Sunday, July 31, 2011

Jaulah Fayyum '11 Meribat Ukhuwah

FAYYUM, 31 Julai - Sesuai dengan tema yang dibawa pada jaulah baru-baru ini “Jauh Perjalanan Ukhwah Diribat” telah menghimpunkan 44 peserta.

Semua peserta berkumpul pada pukul 6.30 pagi dan mula bertolak ke Fayyum pada pukul 7.30 pagi.

Antara tempat-tempat menarik yang dilawati Tasik Qarun, Wadi Rayyan di Syalalat, kebun mangga dan Ain Silin. Manakala destinasi terakhir ialah Bandar Kincir Nabi Yusuf a.s.

Musyrif penerangan iaitu saudara Muhammad Mujahid bin Hj. Mohammad Fadzil telah menerangkan berkenaan sejarah-sejarah yang berada di kawasan jaulah.

Jaulah Fayyum pada kali ini juga disertai oleh Yang DiPertua KPIPM, saudara Mohamad Ashraf bin Mohd Khir dan turut serta Ketua HEWI KPIPM saudari Norul Aimi binti Mohd Razi merangkap penasihat Jaulah Fayyum ‘11

Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Sejurus selepas melawat Kincir Air Nabi Yusuf a.s,rombongan terus bertolak pulang ke Kaherah dan selamat sampai pada jam 7.50 malam.

Tazkirah Jemputan Bersama Wakil ILMAM Pusat

Makluman kepada seluruh ahli KPIPM,

KPIPM akan mengadakan Tazkirah Jemputan bersama En. Mohd Fauzan bin Madzlan. Beliau adalah merupakan Wakil Ikatan Lepasan Mahasiswa Al-Azhar Mesir (ILMAM) Pusat.

Majlis mala mini akan berlangsung selepas Maghrib bertempat di Dewan Syeikh Sya’rawi, Wisma Darul Ridzuan A.

Anda semua dijemput hadir bersama.

KPIPM Bersama Seluruh Mahasiswa Mesir Di Dalam Isu Mahasiswa

KAHERAH, 30 Julai - Baru-baru ini, satu perhimpunan aman telah diadakan di Hayyu ‘Asyir seiring dengan perhimpunan BERSIH 2.0 yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia.

Perhimpunan tersebut disertai oleh pelajar-pelajar yang kebanyakkannya menuntut di Universiti al-Azhar, Mesir.

Dilaporkan anak-anak Perak juga menyertai perhimpunan aman tersebut. Dianggarkan 40 orang anak Perak telah menyertai perhimpunan tersebut.

Oleh yang demikian, KPIPM yang diwakili oleh saudara Mohammad Omar Adam, Timbalan Yang Dipertua, saudara Ibnu Abbas Azizuddin, Setiausaha Agung dan saudara Mohamad Dollah, Ketua Biro Pelajaran dan Ilmiah telah berjumpa sendiri dengan Pegawai HEP Perak Mesir, Encik Abdul Muhaimin bin Abdul Majid bagi mendapatkan kepastian.

Beliau telah menafikan senarai 40 nama tersebut disenaraikan oleh beliau sepertimana yang didakwa oleh beberapa pihak. Beliau menyatakan segala urusan pengumpulan nama tersebut dilakukan oleh Education Malaysia Egypt.

Apabila ditanya berkenaan tindakan yang akan diambil, beliau hanya menunggu keputusan dari Malaysia dalam mengambil tindakan susulan.

Dalam pada itu, KPIPM bertegas agar segala hak mahasiswa mahupun berkaitan dengan zakat dan hak bersuara perlu dipertahankan dari segala jenis ugutan.

KPIPM juga tidak akan memberikan ruang kepada pihak-pihak yang cuba menzalimi mahasiswa Islam di bumi Mesir ini.

KPIPM juga sentiasa bersedia untuk turun membantu bersama mahasiswa Islam dalam mempertahankan hak mahasiswa daripada dizalimi.

Isu Mahasiswa Mesir : GAMIS Menghantar Memorandum

PUTRAJAYA, 29 Julai - Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini mendesak kerajaan Malaysia meneliti kes pembuangan pelajar Malaysia di Mesir kerana terlibat dengan perhimpunan Bersih 2.0 di sana.

Seorang pelajar Darul Ifta', Firdaus Mazlan dibuang universiti kerana disyaki menjadi penggerak kepada perhimpunan Bersih 2.0 di Mesir sedangkan beliau merupakan pelajar semester akhir.

Desakan tersebut dibuat dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Wisma Putra Kementerian Luar Negeri, dekat sini hari ini.

Memorandum tersebut turut membantah tindakan Jabatan Penuntut Mahasiswa Kaherah (JPMK) yang mengambil tindakan menarik balik biasiswa terhadap mahasiswa yang terlibat dengan perhimpunan tersebut.

Selain itu, Gamis juga membantah tindakan kedutaan Malaysia yang ingin mengharamkan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) kerana didakwa menghasut mahasiswa menyertai perhimpunan Bersih 2.0.

Naib Presiden Korporat dan Pengantarabangsaan Gamis, Abdul Razak Omar berkata, Gamis tidak mahu isu kebajikan pelajar Malaysia di luar negara dicemari dengan campur tangan politik.

"PMRAM hanyalah sebuah badan yang menguruskan kebajikan pelajar Malaysia di Mesir, tidak ada campur tangan politik. Kami tidak mahu isu kebajikan pelajar dilibatkan dalam mana-mana isu politik," kata beliau selepas penyerahan memorandum tersebut.

Sehubungan itu, Gamis menggesa Wisma Putra membuat kenyataan secara terbuka berhubung pendirian mereka dalam isu melibatkan mahasiswa ini.

"Kita minta Wisma membuat respons melalui media mengenai tuntutan kita dan nyatakan pendirian mereka," katanya.

Tiada laporan daripada kedutaan

Sementara itu, Razak berkata, pihak Wisma Putra memberitahu Gamis bahawa mereka tidak menerima laporan daripada Kedutaan Malaysia di Mesir berhubung perkara ini.

Mereka juga mendakwa kes buang universiti dan kebajikan mahasiswa terletak di bawah tanggungjawab KPT.

"Kami minta Wisma Putra berbincang dengan pihak KPT mengenai perkara ini," katanya.

Sementara itu, setiausahanya, Akram Ikrami Taib Azamuddin berkata, pihaknya juga akan menyerahkan memorandum yang sama kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar memainkan peranan dalam kes melibatkan kebajikan mahasiswa Malaysia di luar negara.

"Selain menunggu maklum balas daripada pihak Wisma Putra berhubung tuntutan kami, Gamis juga akan menyerahkan memorandum ini ke KPT dan memohon KPT campur tangan," katanya.

Selain itu, pihaknya juga sedang merancang untuk mengadakan majlis solat hajat melibatkan mahasiswa Islam di seluruh kampus di negara ini sempena Ramadhan ini.

"Kami akan mengambil tindakan selanjutnya dengan mengadakan majlis solat hajat besar-besaran dan berdoa agar tekanan terhadap semua mahasiswa kita di Mesir dihentikan dan dapat meneruskan pengajian tanpa sebarang masalah," katanya.

Turut bersama dalam penyerahan itu ialah Naib Presiden Gamis, Azahal Bangsawan, Ketua Penerangan, Mohd Yusuf Hadhari, Pengerusi Majlis Dakwah dan Kebajikan, Mohd Ridhuan Che Hussein.

http://mediamesir.blogspot.com

Saturday, July 30, 2011

KPIPM Menerima 2 Cahaya Mata Di Iskandariah

ISKANDARIAH, 29 Julai – KPIPM yang diwakili oleh saudara Mohamad Amirul Fahmi Zulkefli, Ketua Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadhah KPIPM telah berpeluang menziarahi 2 pasangan mutazawwijin yang baru menerima kelahiran cahaya mata pertama baru-baru ini.

Saudara Mohd Fadhil bin Sulaiman dan saudari Siti Nur Husna binti Ismail telah selamat menimang cahaya mata perempuan.

Anak perempuan pertama mereka itu telah diberi nama Syifa’ Irdhina binti Mohd Fadhil. Anak tersebut selamat dilahirkan dengan 2.55kg hospital di Iskandariah.

Manakala pasangan saudara Abu Zaki bin Abu Bakar dan saudari Nor Hamiza binti Kadiran pula selamat menimang anak lelaki pertama di dalam keluarga tersebut.

Cahaya mata yang dilahirkan seberat 3.2kg tersebut telah diberi nama Afiq Zafri bin Abu Zaki.

Saudara Mohamad Amirul Fahmi Zulkefli juga berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada kedua-dua pasangan.


Friday, July 29, 2011

Tazkirah Jemputan Bersama Penulis Travelog

Makluman kepada seluruh ahli KPIPM,

KPIPM akan mengadakan Tazkirah Jemputan bersama Tuan Haji Abdul Munir bin Mohd Ramli. Beliau adalah merupakan penulis buku terkenal iaitu Travelog Rindu Eropah Tawan Damascus.

Majlis akan berlangsung selepas Solat Isya’ bertempat di Dewan Syeikh Sya’rawi, Wisma Darul Ridzuan A.

Anda semua dijemput hadir bersama.

Thursday, July 28, 2011

DESAK Menyelar Tindakan Kedutaan Melibatkan al-Azhar

KAHERAH, 29 Julai - Berikutan isu pihak kedutaan mengheret al Azhar dalam permasalahan mereka telah menampakkan kebuntuan mereka dalam menghadapi gelombang mahasiswa.

Saudara Nuruddin Zanki, Pengerusi Gerakan Solidariti Pertahan Hak Mahasiswa (DESAK) menyatakan bahawa pihaknya menyelar tindakan pihak kedutaan tersebut.

"DESAK menyelar tindakan pihak kedutaan mengaitkan isu mahasiswa dengan pihak Al-Azhar.Dato' Duta dilihat seolah-olah menemui jalan buntu bagi membersihkan imejnya setelah ribuan mahasiswa mengutuk tindakan zalimnya ke atas mahasiswa" Katanya.

Saudara Fakhrul Arif bin Mazlan, Timbalan Pengerusi DESAK berkata "DESAK memberi amaran kepada pihak kedutaan supaya jangan terus menerus melibatkan al Azhar dalam isu ini".

"Dengan melibatkan pihak al Azhar, ia memperlihatkan lagi ketidakmatangan pihak kedutaan dalam menangani isu ini" katanya lagi.

mediamesir.blogspot.com

Minggu Thaqafah KPIPM '11 Menjana Thaqafah Ahli

KAHERAH, 28 Julai - Minggu Thaqafah ini telah bemula pada 23 Julai yang lalu bertempat di Dewan Syeikh Sya’rawi Wisma Perak darul Ridzuan (A). Selain dari perbincangan kitab, pembentangan kertas kerja juga turut dijalankan dalam minggu ini.

Kertas-kertas kerja yang telah dibentangkan adalah Baldatun Wa Robbun Ghofur’ yang disampaikan oleh Ustaz Nik Hamdi bin Ghani (Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Mesir) , ‘Fiqh Daulah’ oleh Ustaz Mohd Zainullah dan ‘Fiqh Siasah’ oleh Ustaz Zahari Bin Ali (Graduan al-Azhar, Mantan penasihat PMRAM).

Minggu Thaqafah yang di bawah seliaan oleh Biro Pelajaran dan Ilmiah KPIPM ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli KPIPM sendiri mahupun pelajar dari negeri-negeri lain.

Dengan berakhirnya perbincangan kitab “Matan Waraqat Usul Fiqh” oleh Ustaz Muhammmad Zul Faisol sebentar tadi maka telah berakhirlah Minggu Thaqafah KPIPM ’11 sempena cuti musim panas kali ini.

"Kami sentiasa memikirkan cara bagi memastikan thaqafah ahli dijana dengan baik walaupun di musim kuliah atau cuti". ulas saudara Mohamad bin Dollah selaku ketua Biro Pelajaran dan Ilmiah KPIPM itu.

Semoga program-program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa hadapan untuk menjana pengetahuan ahli KPIPM selain mengisi masa lapang ahli dengan aktiviti berfaedah.

Wednesday, July 27, 2011

Permohonan Zakat : Tarikh Tutup 29 Julai 2011 Ini


Baru-baru ini Jabatan Setiausaha Agung telah menghubungi pihak MAIPk dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) Mesir. Oleh itu, antara maklumat penting yang perlu di beri perhatian oleh anak-anak Perak di Mesir adalah seperti berikut .

1. Tarikh tutup permohonan dermasiswa Online adalah pada 29 JULAI 2011.

2. Bagi senarai penama yang telah dibawa masuk ke dalam mesyuarat seperti dimaklumkan sebelum ini, boleh merujuk kepada KEPUTUSAN PERMOHONAN SELEPAS MESYUARAT DAN NOTA MESYUARAT di dalam sistem masing-masing .

3. Jika tertera seperti LULUS BERSYARAT, maka pemohon diminta untuk memberikan maklumat yang diperlukan seperti yang tertera di NOTA MESYUARAT di dalam sistem kepada pihak pejabat HEP perak melalui Jabatan Setiausaha Agung KPIPM.

4. Pihak persatuan menyediakan surat sokongan bagi menyatakan status anak perak yang bermustautin di Negeri perak dan berdaftar sebagi ahli KPIPM.

5. Pejabat HEP Mesir menyediakan surat sokongan bagi pemohon yang ingin menyatakan tidak pernah menerima sebarang bantuan kewangan selain MAIPk.

6. Sehingga kini, pihak Jawatankuasa Dermasiswa MAIPk telah membawa masuk ke dalam mesyuarat hampir keseluruhan pemohon di kuliah perubatan dan sebahagian pemohon di kuliah pengajian Islam.

Sehubungan itu, pihak Jabatan setiausaha Agung mengharapkan agar anak-anak Perak di Mesir supaya melengkapkan segala maklumat di dalam permohonan Dermasiswa Online MAIPk dengan segera sebelum tarikh tutup permohonan.

http://www.maiamp.gov.my/dermasiswa/

Sebarang permasalahan boleh merujuk kepada saudara Ibnu Abbas bin Azizuddin, Setiausaha Agung KPIPM di talian 011-0313027.

Berjaya : Tahniah Kepada Pelajar Matrikulasi


Pada tahun ini kita telah digemparkan dengan satu isu pelajar Malaysia lemah dalam menguasai bahasa Arab dan ramai dikalangan pelajar baru gagal dalam ujian kelayakan ke Universiti al-Azhar, khususnya pelajar Perak. Sekaligus mengubah landskap pendidikan pelajar baru pada tahun ini. Tetapi apa yang terjadi sebaliknya.

Kami pihak persatuan mengucapkan tahniah kepada pelajar yang telah mengikuti markaz lughah, penantian mereka selama setahun akhirnya membuahkan hasil dengan berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan baru-baru ini. Sekaligus menempatkan mereka dikerusi kuliah Universiti al-Azhar sebenar.

Semangat mereka yang begitu kental dan tidak pernah mengenal erti putus asa memang sepatutnya dipuji oleh mahasiswa/wi yang lain. Walaupun kedatangan ke kuliah mereka adalah diwajibkan namun komitmen mereka terhadap persatuan adalah amat membanggakan. Setiap program mahupun kelas-kelas tafaqquh yang telah diatur oleh pihak persatuan mereka sentiasa mengambil tempat di hadapan.

Walaupun ada dua tiga orang yang didefinasikan gagal oleh pihak pengurusan markaz, sebenarnya mereka juga adalah orang yang berjaya kerana mereka juga telah menempah tiket untuk memasuki Universiti al-Azhar yang mereka cita-citakan. Cuma mereka diwajibkan mengikuti khusus Daurah Saifiah selama 40 hari.

Semangat mereka boleh dijadikan contoh terbaik kepada mahasiswa baru yang ingin melanjutkan pengajian ke al-Azhar selepas ini. Semoga Allah memberikan mereka kekuatan dan thabat dalam menuntut ilmu di bumi anbiya’ ini. Pihak persatuan juga mengharapkan supaya mereka dapat mengekalkan keputusan yang cemerlang ini setelah mereka belajar di Universiti al-Azhar nanti. Sekaligus menolak dakwaan pihak tertentu yang mengatakan pelajar Mesir lemah berbahasa Arab dan malas ke kuliah.

5 Golongan Yang Jauh Daripada Allah S.W.T

KAHERAH, 21 Julai - Ehya’ al- Jum’ah dimulakan dengan paluan gendang mengiringi alunan burdah.

Kali ini tazkirah daripada saudari Nor azura binti rahim. Beliau merupakan pelajar tahun tiga, Syariah Islamiah, Kaherah. Beliau juga merupakan HEWI KPIPM pada sesi ini, merangkap Bendahari Kehormat HEWI.

Dalam ucapan beliau, lima perkara golongan yang jauh daripada Allah S.W.T. Pertama, golongan yang selalu menyebut perihal makhluk, dari memperbanyakkan menyebut Allah. Golongan kedua, golongan yang suka menyebut perihal dunia dari suka menyebut perihal akhirat. Golongan ketiga, banyak menyebut hal-hal kehidupan dari hal-hal akhirat. Golongan keempat, suka menyebut kebaikan sendiri, daripada menyebut kebaikan orang lain. Dan yang kelima, golongan yang suka menyebut keaiban orang lain.

Di sebelah pagi pula, tazkirah Subuh telah disampaikan oleh saudara Mohd Yusri bin Mohd Ariff. Beliau merupakan graduan al-Azhar, Damanhur. Ini juga adalah gabungan majlis wada’ beliau yang mana beliau akan pulang ke Malaysia pada esok harinya.

Pesan beliau pada hadirin yang hadir, agar hargai masa. Sepertimana yang dicatatkan dalam surah al-Asr. “Demi masa, sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengejarkan amal soleh dan saling menasihati agar mentaati kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran”.

Ayat yang diturunkan oleh Allah S.W.T ini jelas menunjukkan kepada kita tentang betapa pentingnya masa dalam kehidupan seharian kita, sambung beliau lagi.

Dua perkara lagi beliau mengingatkan pada hadirin yang hadir, “Kita jangan menunggu ilmu itu datang tetapi kita yang harus mencarinya. Dan keduanya, kita haruslah sabar menanti kejayaan”. Pesanan beliau sebelum mengakhiri ucapannya.

Friday, July 22, 2011

ILMAM KESAL : Tindakan Pegawai JPMK Dan Kedutaan Terhadap Pelajar Tidak Berasas

Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) mengecam tindakan pegawai JPMK dan Kedutaan Malaysia di Kaherah Mesir yang didakwa menjadi dalang di sebalik kes seorang mahasiswa Mesir yang menuntut di IPT di Mesir dibuang daripada pusat pengajian tersebut kerana mengetuai perhimpunan aman BERSIH pada 9 Julai lalu di kawasan penempatan pelajar sekitar Kaherah.

Turut terkilan, selain itu, para mahasiswa yang menyertai perhimpunan tersebut juga diugut dengan pelbagai perkara seperti akan ditarik zakat yang menjadi hak mereka, disekat pinjaman walaupun pelajar hanya meminjam dan pelbagai lagi ancaman yang diberikan oleh pegawai yang tidak bertanggungjawab tersebut.

ILMAM melihat tindakan tersebut adalah tidak berasas sama sekali kerana para mahasiswa mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan mereka dan mereka tidak melakukan sebarang perkara yang dapat mengancam keselamatan negara lebih-lebih lagi mereka berada di luar Malaysia.

Tindakan pegawai yang langsung tidak mahu berbincang dengan mahasiswa tersebut seperti yang dilaporkan juga menunjukkan sikap tidak profesional dan tidak beretika kerana tugas mereka sebenarnya adalah untuk memudahkan urusan para pelajar dan bukannya menyusahkan mereka hanya untuk kepentingan keduniaan semata-mata.

Apakah ini demokrasi dan keterbukaan kerajaan Malaysia? Walhal di Mesir, atau pelajar Malaysia yang belajar di luar negara sama sekali tidak terikat dengan Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU) yang membolehkannya untuk dikenakan tindakan yang terkandung didalam akta tersebut. Amat malang dan menyedihkan tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia sekarang ini.

ILMAM turut mempersoalkan mengapa hanya di Mesir diambil tindakan? Bukankah Bersih 2.0 dianjurkan di seluruh dunia? Di Australia, Jepun, Taiwan, United Kingdom, US dan lain-lain lagi? Jika kerajaan Malaysia ingin mengenakan tindakan sebegitu, biarlah adil, hukum semua penganjur atau mereka yang terlibat dengan tindakan yang sama di tempat-tempat lain.

Jadi, ILMAM Malaysia menaruh sepenuh pengharapan kepada Kedutaan Malaysia di Kaherah, Mesir agar membuat pertimbangan yang sewajarnya, iaitulah dengan menarik balik sebarang tindakan yang dikenakan ke atas semua pelajar Malaysia tersebut untuk mendapat haknya yang sepatutnya diperolehi. Terutama memberi peluang kepada Saudara Firdaus bin Mazlan yang mengambil kursus lanjutan untuk menjadi mufti di Darul Ifta' Misriyyah yang sepatutnya telah tamat pengajiannya pada 25 Julai, kelmarin untuk menghabiskan dan melayakkan dirinya untuk mendapat sijil tersebut.

ILMAM Malaysia ingin mengakhiri dengan sedikit peringatan dan panduan hidup yang telah direncanakan oleh Nabi besar junjungan kita Nabi Muhammad saw:

Rasulullah Sollallahu alaihi wasalam pernah bersabda: "Barangsiapa yang memudahkan jalan orang yang ingin menuntut ilmu, Allah akan mempermudahkan jalannya untuk ke Syurga."

Sabda Rasulullah SAW: "Bantulah saudaramu yang zalim atau yang dizalimi". Para sahabat lalu bertanya: "Memang kita perlu membantu saudara kita yang dizalimi, tetapi bagaimana pula kita membantu mereka bilamana mereka melakukan kezaliman?”. Maka Rasulullah SAW menjawab : “Engkau mencegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah cara membantu saudaramu yang zalim.” (H.R. Al-Bukhari)

Sekian, Wassalam.

Yang Benar,

USTAZ MOHD AZIZUL HISHAM BIN ZULKIFLI

PRESIDEN,

PERTUBUHAN LEPASAN MAHASISWA MESIR (ILMAM) MALAYSIA

24 SYAABAN 1432H @ 26 JULAI 2011

ilmampusat.blogspot.com



MINGGU THAQAFAH KPIPM '11

Makluman kepada seluruh ahli KPIPM,

KPIPM akan mengadakan MINGGU THAQAFAH KPIPM '11 bermula pada 23 Julai 2011 sehingga 28 Julai 2011.

Program akan diadakan di Dewan Syeikh Sya'rawi, Wisma Darul Ridzuan (A).

Marilah kita bersama-sama mengisi masa cuti musim panas ini dengan mengikuti majlis ilmu.

Thursday, July 21, 2011

KEMBARA MATRUH SIWA '11 Pengerat Ukhuwah

KAHERAH, 19 Julai – KEMBARA MATRUH dan SIWA ’11 di bawah seliaan Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah KPIPM 2010/2011 telah dianjurkan dengan jayanya.

Program yang berjalan selama 4 hari 3 malam itu bermula sebaik tibanya di Matruh. Peserta diberi peluang berehat di tepi pantai dan beriadhah sesama peserta.

Di sebelah petang pula, peserta dibawa menikmati Hamam Cleopatra. Hamam tersebut dipercayai dibina khas untuk Cleopatra.

Sejurus itu, terus menuju ke pantai Ajibah yang juga dikatakan pantai yang ajaib kerana mempunyai keunikan yang boleh bertukar kepada 7 warna serentak ketika senja menjelma.

Di sebelah malam pula, peserta diberi peluang bersiar-siar di Suq Libya. Suq Libya juga terkenal dengan barang-barangan dari Libya yang kurang didapati di tempat-tempat lain.

Di awal pagi keesokan harinya, peserta mula bertolak ke Siwa. Di Siwa pula mempunyai tempat-tempat bersejarah yang dilawati seperti Kolam Cleopatra,Jabal Mauta, Istana Zulkarnain dan Siwa Qadim (lama).

Peserta juga berkesempatan membeli-belah sebelum berangkat pulang semula ke Matruh.


Pada hari terakhir pula, pantai Ubaid menjadi sasaran bagi tujuan bermandi-manda. Pantai Ubaid menyaksikan seluruh peserta bertungkus-lumus bergabung tenaga dalam membina istana pasir.

Sejurus selesai aktiviti pantai terakhir tersebut, perjalanan pulang ke Kaherah diisi pula dengan aktiviti di dalam bas.

Aktiviti menarik di dalam bas dipenuhi dengan acara cabutan bertuah yang disediakan oleh peserta sendiri sambil disusuli ucapan oleh setiap peserta.

Setelah selesai, majlis diakhiri dengan ucapan setiap AJK Pelaksana sebelum selamat tiba di Wisma Darul Ridzuan A kira-kira jam 9.45 malam.

Wednesday, July 20, 2011

Rehlah ke Fayyum dan Syalalat ’11 Menanti Anda

Makluman kepada seluruh ahli HEWI KPIPM,

Di bawah seliaan Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah HEWI KPIPM akan mengadakan Rehlah ke Fayyum dan Syalalat ’11.

Banyak tempat-tempat menarik yang akan dikunjungi antaranya : Bandar Kincir Air, Wadi Rayyan, Tasik Qarun, Kebun Mangga dan banyak lagi.

Rehlah tersebut akan diadakan pada 24 Julai 2011 (Ahad) dengan hanya LE 75 sahaja (termasuk tiket).

Daftar segera sebelum 21 Julai 2011. Sila hubungi Ustazah Farhana bt. Ali (011-6421360).

Saturday, July 16, 2011

Pengambilan Minhah Syar'iah Kaherah Bulan Sya'ban

KAHERAH,17 Julai - PMRAM terus memperkukuhkan hubungan dengan Jam'iyah Syar'iyah dalam usaha memperkasakan agenda kebajikan di kalangan ahli.

Baru-baru ini, sebanyak LE18,800 wang bantuan telah berjaya diagihkan hasil kerjasama dengan Jam'iyah Syar'iyah kepada 188 orang penerima bantuan bulanan Jamiyah Sariyah.

Pihak Jam'iyah Syar'iyah juga mengucapkan terima kasih kepada PMRAM di atas kerjasama erat yang telah diberikan serta seluruh penerima Jam'iyah Syar'iyah yang telah mengambil bantuan pada waktu dan hari yang ditetapkan.

Dalam pertemuan bulanan PMRAM bersama Jamiyah Sariyah, mereka memaklumkan bahawa bantuan bulanan untuk bulan Sya'ban 1432H telah pun keluar.

Seluruh penerima Jam'iyah Syar'iyah bolehlah mengambil bantuan masing-masing di Masjid Syarbini, Haiyyu Asyir pada 20 dan 21 Julai, iaitu pada hari Rabu dan Khamis minggu hadapan bermula pukul 10 pagi sehingga 1 petang.

"Seluruh penerima bantuan Jam'iyah Syar'iyah diingatkan agar dapat mengambil bantuan pada hari dan waktu yang telah ditetapkan untuk mengelakkan nama dipotong pada bulan yang akan datang." ujar Saudara Syeikh Mujahid, Naib Presiden III merangkap Ketua Lajnah Kebajikan danKemanusiaan PMRAM 2011 ketika dihubungi di pejabat PMRAM.

Segala kerjasama daripada semua penerima bantuan amat diharapkan untuk melicinkan lagi pengurusan pihak Jam'iyah Syar'iyah.

pmram.org

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM