Hudud
Hudud dari sudut bahasa ialah
sempadan, batasan atau larangan. Sehubungan itu istilah hudud adalah luas,
kesemua yang disuruh serta larangan dalam Islam merupakan hudud Allah SWT iaitu
batasan yang manusia tidak boleh melampaui serta mencerobohnya. Disebabkan itu
mereka yang tidak mengikut batasan-batasan dalam Islam disebut sebagai orang
yang melampaui batas. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Demikianlah
hudud (yang dinyatakan oleh) Allah maka jangan kamu melampauinya.” - Surah Al-Baqarah : 229
Hudud dari sudut syarak ialah
sebagaimana menurut majoriti ulama ialah hukuman yang telah ditentukan oleh
syarak, samada ia melibatkan hak Allah atau hak hamba. Menurut Mazhab Hanafi
pula ialah hukuman yang ditentukan bersifat wajib dilaksanakan kerana ia merupakan
hak Allah SWT.
Namun begitu, kedua-dua pihak
bersepakat bahawa hudud merupakan hukuman yang telah ditentukan oleh syarak.
Dan penentuan tersebut merupakan tetap dan wajib dilaksanakan tanpa mengubahnya
serta menggantikan dengan hukuman yang lain.
Pihak yang berautoriti dan
mempunyai kuasa untuk menjalankan serta mengizinkan perlaksanaan hudud adalah
merupakan tanggungjawab ketua negara.
Jenayah-jenayah
Yang Dikenakan Hukuman Hudud
Berdasarkan kepada definisi hudud
mengikut syarak, majoriti ulama meletakkan 8 kategori jenayah yang dikenakan
hukuman hudud iaitu :
1- Zina
2- Peminum arak
3- Qazaf (melemparkan tuduhan zina)
4- Mencuri
5- Menyamun
6- Murtad
7- Pelampau (kumpulan yang keluar melawan pemerintah yang
adil dan tidak melaksanakan kewajipan kerana mentakwil hukum berkaitan secara
menyeleweng serta mempunyai kekuatan)
8- Qisas (bunuh balas ke atas pembunahan secara sengaja)
Adapun dalam Mazhab Hanafi, hudud
dikenakan ke atas 5 kategori jenayah berikut :
1- Zina
2- Qazaf
3- Peminum arak
4- Peminum minuman yang memabukkan
5- Mencuri
Mazhab Hanafi tidak memasukkan
hukuman ke atas jenayah murtad, qisas dan pelampau kerana ia mempunyai ruang
pengampunan. Justeru, jika terdapat pengampunan maka hukuman hudud tidak
dikenakan. Adapun bagi jenayah menyamun pula, Mazhab Hanafi memasukkan ia dalam
kategori mencuri. Dan Mazhab Hanafi membezakan hukuman hudud bagi peminum arak
dengan minuman yang memabukkan kerana mereka mengkhususkan arak bagi perahan
dari anggur manakala air yang memabukkan selain perahan dari anggur bukan dalam
kategori arak namun ia diasingkan ke dalam kategori minuman yang memabukkan.
Pembahagian Golongan Kafir
Perkataan non-Muslim merupakan sinonim ke atas golongan kafir iaitu
mereka yang bukan beragama Islam. Non-Muslim ini terbahagi kepada 4 golongan
iaitu :
1- Harbi iaitu
golongan kafir yang memusuhi Islam dan memerangi Islam. Termasuk dalam konteks
memerangi Islam ialah menghalang gerak kerja Islam dan menyekat agenda Islam.
Maka umat Islam wajib memeranginya dan mempertahankan Islam daripada
serangan-serangan yang dilakukan. Maka mereka diperangi disebabkan mereka
melakukan kezaliman dan memerangi Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Diizinkan berperang kerana mereka itu dizalimi dan sesungguhnya
Allah mempunyai kuasa ke atas kemenangan. Mereka yang dizalimi tersebut ialah
mereka yang dihalau dari rumah-rumah mereka tanpa hak.” – Surah
Al-Haj : 39-40
2- Zimmi iaitu
golongan kafir yang menetap di negara Islam dan mereka bernaung di bawah
pemerintahan Islam. Golongan ini diberikan hak perlindungan dan mendapat
keistimewaan sebagaimana masyarakat Islam selama mana mereka menjalankan
tanggungjawab mereka dan tidak memberikan ketaatan kepada musuh Islam.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang menyakiti kafir zimmi, maka seolah-olah dia telah
menyakiti ke atas aku.”[1]
3- Mu’ahad iaitu
golongan kafir yang mengadakan perjanjian dengan pihak Islam. Maka dijaga hak
mereka selama mana mereka tidak mencabuli perjanjian yang telah dipersetujui.
Sebagaimana perjanjian Hudaibiyah antara pihak Islam dengan pihak musyrikin
Mekah.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Wahai orang yang beriman, sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.” – Surah
Al-Maidah : 1
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan khabarkanlah (wahai Muhammad) kepada orang kafir dengan azab yang
pedih. Melainkan orang yang kamu mengadakan perjanjian daripada kalangan orang
muyrik kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikit pun, dan
mereka tidak menolong seorang pun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah
kepada mereka perjanjian mereka sehingga habis tempoh perjanjian.” –
Surah At-Taubah : 3-4
4- Musta’man ialah
golongan kafir yang datang meminta perlindungan daripada pihak Islam. Maka
sepanjang persetujuan diadakan dan mereka tidak berpaling tadah, maka hak-hak
mereka dijaga.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan jika ada seseorang daripada kalangan musyrik yang datang
meminta pertolongan dan perlindungan kepadamu, maka berikanlah perlindungan
kepadanya.” – Surah At-Taubah : 6
Hukum Tidak Melaksanakan Hukuman Yang Ditetapkan Oleh Allah SWT
Allah SWT menyifatkan mereka yang tidak melaksanakan hukuman berdasarkan
apa yang telah diperintahkan adalah golongan kafir, zalim dan fasik. Hal ini
dinyatakan secara jelas dalam 3 ayat berikut.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan
Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” - Surah
Al-Maidah : 44
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan
Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.” - Surah
Al-Maidah : 45
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan
Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik. - Surah
Al-Maidah : 47
Berdasarkan kepada 3 ayat di atas maka ulama telah meletakkan batasan
terhadap permasalahan mengenai hukum tidak melaksanakan syariat Islam atau
hanya melaksanakan sebahagian sahaja. Batasan-batasan[2] tersebut
ialah :
- Ingkar
bahawa wajibnya melaksanakan syariat Islam. Mempercayai bahawa hukum Allah
tidak wajib untuk dilaksanakan.
- Melaksanakan
hukum selain Allah kerana untuk menentang syariat Islam.
- Yakin
serta pasti bahawa melaksanakan undang-undang selain hukum Allah SWT adalah
lebih relevan dan sesuai dengan zaman berbanding dengan syariat Islam
- Yakin
bahawa menjalankan hukum selain Allah adalah sama taraf dengan syariat Islam.
Merujuk kepada pluralisme yang menganggap semua agama sama. Maksudnya tidak ada
masalah samada hendak laksanakan syariat Allah atau selain syariat Allah,
kerana yang penting ialah maslahat bagi manusia.
- Mempercayai
bahawa harus atau tidak haram melaksanakan undang-undang yang bercanggah dengan
syariat Islam.
Maka, mana-mana pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Allah SWT
disebabkan salah satu daripada batasan-batasan di atas maka dia dihukum kafir
iaitu telah terkeluar daripada Islam. Hal ini demikian kerana batasan-batasan
jelas bercanggah dengan akidah Islam. Adapun jika tidak melaksanakan syariat
Islam disebabkan perkara selain daripada batasan-batasan yang digariskan di
atas, maka ia tergolongan dari kalangan orang yang zalim dan fasik, bukan
kafir.
Maka
inilah pendapat yang dipegang oleh majoriti ulama dalam membezakan tahap
golongan yang kafir, zalim serta fasik dalam permasalahan tidak melaksanakan
syariat Islam.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada penjelasan di atas, maka pihak MANHAL PMRAM
menegaskan beberapa perkara :
1- Hukuman jenayah hudud merupakan
hak Allah SWT dan ia wajib dilaksanakan. Ketua Negara wajib membenarkan dan
mengizinkan perlaksanaan hukuman jenayah hudud. Semua pihak wajib membantu
melaksanakannya.
2- Hubungan Umat Islam dengan
non-Muslim adalah dilihat kepada sikap mereka. Non-Muslim yang termasuk dalam
golongan kafir harbi adalah wajib diperangi. Dengan erti kata
ialah haram bekerjasama dengan mereka dan tidak memberikan mereka kuasa (dengan
mengundi mereka) untuk mereka memerintah. Hal ini demikian kerana mereka
merupakan musuh Islam dan menghalang gerak kerja Islam.
3- Allah SWT menjelaskan 3
jenis bagi mereka yang tidak melaksanakaan perlaksanaan hukuman Allah SWT antaranya
hukuman jenayah hudud samada termasuk dalam golongan kafir, zalim atau fasik.
Maka kategori tersebut dilihat kepada batasan-batasan yang telah dinyatakan di
atas.
4- Ketua negara bertanggungjawab di
hadapan Allah SWT sekiranya negara yang mereka pimpin tidak melaksanakan
hukuman Allah SWT.
Wallahu a’lam
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012
Rujukan :
1- Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh,
jilid ke-7, oleh Dr Wahbah az-Zuhaily, cetakan Dar al-Fikr
2- Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama’
al-Islami, oleh Dr Yusuf al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
3- Ar-Riddah Wa ‘Uqubatuha, oleh Dr
Yusuf al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
4- Al-Khilafah
al-Islamiyah Wa Qadhiyah al-Hukm Bima Anzala Allah, oleh Dr Shadiq Syeif
Nukman, cetakan Dar as-Salam
Sumber : manhal.pmram.org
No comments:
Post a Comment