Friday, July 20, 2012

Anak Bulan Ramadhan : Antara Keselarasan Dan Perbezaan Bagi Negara Islam



Cara Menetapkan Anak Bulan Ramadhan

Kewajipan puasa ke atas umat Islam bermula pada tahun 2 Hijrah. Nabi Muhammad SAW melakukannya ibadah puasa di bulan Ramadhan sebanyak 9 kali sebelum wafat pada tahun ke-11 Hijrah iaitu 11 Rabiulawal.[1]

Cara menetapkan anak bulan Ramadhan dengan 3 kaedah iaitu:

      1)      Melihat anak bulan (nampak anak bulan Ramadhan)
      2)      Menyempurnakan bulan Syaaban sebanyak 30 hari
      3)      Ilmu falak
Cara yang ketiga (menggunakan ilmu falak) tidak berlaku pada zaman Nabi SAW kerana pada ketika itu penyusunan ilmu falak masih belum wujud. Cara pertama dan kedua sahaja yang pernah digunakan pada zaman Nabi SAW.

Dalil yang menyatakan bahawa untuk mengistinbatkan (menetapkan) datangnya anak bulan Ramadhan melalui melihat atau penyaksian berdasarkan kepada hadis berikut :

Sesungguhnya Ibnu Umar radiallahu ‘anhuma telah melihat anak bulan. Maka beliau memberitahu kepada Rasulullah SAW berkenaan dengan apa yang dilihatnya itu. Maka Rasulullah SAW menyuruhnya untuk berpuasa dan mengarahkan orang ramai (umat Islam) berpuasa.[2]

Firman Allah SWT :

"Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa.” (Surah Al-Baqarah: 185)

Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, Nabi SAW bersabda :

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ

"Berpuasalah kamu sekiranya nampak anak bulan (Ramadhan), dan berbukalah apabila nampak anak bulan (Syawal). Maka sekiranya gelap (tidak kelihatan anak bulan Ramadhan) cukupkanlah bulan Syaaban itu 30 hari.” (Bukhari)

Daripada Ibnu Abbas berkata, “Telah datang seorang lelaki Arab kepada Nabi SAW lalu berkata :

إِنِّي رَأَيْتُ الْهِلَالَ يَعْنِي رَمَضَانَ فقال أَتَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إلا الله قال نَعَمْ قال أَتَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رسول اللَّهِ قال نَعَمْ قال يا بِلَالُ أَذِّنْ في الناس فَلْيَصُومُوا غَدًا

‘Sesungguhnya aku telah melihat anak bulan Ramadhan.’ Nabi SAW bertanya, ‘Adakah kamu menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah?’ Jawab lelaki tadi, ‘Ya.’ Baginda SAW bertanya lagi, ‘Adakah kamu menyaksikan bahawa aku pesuruh Allah?’ Jawabnya, ‘Ya.’ Sabda Baginda SAW, ‘Wahai Bilal, laungkan khabar ini kepada orang ramai (umat Islam) untuk berpuasa esok.” (Abu Daud)


Apakah Syarat Bagi Orang Yang Melihat Anak Bulan?

Penyaksian bagi menetapkan kedatangan Ramadhan memadai dengan seorang lelaki yang adil. Berbeza dengan penyaksian-penyaksian yang lain seperti zina yang memerlukan kepada empat orang saksi, penyaksian bagi membuktikan seseorang minum arak adalah 2 orang dan lain-lain lagi.

Bagi menetapkan anak bulan Ramadhan, memadai dengan seorang saksi lelaki yang adil sahaja berbanding dengan 2 contoh yang dibawakan di atas kerana penyaksian yang menetapkan anak bulan Ramadhan melibatkan ibadah-ibadah tertentu iaitu puasa, solat terawih dan sebagainya. [3]

Berbeza dengan zina ia melibatkan hak Allah SWT iaitu hudud. Begitu juga peminum arak kerana melibatkan hukum hudud, maka disyaratkan saksi lebih daripada seorang supaya lebih berjaga-jaga dan tidak berlaku penipuan yang menyebabkan individu yang tertuduh dizalimi.
Bahkan Ibnu Rif'ah dan Ibnu Muqri[4] mengatakan bahawa mana-mana penyaksian yang melibatkan ibadat-ibadat pada sesuatu bulan itu maka memadai dengan seorang saksi lelaki yang adil sahaja.

Maka, di dalam Mazhab Syafi'e memadai seorang saksi sahaja bagi menetapkan kedatangan Ramadhan berserta beberapa syarat yang dikenakan ke atas saksi tadi iaitu:

      1-      Lelaki.
      2-      Adil.
      3-      Merdeka.
      4-      Ar-Rusyd – orang yang pandai menguruskan perkara yang melibatkan harta.
      5-      Menjaga maruah.
      6-      Melihat anak bulan dalam keadaan yang terjaga.
      7-      Boleh bercakap.
      8-      Boleh mendengar.
      9-      Boleh melihat.
      10-  Tidak melakukan dosa besar.
      11-  Tidak berterusan melakukan dosa kecil.
Syarat adil memadai dengan 'adalah zohirah iaitu memadai kita mengetahui seseorang saksi tersebut dengan perwatakan yang baik tanpa memerlukan intipan dan penelitian yang rumit sama ada seseorang saksi itu benar-benar adil atau tidak. Ini sebagaimana yang tercatat di dalam kitab-kitab feqah Mazhab Syafi'e.

Waktu untuk melihat anak bulan ialah pada 29 Syaaban malam ke-30.


Menyempurnakan Bulan Syaaban Sebanyak 30 Hari

Cara yang kedua dalam menetapkan kedatangan Ramadhan ialah dengan kita mencukupkan bilangan hari di dalam bulan Syaaban sebanyak 30 hari. Hal ini kerana bulan-bulan di dalam Islam itu sama ada 29 hari atau 30 hari dalam sebulan. Maka jika cara pertama iaitu dengan melihat anak bulan Ramadhan pada 29 Syaaban malam ke-30, hasilnya anak bulan kelihatan maka wajib berpuasa pada keesokannya. Jika tidak, hendaklah dicukupkan bulan Syaaban itu sebanyak 30 hari.

Dalil yang digunakan dalam pelaksanaan cara yang kedua ini ialah:

Daripada Ibnu Umar radiallahu ‘anhum berkata, Nabi SAW bersabda :

الشَّهْرُ تِسْعٌ وَعِشْرُونَ لَيْلَةً فلا تَصُومُوا حتى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا الْعِدَّةَ ثَلَاثِينَ

"Sebulan itu 29 hari. Maka jangan kamu berpuasa sehingga kamu melihat anak bulan. Maka sekiranya mendung atau gelap (yakni anak bulan tidak kelihatan) maka cukupkan bulan tersebut sebanyak 30 hari." (Bukhari)

Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, Nabi SAW bersabda :

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ

"Berpuasalah kamu sekiranya nampak anak bulan (Ramadhan), dan berbukalah apabila nampak anak bulan (Syawal). Maka sekiranya gelap (tidak kelihatan anak bulan Ramadhan) cukupkanlah bulan Syaaban itu 30 hari.(Bukhari)

Justeru, cara kedua ini iaitu mencukupkan bilangan bulan Syaaban sebanyak 30 hari selepas melihat anak bulan pada 29 Syaaban, maka apabila kelihatan anak bulan maka wajib berpuasa pada keesokkannya dan bulan Syaaban dikira hanya 29 hari sahaja. Jika tidak kelihatan, maka, cukupkan bulan Syaaban sebanyak 30 hari. Hal ini demikian juga ijma' daripada ulama berdasarkan dalil-dalil yang lepas bahawa bulan di dalam Islam itu sama ada 29 hari atau 30 hari.


Ilmu Falak

Kaedah ilmu falak dalam penentuan sesuatu bulan di dalam Islam merupakan satu susunan ilmu moden yang diguna pakai pada zaman sekarang. Kaedah ini tidak digunakan pada kurun-kurun yang lepas. Kaedah ilmu falak ini bukan sekadar menentukan bulan Ramadhan sahaja, bahkan juga menentukan semua bulan berdasarkan kiraan falak. Begitu juga sekarang dengan waktu solat, boleh dikatakan rata-rata menggunakan kaedah falak berdasarkan takwim solat yang telah tersedia ada, tanpa perlu mengukur bayang-bayang dalam setiap kali menentukan waktu solat.

Kebanyakkan ulama menerima akan kaedah ini kerana ketepatan dan mudah dalam menentukan sesuatu urusan yang melibatkan ilmu-ilmu falak dan astronomi selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat.

Namun, pada mulanya ada juga segelintir ulama yang kurang menerima pakai kaedah ilmu falak. Mereka mengkrtitik bahawa kaedah ini tidak memberikan suatu hasil secara tepat bahkan ia hanya satu anggaran atau tekaan sahaja. Bagi mereka, cukup dengan 2 cara sebagaimana yang digunakan pada zaman Nabi SAW iaitu melihat anak bulan. Sekiranya anak bulan tidak kelihatan maka sempurnakan bulan Syaaban sebanyak 30 hari.

Bahkan mereka menghujahkan riwayat Ibnu Umar radiallahu ‘anhum bahawa Nabi SAW bersabda :

إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ لَا نَكْتُبُ ولا نَحْسُبُ الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا

“Sesungguhnya kami adalah kaum yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis), kami tidak tahu menulis dan menghitung akan sesuatu bulan itu dan ini iaitu sama ada 29 hari atau 30 hari.” (Bukhari dan Muslim)

Namun begitu, hujah mereka tertolak. Hujah yang mereka bawakan merupakan hujah ke atas mereka. Nabi SAW hanya  menerangkan keadaan pada zaman baginda SAW. Walau bagaimanapun, baginda tidak menafikan kaedah ilmu falak yang bersesuian mengikut zamannya. Mereka menggunakan cara melihat anak bulan dan mencukupkan bulan Syaaban 30 hari kerana 2 cara tersebut merupakan cara mudah pada waktu tersebut.

Bahkan jika diteliti dalam sabda Nabi SAW, sedikit pun tidak menegah apa-apa cara yang baru sekiranya manusia pada waktu tertentu mahir dengan kaedah tersebut. Misalnya, kaedah ilmu falak.

Hasilnya, manusia zaman sekarang sama ada ulama dan ahli sains masing-masing mengguna pakai kaedah tersebut dengan berpandukan kaedah agama.


Menyelaraskan Awal Ramadhan Pada Hari Yang Sama

Perbezaan bagi setiap negara Islam dalam menyambut kedatangan anak bulan Ramadhan merupakan satu perbincangan sejak zaman dahulu lagi. Hal ini disebabkan kerana walaupun kesemua negara Islam khususnya di Tanah Arab menyambut kedatangan 1 Syaaban pada hari yang sama, namun sambutan 1 Ramadhan tetap berlaku perbezaan di antara negara-negara Islam.

Hal ini demikian kerana ia bergantung kepada kaedah yang diguna pakai oleh setiap negara dalam menetapkan anak bulan Ramadhan. Tidak semua yang menggunakan kaedah ilmu falak bahkan menetapkan bahawa menetapkan anak bulan Ramadhan hanya dengan penyaksian kerana jelas Nabi SAW bersabda menggunakan perkata ‘melihat’. Justeru, tidak semua yang melakukan kaedah ilmu falak dalam menetapkan 1 Ramadhan. Hasilnya berlakulah perbezaan sambutan awal Ramadhan seterusnya perayaan Hari Eidul Fitri walaupun jarak keseluruhan negara-negara Islam yang berada di hujung Timur dan hujung Barat hanya dalam lingkungan tempoh 9 jam iaitu kesemua negara Islam berada dalam satu malam yang sama.[5]

Majoriti ulama bersetuju dan sepakat bahawa penggunaan ilmu falak juga dikira sebagai ‘melihat’ atau ‘menyaksikan’ sebagaimana yang terdapat dalam lafaz hadis berkenaan kedatangan anak bulan Ramadhan.[6] Maka kaedah ilmu falak ini juga dilihat sebagai satu satu cara untuk menyelaraskan sambutan awal Ramadhan dan 1 Syawal di setiap negara Islam. Hal ini demikian kerana keselarasan dan kesatuan dalam sambutan 2 tarikh yang besar ini akan memberikan kemudahan kepada orang awam dalam ibadah puasa terutama yang selalu ke luar negara dan menjadikan kesatuan umat Islam dilihat dengan sambutan hari kebesaran dalam Islam pada hari yang sama.

Berkenaan dengan keselaran sambutan awal Ramadhan ini, Syeikh Atiyah Saqar ada membicarakan di dalam kitab fatwanya bahawa perkara ini mendapat perhatian serius oleh ulama sedunia dan Al-Azhar melalui Akademi Kajian telah melakukan perbincangan dalam muktamarnya yang ke-3 yang berlangsung pada tahun 1966. Hasilnya, satu ketetapan cadangan dikemukan bagi merealisasikan keselarasan sambutan awal Ramadhan dalam menjaga kesatuan umat Islam. Antara ketetapan cadangan tersebut ialah :

      1-   Kaedah penyaksian merupakan kaedah asal bagi melihat anak bulan sebagaiaman yang dinyatakan dalam hadis Nabi SAW, namun penyaksian tersebut tidak diterima sekiranya terdapat keraguan yang kuat pada penyaksian itu.
      2-      Kaedah penyaksian anak bulan diterima pakai apabila berita penyaksian tersebut tersebar (masyarakat negara tersebut juga melihat anak bulan dan tidak ada yang menafikannya) dan tidak ada sebarang unsur yang diragui atau penipuan. Hal ini berbeza dengan kaedah ilmu falak, bahawa pengumuman yang dikeluarkan oleh adalah dipercayai (tanpa memerlukan kepada masyarakat setempat tidak menafikannya). Bermakna maklumat hasil kaedah ilmu falak lebih dipercayai.
      3-      Perbezaan tidak dikira ke atas negara-negara Islam yang berkongsa tempoh waktu malam pada hari yang sama. Perbezaan yang diiktibar hanyalah negara-negara yang tidak berkongsi tempoh waktu malam pada malam yang sama.
      4-      Setiap negara Islam mestilah berbincang dan menghubungi di antara satu sama lain dalam menetapkan sesuatu tarikh berdasarkan bulan Islam (termasuk awal Ramadhan) dengan kemudahan teknologi yang sedia ada dan menyeleraskan maklumat ilmu falak.[7]
Syeikh Ali Jumaah, mufti Mesir menyebutkan bahawa penggunaan kaedah ilmu falak lebih membawa kepada hasil yang yakin berbanding dengan sekadar penyaksian individu. Beliau mengeluarkan fatwa tersebut dengan menyandarkan jawapan beliau kepada Imam Subki dalam permasalahan apabila berlaku pertembungan maklumat antara penyaksian dan maklumat ilmu falak.[8]  Secara ringkas, apabila berlaku percanggahan sebagaimana masalah yang disebutkan tadi, adalah lebih baik untuk mengambil kaedah kiraan ilmu falak kerana ia merupakan benda yang jelas (yakin) dan tepat berbanding kaedah melihat kerana kaedah melihat anak bulan tidak sampai tahap yang yakin. Maka apabila benda bertembung di antara benda yang jelas (yakin) dan sangkaan maka diutamakan benda yang jelas (yakin).

Sebaik-baiknya (seperti zaman sekarang) menggabungkan di antara 2 kaedah ini, walaupun mengikut ilmu falak tarikh bagi awal bulan Ramadhan mungkin sudah diketahui, namun pada 29 Syaaban pada malam ke-30, kaedah melihat anak bulan tetap dijalankan bagi lebih meyakinkan dan mengambil sunnah Nabi SAW.

Dengan adanya kaedah ini (kiraan falak), keselarasan dalam penentuan permulaan bulan Islam dapat dilaksanakan, memandangkan tempoh yang paling jauh di antara satu negara Islam ke satu negara Islam yang di dunia hanya 9 jam. Hal ini menjadikan negara-negara Islam kesemuanya berkongsi sebahagian daripada waktu malam pada hari yang sama. Hasilnya, kedatangan awal Ramadhan dapat diselaraskan dan dapat disatukan di antara kesemua negara Islam, memadai dengan hanya satu negara Islam seperti Mekah (kerana Mekah pusat negara Islam dan berada di tengah bumi yang membezakan Timur dan Barat) sahaja yang melihat anak bulan, kemudian negara tersebut mengkhabarkan kepada negara-negara Islam yang lain dengan kemudahan yang sedia ada seperti telefon, faks dan internet.[9]

Ini merupakan hasil cadangan yang dilakukan oleh para ulama terutama di peringkat Dar Ifta’, Mesir yang meletakkan priority kaedah ilmu falak lebih meyakinkan. Apa pun ia bergantung kepada setiap negara Islam yang memilih kaedah yang bersesuaian bagi negara mereka. Namun apa yang lebih baik ialah sebagaimana yang telah dinyatakan di atas iaitu keselarasan dalam sambutan awal Ramadhan dan 1 Syawal kerana dengan keselarasan ini akan lebih menampakan kekuatan kesatuan umat Islam di seluruhb negara. Bahkan keselarasan ini tidak mustahil kerana setiap negara Islam berkongsi tempoh waktu malamnya pada hari yang sama. Dan bagaimana mungkin negera yang berkongsi waktu malam yang sama boleh menyebabkan perbezaan sambuatan satu-satu tarikh dengan kadar beza ialah satu hari? Maka seeloknya setiap negara Islam terus berbincang mengenai perkara ini dan menjadikan ia sebagai titik kesatuan bagi setiap negara Islam dalam sambutan hari-hari kebesaran dalam Islam.

Wallahu a’lam

Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :

      1-      Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, Syeikh Atiyah Saqar, cetakanb Maktabah Wahbah
       2-      Al-iqh Al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Dar Al-Fikr
       3-      Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan, Syeikh Ali Jumaah, cetakan Al-Muqattam Li An-Nasyr Wa At-Tauzik
    4-      At-Taqrirat As-Sadidah Fi Al-Masail Al-Faridah, Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhamad Al-Kaff, cetakan Dar Al-Mirath An-Nabawiah



[1]   مجموع   jild ke-6 dan رد المختار   jilid ke-2
[2]  Riwayat Abu Daud dan ditashihkan oleh Ibnu Hibban – rujuk kitab الفقه الإسلامي وأدلته  jilid ke-3 bab puasa di bawah perbahasan cara mengistinbatkan bulan Ramadhan dan Syawal.
[3]  Rujuk Hasyiah Bijuri jilid ke-2 di bawah tajuk الأقضية والشهادات .
[4]  Rujuk Hasyiah Bijuri jilid ke-2 di bawah tajuk الأقضية والشهادات .
[5] Kitab Syeikh Muhammad Abu Al-'Ala Al-Banna – Rujuk الفقه الإسلامي وأدلته   jilid ke-3 bab puasa di bawah perbincangan tempat terbit matahari yang berlainan negara.
[6]  Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, Syeikh Atiyah Saqar, m/s 29 cetakan Maktabah Wahbah
[7] Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, Syeikh Atiyah Saqar, m/s 30 cetakan Maktabah Wahbah
[8]  البيان لما يشغل الأذهان   karangan Syeikh Ali Jumaat.
[9] Kitab Syeikh Muhammad Abu Al-'Ala Al-Banna – Rujuk الفقه الإسلامي وأدلته   jilid ke-3 bab puasa di bawah perbincangan tempat terbit matahari yang berlainan negara.

Sumber : manhal.pmram

No comments:

Post a Comment

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2024/2025

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIP...