Islam menganggap fitnah sebagai
satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang Allah SWT seperti dalam
firman-Nya yang bermaksud:
“Fitnah itu lebih bahaya
daripada pembunuhan”. (al-Baqarah: 191)
Mahasiswa Shoubra dan Johor
baru sahaja ditimpa kesedihan akibat berita kematian mengejut arwah Abdul Khafiz Mohamed Norok. Dalam kepedihan
menerima berita ini, ditimpa pula kesedihan kerana fitnah yang menimpa arwah.
Ibarat luka yang masih berdarah, dicurah pula minyak yang panas.
Kami di peringkat Shoubra dan
Johor melahirkan rasa marah dan kecewa dengan tindakan beberapa blogger dan
seorang Pegawai Rumah Negeri yang telah menfitnah arwah tanpa bukti dan
analisis yang kukuh tentang berita dan kronologi kematian arwah.
Antara fitnah yang dilemparkan
kepada arwah ialah :
- Menghadiri program bersama
Gerakan Suara Rakyat (SUARA)
- Menjadi anggota Unit Amal
semasa program
Sebagaimana dinyatakan di :
http://perjalanankudibumianbiya.blogspot.com/2012/07/pmram-sedekahkan-rm-5o-k-kepada-pmram.html
http://www.papagomo.com/2012/07/hadi-awang-pas-menghisap-darah.html
Di sini dilampirkan kronologi
sebenar sekitar tragedi Allahyarham Abdul Khafiz Bin Mohamed Norok
Kronologi Tragedi Allahyarham
Abdul Khafiz Bin Mohamed Norok
Mangsa menghadiri majlis
re-union AQRAB Shoubra 2012 yang diadakan di rumah Saudara Shahrul Ramadhan,
‘Abud pada tarikh 10 Julai 2012. Lebih kurang 25 orang mahasiswa terlibat dalam
majlis tersebut. (AQRAB merupakan singkatan nama pelajar lepasan Diploma Darul
Quran JAKIM tahun 2006-2009).
10 Julai 2012
08.00 malam : Kehadiran
sahabat-sahabat AQRAB Shoubra ke majlis.
11.00 malam : Jamuan berakhir,
hampir keseluruhan tetamu yang hadir beransur pulang ke rumah masing-masing.
11 Julai 2012
12.30 malam : Allahyarham Abdul
Khafiz dan Saudara Muhaimin Yahya keluar dari rumah tersebut dan menuju ke
perhentian pengangkutan awam dan bercadang untuk pulang. Setelah beberapa
ketika, mereka mendapati terdapat sebuah tremco (bas mini) untuk dinaiki.
Terdapat beberapa penumpang yang didalam tremco tersebut antaranya dua wanita
dewasa beserta seorang bayi dan tiga lelaki (termasuk pemandu) warga arab.
Ketika tiba di Muzallat, dua orang wanita beserta bayi tersebut turun dan
meninggalkan mereka di dalam tremco tersebut.
01.10 pagi : Saudara Muhaimin
menghubungi Saudara Hafizi Ramli dan Saudara Safuan Zainudin mengatakan bahawa
mereka cuba dirompak.
01.25 pagi : Saudara Hafizi
Ramli memaklumkan kejadian tersebut kepada Saudara Mohammad Naim Abd Rahim,
Pengerusi PMRAM Cawangan Shoubra (MAQAZ) berkenaan perkara tersebut.
01.30 pagi : Pengerusi DPM
menghubungi Saudara Mokhzani (penghuni di ‘Abud) untuk meninjau keadaan sekitar
‘Abud sekiranya mereka masih berlegar di kawasan tersebut.
Kejadian di dalam tremco.
Pemandu tremco menukar laluan
asal ke laluan yang lain. Pada masa yang sama, seorang lelaki arab yang berada
di sebelah pemandu mengacu pisau ke arah saudara Muhaimin. Manakala seorang
lagi yang berada di tempat duduk belakang berpindah kedudukannya ke bahagian
tempat duduk bersebelahan Allahyarham. Setelah berlaku detik-detik cemas dalam
tremco, lelaki yang berada di sebelah Allahyarham berpindah ke tempat asal di
bahagian belakang.
Dalam keadaan panik dan ingin
menyelamatkan diri, Allahyarham terus membuka pintu dan terjun ke luar dalam
keadaan tremco masih bergerak laju. Setelah melihat situasi tersebut, pemandu
tremco tersebut memperlahankan kelajuan kenderaan itu. Melihatkan keadaan itu,
Saudara Muhaimin mengambil peluang untuk turut menyelamatkan diri dengan terjun
keluar daripada tremco.
Saudara Muhaimin bergegas
mendapatkan sahabatnya yang pada ketika itu dalam keadaan tidak sedarkan diri
dengan kepala yang berlumuran darah. Saudara Muhaimin cuba meminta bantuan dan
berkebetulan pada ketika itu, sebuah kereta peronda polis melalui jalan
tersebut dan berhenti membantu mereka. Kemudian, ambulans dihubungi dengan
bantuan polis tersebut.
01.45 pagi : Saudara Muhaimin,
Allahyarham dan beberapa sahabat yang lain berada di Hospital Maahad Nasir,
Khalafawi.
02.00 pagi : Pengerusi dan
Ketua Unit Kebudayaan, Kesenian dan Sukan (UKKS) DPM Shoubra tiba di hospital.
Situasi di Hospital Maahad
Nasir (02.00 - 04.15 pagi)
Setelah dilakukan X-ray badan
dan kepala, doktor menjahit luka Allahyarham di kepala. Doktor mengesahkan
bahawa keadaan Allahyarham parah dan kritikal. Allahyarham terpaksa dipindahkan
ke hospital lain (Hospital Qasr el-Aini,Sayyeda Zainab) disebabkan kekurangan
peralatan. Tetapi malangnya, setelah dihubungi, mereka mengatakan bahawa wad
kecemasan penuh pada ketika itu. Lalu doktor mencadangkan agar Allahyarham
dipindahkan ke Hospital Amal,Masakin ‘Ain Syams.
04.15 pagi : Allahyarham
ditemani beberapa orang rakan menuju ke Hospital Amal, Masakin Ain Syam dengan
menaiki ambulans.
04.45 pagi : Tiba di hospital
dan terus ke wad kecemasan. Bayaran pendahuluan sebanyak LE 3,000.00.
07.30 pagi : YDP dan Setiausaha
Agung PMRAM Cawangan Johor (BKPJM) tiba di hospital dan dibenarkan melihat
Allahyarham yang ketika itu sedang koma.
09.00 pagi : Naib Presiden III
(Lajnah Kebajikan & Kemanusiaan) PMRAM, Saudara Ahmad Huzaifah Fauzi tiba
di hospital.
10.00 pagi : Pegawai EME, En.
Aswandi Bin Laman, Pengurus Rumah Johor Mesir, Tn Hj. Mohd Maulan Bin Asmoni
tiba dan menziarahi mangsa.
04.00 petang : Doktor melakukan
pemeriksaan dalam waktu lawatan.
05.00 petang : Pelawat
dibenarkan masuk ke wad dan didapati Allahyarham diberikan alat bantuan pernafasan.
Selepas maghrib : Para pelawat
tidak dibenarkan berada di dalam hospital dan ruang menunggu dengan arahan
pihak hospital.
12 Julai 2012
06.00 pagi : Pihak hospital
menghubungi Timbalan Setiausaha PMRAM Cawangan Shoubra, Saudara Muaz Ab Halim
tetapi panggilan tidak dijawab.
08.00 pagi : Sekali lagi
Saudara Muaz Abdul Halim dan Saudara Azim Azni dihubungi untuk dimaklumkan
berkenaan berita kematian.
11.00 pagi : Para pelawat
memenuhi ruang hospital dan jenazah diuruskan (tasrih, mandi, kafan dan
lain-lain).
03.30 petang : Jenazah dibawa
menuju ke Dataran Hayyu ‘Asyir untuk Solat Jenazah
04.15 petang : Tiba di Dataran
Hayyu ‘Asyir dan Solat Jenazah. Solat Jenazah diimamkan oleh Syeikh Muhammad
Abdun Nabi (Pensyarah Maahad Qiraat al-Azhar).
04.30 petang : Bergerak ke
tanah perkuburan Malaysia di Kaherah dan menyelesaikan proses pengkebumian
jenazah.
Justeru, kami sekali lagi di
peringkat PMRAM Cawangan Shoubra dan Johor melahirkan rasa marah dan kecewa
dengan tindakan beberapa blogger dan seorang Pegawai Rumah Negeri yang telah
menfitnah arwah tanpa bukti dan analisis yang kukuh tentang berita kematian
arwah. Pihak kami juga menggesa pihak terbabit memohon maaf secara terbuka
kepada keluarga Allahyarham di atas fitnah yang telah disebarkan.
Ingatlah bahawa setiap tindakan
yang dilakukan akan dipersoalkan di akhirat kelak. Dosa dengan Allah boleh
dimohon ampun tetapi dosa fitnah
terhadap manusia lain belum tentu
terangkat melainkan mangsa sendiri yang memaafkannya.
Mohammad Naim bin Abd Rahim
Pengerusi,
Dewan Perwakilan Mahasiswa
(MAQAZ) Shoubra 2011/2012
Muhammad Yazid Bin Hanzir
Yang DiPertua,
Badan Kebajikan Pelajar-pelajar
Johor di Mesir (BKPJM) 2011/2012
No comments:
Post a Comment