Firman Allah S.W.T : “Maha suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya (Muhamamd SAW) pada malam hari daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (Al-Isra’ 15:1)
Peritiwa Isra’ dan Mi'raj adalah satu peristiwa yang Allah S.W.T kurniakan kepada nabi Muhammad S.A.W pada malam 27 Rejab tahun ke 12 baginda dibangkitkan menjadi seorang Rasul. Ia berlaku selepas kematian dua orang yang baginda sangat kasihi iaitu Saidatina Khadijah Binti Kuwailid dan Abu Talib. Tahun itu disebut sebagai ‘Aamul Huzni (tahun duka-cita).
Kedua-dua insan tersebut banyak mempertahankan risalah kenabian yang dibawa oleh baginda selama ini. Mereka berdua diumpamakna seperti obor semangat sepanjang dakwah baginda . Walaupun kejayaan dakwah yang baginda S.A.W bawa pada peringkat awal banyak diberikan sokongan oleh kedua-dua insan tersebut, namun Allah S.W.T lebih mengetahui hikmah yang tersurat dan tersirat di sebaliknya.
Pemergian mereka ini dijadikan sebagai satu bukti bahawa kejayaan dakwah Rasulullah SAW dan Islam bukanlah disebabkan oleh Khadijah dan Abu Talib, tetapi Allah S.W.T yang menjaga agamaNya daripada dihancurkan oleh musuh. Seandainya kejayaan Nabi Muhammad SAW dalam dakwah adalah kerana mereka berdua, bagaimana pula dengan keadaan umat baginda seperti kita yang meneruskan perjuangan Islam yang tidak mempunyai Abu Talib dan Saidatuna Khadijah.
Islam adalah di bawah jagaan Allah S.W.T. Jadi, manusia walau sehebat mana perancangan mereka sekalipun, tidak mampu sama sekali mampu untuk melumpuhkan Islam. Firman Allah SWT: “Mereka hendak memadam cahaya Allah (agama Allah) dengan mulut mereka dan Allah yang menyempurnakan cahayaNya meskipun orang-orang kafir membencinya” (Al-Saf:61:8)
Peristiwa yang berlaku memang menguji keimanan golongan manusia yang sudah tersedia beriman dan menambahkan kekafiran bagi mereka yang tidak beriman terhadap Allah SWT.
Watak yang ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar R.A yang tegas menerima berita Isra' dan Mi'raj Rasulullah S.A.W walaupun disampaikan oleh orang kafir musyrikin, namun Saidina Abu Bakar Al-Siddiq tetap menerima tanpa rasa ragu. Bahkan, beliau menjawab dengan tegas : “Seandainya yang kamu beritahu itu ialah Nabi Muhammad S.A.W yang pergi sampai ke Sidratul Muntaha, lebih daripada itu pun tetap aku percayai”.
Sifat inilah yang perlu dimiliki oleh Mahasiswa Islam sepertimana yang ditunjukkan oleh Abu Bakar al-Siddiq , sentiasa membenarkan dan meyakini apa yang dibawa oleh baginda walaupun orang lain ingkar terhadap perkhabaran tersebut.
Selain itu, Kita juga boleh melihat bagaimana ketegasan baginda untuk memberitahu kepada orang ramai berkenaan dengan peristiwa Isra’ dan Mi'raj walaupun ia dilarang oleh Ummu Hani’ daripada menceritakan kepada orang lain kerana membimbangi orang kafir akan mengatakan bahawa Nabi Muhamamad SAW pembohong besar kerana perjalanan Nabi S.A.W yang tidak dapat diterima oleh logik akal.
Pengajaran daripada Peristiwa Isra’ dan Mi'raj:
• Pertama, Allah berkuasa untuk melakukan sesuatu kepada hambanya. Jarak hitungan manusia selama 40 hari hanya berdasarkan kepada hitungan manusia bukan berdasarkan kepada kekuasaan Allah SWT. Allah S.W.T menjalankan dan mengatur perjalanan bulan, matahari dan menentukan jarak perjalanan. Maka tidak mustahil bagi Allah S.W.T untuk melakukan lebih daripada itu terhadap hambaNya. Selaku Mahasiswa Islam, kita perlu menggunakan masa yang ada untuk memikirkan tentang kekuasaan Allah S.W.T dan mencari bekalan yang secukupnya di jalan dakwah selaku penerus kepada Risalah Nabi S.A.W.
• Kedua, Allah S.W.T berkuasa untuk memperjalankan Nabi Muhammad S.A.W sampai ke Sidratul Muntaha. Maka, Allah S.W.T juga berkuasa untuk menolong agamaNya dalam keberkesanan dakwah Islam sekiranya hambanya sudah memenuhi syarat untuk memikul amanah agamaNya. Antara tanggungjawab utama bagi Mahasiswa Islam ketika menyebarkan Islam di kalangan masyarakat ialah sentiasa berharap dan menjaga hubungan kepada Allah S.W.T di samping menerima amanah dakwah dengan penuh rasa tanggungjawab sama ada di waktu senang mahupun susah.
• Ketiga, ketegasan Nabi Muhammad S.A.W menceritakan peristiwa besar ini kepada kaumnya walaupun Ummu Hani’ melarangnya disebabkan keimanan orang islam yang tidak begitu kukuh lagi ketika itu dan orang kafir akan berusaha mencari kelemahan dan kesalahan yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW. Mereka menjadikan hujah Isra’ dan Mi'raj sebagai jalan untuk menimbulkan keraguan kepada umat pada waktu itu. Melalui sikap yang ditunjukkan oeh Rasulullah S.A.W tersebut, Mahasiswa Islam perlu punyai prinsip berani dan tegas untuk tampil di tengah-tengah masyarakat dalam menyampaikan risalah Islam walaupun dipenuhi ancaman dan mehnah tribulasi. Ketahuilah, dengan keizzahan Islam yang baginda bawa, maka baginda tetap menyampaikan kebenaran walaupun baginda tahu akan risiko kehilangan pengaruh dan sebagainya.
• Keempat, Mahasiswa Islam juga mesti mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap janji Allah kepada pejuang Islam sepertimana yang ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq yang tegas dan berani menerima apa sahaja yang datang daripada Rasulullah SAW . Dengan prinsip keberanian dan kehebatan Saidina Abu Bakar tersebut, maka mahasiswa Islam juga perlu melangkah dengan lebih agresif untuk menyampaikan dakwah Islam serta tidak sekali-kali menggadaikan prinsip perjuangan yang benar.
Kesimpulannya, Selaku mahasiswa mahupun mahasiswi Islam yang menggalas tugas besar untuk menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat, maka menjadi tanggungjawab dan amanah bagi mereka untuk memikul beban dakwah dengan penuh rasa keinsafan dan kesedaran. Peristiwa Isra' dan Mi'raj yang berlaku adalah satu bukti benar bahawa janji-janji Allah S.W.T terhadap kemenangan Islam pastinya benar. Tinggal lagi, sejauh mana keyakinan mereka terhadap janji-janji tersebut dan apakah persediaan yang perlu ada untuk mengisi kemenangan tersebut. Sama-sama renungkan!
Disediakan Oleh:
Wan Mohd Khairuddin bin Wan Isa,
Mahasiswa Universiti Al-Azhar, Mesir.
sumber : map2care.blogspot.com
No comments:
Post a Comment