Pendahuluan
Penurunan wahyu pertama Allah S.W.T kepada Baginda Nabi
Muhammad S.A.W sudah jelas menggambarkan peri pentingnya ilmu pengetahuan dalam
permulaan sesuatu amalan atau pekerjaan hatta kepada misi kenabian itu sendiri.
Apabila diperhatikan dalam sudut lain pula, wujud anjuran daripada Allah Taala
supaya menambahkan ilmu pengetahuan dan Alllah akan melipatgandakannya. Dalam
ayat lain S.W.T berfirman:
"Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku". ( Surah Taha, ayat 114)
Ibnu Qayyim Al-Jauziah Rahimahullah berkata:
“Cukuplah ayat ini menerangkan kemuliaan ilmu dan suruhan
kepada nabiNya supaya menambahkan ilmu. Juga turut dikatakan, sesungguhnya
Allah S.W.T tidak menyuruh para Rasulnya menambahkan sesuatu perkara kecuali
dalam menambahkan ilmu. Sekiranya kita menyoroti perjalanan sirah-sirah Rasul
terdahulu, wujudnya teladan dalam menuntut ilmu yang ditunjukkan oleh
rasul-rasul sendiri, seperti yang dirakamkan dalam surah Al-Kahfi, kisah Nabi
Musa A.S menuntut ilmu pengetahuan daripada Nabi Khaidir A.S.”
Nah, sekarang sudah jelas kepada kita akan kepentingan
ilmu. Walaupun peperiksaan kita sudah bermula, jangan pula kita meninggalkan
apa yang kita lakukan daya usaha kita dalam menuntut ilmu apabila peperiksaan
sudah berakhir nanti. Banyak lagi yang kita tidak tahu kan?? Ataupun
sahabat-sahabat dah merasa hebat dan mantap dengan tahap ilmu yang diperolehi
sekarang? Tanyalah diri masing-masing. Nilailah dengan iman dan akal fikiran
yang telah Allah S.W.T kurniakan. Marilah kita ambil iktibar daripada beberapa
kisah ulama-ulama terbilang kita dalam usaha dan kesungguhan mereka dengan ilmu.
Kisah Ulama-Ulama Terbilang
1) Kisah pertama:
Suatu hari Ibnu Taimiyyah Rahimahullah terlantar sakit
tenat lalu berkata seorang tabib kepadanya:
“Sesungguhnya ulangkajimu dan bacaanmu yang terlampau
akan menambahkan sakit kamu,” maka Ibnu Taimiyyah Rahimahullah menjawab:
“Sesungguhnya aku tidak boleh sabar dengan ilmu, dan aku mahu bertanyakan satu
perkara kepadamu, berdasarkan kepada ilmu kamu, bukankah sakit seseorang akan
berkurag apabila hati berasa senang dan gembira?? Jawab tabib tersebut: “Ya,
bahkan benar sekali.” Lalu Ibnu Taimiyyah menjawab: “ Maka aku berasa senang
dan gembira dengan ilmu.”
2) Kisah kedua:
Berkata Abu Syaamah Al-Maqdisi menceritakan mengenai
Al-Hafiz Abdul Ghani Al-Maqdisi: “Sesungguhnya matanya telah kabur dan tidak
jelas disebabkan terlalu banyak membaca dan menangis. Tidak ada orang setanding
beliau dalam ilmu hadis pada zamannya.
3) Kisah ketiga:
Dikatakan bahawa Ibnu Mubarak Radhiallahu ‘ anhu tidak banyak
bergaul dengan orang ramai maka ditanyakan kepadanya: “Kenapakah kamu selalu
sendirian di rumahmu??” Beliau menjawab: “Bagaimana aku tidak bersendirian
sedangkan Baginda Nabi S.A.W dan para sahabatnya berada dirumahku.”(iaitu
kitab-kitab dan tulisan ilmu)
Kisah-kisah Bacaan Para Ulama’
1) Khatib Baghdadi Rahimahullah membaca kitab Sahih
Bukhari dalam 3 kali majlis.
2) Al-Imam Al-‘Iz Abdul Salam rahimahullah membaca kitab
Nihayatul Mathlab dalam masa 3 hari.
3) Imam Zahabi rahimahullah membaca sirah Ibnu Hisyam
dalam 6 hari sahaja.
4) Al-Hafiz Al-Mizzi rahimahullah membaca Al-Mu’jam
Al-Kabir dalam 60 majlis.
5) Al-Hafiz Zainuddin Al-Iraqi rahimahullah membaca Sahih
Muslim dalam 6 majlis. Membaca kitab Al-Musnad dalam 30 majlis.
6) Imam Sirajuddin Bulqini rahimahullah membaca kitab
feqah dalam semua masalah dalam sehari.
7) Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqolani rahimahullah:
- membaca Sahih Bukhari dan Sunan Kubra dalam masa 10
majlis dan Sahih Muslim dalam 5 majlis.
- membaca Sunan Ibnu Majah dalam masa 10 majlis.
- membaca Al-Mu’jam As-soghir dalam masa 1 majlis.
Kesimpulan
Oleh itu, marilah sama-sama kita meneruskan pengajian dan
pembacaan kita sehari-hari tanpa sebarang ikatan peperiksaan ataupun sebagainya.
Sekiranya ingin menjadi ulama’ maka perlu kita mengikut cara ulama’. Secara
keseluruhnnya, tujuan kita menuntut ilmu hanyalah semata-maa mencari redha
Allah S.W.T. Ikhlaskan kembali niat asal kita semua ke bumi Mesir ini. Moga
kita semua di bawah inayah dan nusrah Allah S.W.T.
Muhamad Nizamuddin Bin Muhamad Sabri
Ketua Biro Pelajaran Dan Ilmiah
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2012/2013
“MEMARTABAT KEILMUAN, MEMIMPIN KESATUAN”
“BERILMU, BERAMAL, IKHLAS”
No comments:
Post a Comment