Friday, January 4, 2013

SOLAT = 27 vs 1



Solat Jemaah Bina Kesatuan Masyarakat

Rasulullah SAW telah bersabda : " Solat berjemaah itu lebih baik daripada mendirikan solat secara bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat sebagai ganjaran. ( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Berdasarkan hadith yang tertera seperti di atas , Rasulullah S.A.W sangat menekankan solat secara berjemaah berbanding solat secara bersendirian . Sesungguhnya, solat berjemaah mampu membina kesatuan sekaligus mengubat perpecahan dikalangan umat Islam. Oleh yang demikian, Rasulullah SAW telah bersabda berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Mas’ud, katanya:

“Rasulullah SAW menyentuh bahu kami sebelum solat sambil berkata, luruskan barisanmu (saf), jangan bengkok, nescaya yang menyebabkan hatimu berpecah-belah.”  (Riwayat Muslim )

Kajian Saintifik  
Seorang Professor Fizik di Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Katanya tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik iatu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beribadah atau berehat sudah tentu banyak tenaga digunakan.
Tindakan-tindakan yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai pelbagai kelebihan. Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. 
Ia berlaku apabila cas yang berlebihan sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

 Bersungguh-sungguh Dalam Solat Jemaah Membawa Kemuliaan
Suatu kisah yang diceritakan oleh Ustaz Nazrul Nasir, Mahasiswa kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar:

“Suatu hari di masjid Al-Azhar, ketika Syeikh Ali Jum’ah Hafizahullah sedang menyampaikan pengajian kitab. Para hadirin yang hadir ke pengajian tersebut sedang khusyuk mendengar penjelasan daripada apa yang disampaikan oleh beliau walaupun dalam suasana yang agak sejuk. Tiba-tiba tanpa semena-mena kipas yang berada berdekatan dengan beliau berpusing dengan lajunya lalu dengan serta-merta sheikh memberhentikan syarahannya. Pada ketika itu para hadirin mencari-cari siapakah gerangan yang membuka kipas tersebut kerana mereka sedia maklum tidak sepatutnya kipas itu dibuka pada waktu musim sejuk. Tidak lama kemudian Syeikh Ali Jum’ah pun menegur dan memarahi orang yang membuka kipas itu kerana telah menyebabkan beliau bertambah sejuk dan menyuruh untuk ditutup semula kipas tersebut.”

 “ Tanpa disedari, tiba-tiba datang seorang pak cik tua dari satu sudut masjid tersebut. Pak cik tersebut datang kepada Syeikh Ali Jum’ah lalu memohon maaf atas apa yang telah beliau lakukan. Namun apa yang mengejutkan para hadirin ketika itu, reaksi Syeikh Ali Jum’ah berubah menjadi positif dan lebih mengejutkan lagi, beliau pula yang memohon maaf kepada pak cik tersebut sambil berkata beliau tidak layak untuk menegur pak cik tersebut apatah lagi ingin memarahinya.”

“Sahabat-sahabat agak apa yang menyebabkan syeikh melakukan sedemikian? Lalu Syeikh Ali Jum’ah menyatakan sebab tersebut serta menceritakan bahawa ibadah pak cik tersebut jauh lebih baik berbanding beliau. Pak cik tersebut adalah seorang tukang cuci di masjid Al-Azhar  itu sejak sekian lama. Boleh dikatakan sudah  berpuluh-puluh tahun lamanya. Orang-orang yang di sekitar masjid  berkata setakat yang terzahir pada penglihatan mereka, pak cik tersebut tidak pernah meninggalkan solat subuh secara berjemaah di masjid apatah lagi lewat dan lebih teruk lagi meninggalkan terus solat subuh. Subhanallah, para hadirin ketika itu terharu mendengar kisah yang diceritakan oleh beliau.”

Melalui cerita yang telah disampaikan , dapatlah disimpulkan bahawa islam itu indah . Amalan  seseorang itu bukan dinilai dari sudut rupa paras tetapi ketaqwaan dan keimanan yang sebenar kepada pencipta kita. Rentetan daripada itu, setiap manusia yang bersungguh-sungguh melakukan ibadah khususnya solat jemaah akan diberikan kemuliaan di sisi Allah SWT. Setiap kebaikan yang kita lakukan dengan sebenar-benar keimanan akan dibalas  dengan ganjaran yang sangat besar tanpa berkurang sedikit pun  kerana Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang .

Kesimpulan
Marilah kita sama- sama  wujudkan semula  amalan istiqamah yang dilakukan oleh nabi kita, Nabi Muhammad S.A.W  iaitu solat jemaah . Ingatlah! Baginda Rasulullah S.A.W tidak pernah meninggalkannya walaupun baginda berada dalam keadaan sakit. Rasulullah S.A.W telah menjanjikan bahawa pahala orang yang menunaikan solat subuh secara berjemaah itu ibarat  beribadat sepanjang malam. Banyak ganjaran yang Allah sediakan kepada hamba-hambaNya , tetapi bergantung kepada diri kita sahaja samada ingin mengambilnya ataupun tidak.


Mohammad Fadzil Bin Abdul Rahim
Ketua Biro Dakwah Dan Tarbiah
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
sesi 2012/2013

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM