara, maka ahli mesti mendokong dan memberi komitmen untuk melaksanakannya tanpa melawan atau menentang kelompok yang bermesyuarat atau pemimpin yang mendapat tanggungjawab melaksanakan keputusan bersama tersebut.

Hal ini diperkuat dengan sabda Rasulullah S.A.W,

” Barangsiapa taat kepadaku maka ia telah taat kepada Allah, barangsiapa membangkang terhadapku maka ia telah berbuat derhaka kepada Allah, barangsiapa taat kepada pemimpinku maka ia telah taat kepadaku, dan barangsiapa membangkang kepada pemimpinku maka ia telah membangkang terhadapku. Seorang Imam                      ( pemimpin) merupakan benteng yang melindungi orang yang berperang di belakangnya dan mengamankannya. Apabila ia memerintahkan untuk bertakwa kepada Allah dan berbuat adil, maka ia berhak mendapat pahala, dan apabila ia memerintahkan yang lain, maka ia harus menanggung dosa.”(Ahmad : 10226)

Sebagai penegasan, usul ini adalah bukan sesuatu yang tetap akan dilaksanakan sampai bila-bila tetapi boleh berubah mengikut keadaaan semasa. Medium yang disediakan adalah Mesyuarat Agung Tahunan (MAT). Oleh itu, ahli yang bertanggungjwab mestilah sentiasa memberi komitmen dalam medium yang disediakan.

Justeru, saya mewakili seluruh anak-anak perak mengharapkan kepada Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) untuk menghentikan dengan segera segala tindakan yang telah dilaksanakan itu. Selain itu, pihak KPIPM juga mengharapkan agar segala keputusan yang telah diputuskan itu boleh diterima dengan hati yang terbuka bagi semua pihak.

Hal ini penting demi kemaslahatan bersama. Mari sama-sama kita teguhkan ukhuwah, satukan fikrah demi mencapai cita-cita dalam mendalami ilmu dan menjadi penyambung mata rantai perjuangan Rasulullah S.A.W.

Disediakan oleh :
Mohammad Omar Bin Adam
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
Sesi 2011/2012
Jika Anda menyukai Artikel di blog ini, Silahkan klik disini untuk berlangganan gratis via email, dengan begitu Anda akan mendapat kiriman artikel setiap ada artikel yang terbit di Creating Website

0 comments :

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

 
Support : UPP KPIPM | PMRAM Cawangan Perak | KPIPM
Copyright © 2011. Laman KPIPM - All Rights Reserved
Template Modify by KPIPM64
Proudly powered by Blogger