Wednesday, October 17, 2012

Terjemahan Kitab : Kebangkitan Islam (Antara Cita-cita & Kebimbangan)

Pendahuluan


Kebangkitan Islam ialah perkara terhebat dimiliki oleh umat Islam pada hari ini. Bukanlah petrol, kapas, emas atau perak sebagai perkara terhebat dimiliki oleh kita akan tetapi ianya adalah pemuda berjiwa revolusi khususnya pemuda yang mahukan Islam.


Makna Kebangkitan

Dari segi bahasa : Bangkit-membangkitkan (bahasa Arab)


Ianya memberi makna “berjaga dari tidur atau kemabukan” atau secara umumnya bermakna kebangkitan selepas hilangnya kesedaran.


2 sebab hilangnya kesedaran :


(1)Sebab dalaman
(2)Sebab luaran


Pemerincian :


(1) Sebab dalaman ialah seperti kemelesetan atau kemunduran yang melanda umat daripada kegagalan akibat kemunduran zaman dan salah faham mengenai Islam dan pelaksanaannya.


(2) Sebab luaran ialah seperti gerakan penjajah yang menguasai negara umat Islam. Ianya adalah sebuah bencana yang tidak dapat ditentang. Bahayanya bukan sahaja penjajah menguasai bumi umat Islam akan tetapi mereka cuba menjajah akal (pemikiran), jiwa rakyat, perasaan (emosi), kehidupan sosial dan akhlak.


Bernard Louis seorang sejarawan terkenal menulis melalui bukunya iaitu “Barat Dan Timur Tengah” :


“Sesungguhnya perkara terburuk yang pernah melanda umat Islam dalam sejarah mereka ada 2 iaitu penjajahan tentera Mongol terhadap tamadun Islam, mereka menghancurkan ibu kota Khilafah Abbasiyah di Baghdad dan menjahanamkan tamadun Islam ketika itu. Pukulan kedua ialah peperangan dari segi pemikiran pengetahuan moden yang dilancarkan oleh dunia Barat terhadap dunia Islam.”


Melalui penjajahan Mongol, tamadun Islam ketika itu telah hancur akan tetapi pergerakan mereka telah dapat dihentikan oleh tentera Mesir yang dipimpin oleh Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz. Beliau dan tentera Mesir menewaskan tentera Mongol di medan Ain Jalut, Palestin pada 25 Ramadan 658 iaitu 2 tahun selepas kejatuhan Baghdad. Beberapa tahun kemudian, tentera penjajah Mongol kemudiannya memeluk Islam. Buat kali pertama dalam sejarah penjajah memeluk agama bangsa yang dijajah!


Adapun serangan penjajahan pemikiran moden Barat lebih sukar untuk ditangani. Penjajahan pemikiran mampu merosakkan kehidupan umat Islam terutamanya apabila pemikiran Barat meresapi pemikiran keimpinan politik di negara-negara Islam dan aspek pendidikan. Kepimpinan negara akan mencorakkan pemerintahan bukan mengikut perintah Allah.


Peringkat-peringkat Kebangkitan Yang Perlu Diwujudkan

1. Kebangkitan Pemikiran


(1) Terpengaruh dengan pemikiran lain secara mutlak


Ianya adalah seruan terkuat yang menyatakan bahawa tiada cara lain untuk memajukan umat Islam selain daripada mencedok acuan pemikiran tamadun Barat dari segala aspek.


(2) Peringkat pemikiran justifikasi


Justifikasi ialah suatu alasan yang kuat untuk menjadikan sesuatu perkara wajar dilakukan. Perkara ini bermaksud umat Islam hanya mengambil sesuatu perkara berkenaan syariat Islam berkaitan perkara yang ingin dilaksanakan atau dianggap memberi kebaikan sahaja dan menolak sebahagian syariat Islam yang lain. Mereka mengambil perkara daripada Barat kemudian menjadikan Islam sebagai pakaian mereka sahaja.


Sebagai contoh, amalan riba hukumnya haram dalam Islam tetapi mereka mahu melaksanakannya dan beralasan bahawa amalan riba yang diharamkan Islam ialah amalan riba pada zaman jahiliyyah dan bukannya amaln riba pada zaman ini.


(3) Pemikiran beralasan


Menjadikan Islam sebagai prinsip untuk mempertahankan diri sendiri. Golongan ini menjadikan Islam sebagai hujah atau alasan untuk menyelamatkan diri ketika melakukan sesuatu. Contohnya,Islam membolehkan talak (perceraian) atau membolehkan amalan poligami. Mereka menjadikan perkara ini sebagai sebab dan alas an untuk menghalalkan tindakan mereka.


(4) Peringkat Kebangkitan


Umat Islam dalam peringkat ini berhadapan dengan pemikiran Barat dan mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan diri daripada keburukan pemikiran tersebut. Ini ialah marhalah atau peringkat baru yang dinamakan peringkat dakwah. Umat Islam mula memasuki peringkat menyerang pemikiran Barat apabila sudah mula menolak pemikiran golongan Orientalis yang selalu mendatangkan pemikiran menentang Islam.


2. Kebangkitan Emosi (perasaan)


Ianya bukanlah bermakna bangkit daripada tidur akan tetapi bersandarkan kepada asal makna kebangkitan pada bangsa Arab iaitu “kebangkitan dari hati dan perasaan”. Pemikiran manusia bukan hanya terdiri daripada akal sahaja akan tetapi meliputi hati dan perasaan.


3. Kebangkitan Amalan Dan Akhlak


Ianya adalah kebangkitan Islam dari segi pelaksanaan dan akhlak. Contohnya, masjid pada masa dahulu hanya dipenuhi oleh golongan tua yang sudah dimamah usia tetapi kini situasi berubah apabila pemuda sudah mula memenuhi masjid. Golongan pemuda sudah mula menunaikan haji dan umrah, suatu amalan yang kebiasaannya dilakukan oleh golongan tua. Kebangkitan ini bermakna anak-anak Islam sudah mula kembali kepada Islam.


4. Kebangkitan Wanita Muslimah


Berlakunya perubahan pada wanita muslimah. Berhijab (bertudung) pada masa lalu kurang diamalkan bahkan suatu amalan pelik bagi muslimah akan tetapi golongan muslimah kini sudah mula berhijab dengan pelbagai jenis fesyen terkini. Ada yang memakainya kerana kesedaran tuntutan agama dan hanya ikutan semasa sahaja.


5. Kebangkitan Antarabangsa


Kebangkitan Islam bukan hanya berlaku di rantau Arab atau negara-negara Teluk sahaja akan tetapi sudah mula berkembang ke seluruh dunia.


6. Kebangkitan Pemuda


Golongan pemuda ialah tiang bangsa terutamanya golongan berilmu. Golongan pemuda yang menjiwai Islam sama ada daripada peringkat sekolah dan universiti mewarisi agama dan membantu kebangkitan Islam.


Antara Cita-cita & Kebimbangan


Cita-cita kita hasil daripada kebangkitan :


(1) Kebangkitan dan Memerangi Kebebasan


Membebaskan bumi umat Islam daripada penjajahan asing misalnya di Palestin. Adalah mustahil untuk membebaskan bumi yang dijajah jika Islam tidak memimpin perjuangan. Kemenangan adalah milik Allah dan ianya tidak akan dikurniakan melainkan kepada golongan mukminin (beriman). Firman Allah dalam Surah Al-Anfal ayat ke-62 :


“Dan jika mereka hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindung) bagimu. Dialah yang memberikan kekuatan kepadamu dengan pertolonganNya dan dengan (dokongan) orang-orang mukmin “


Kemenangan Khalid Al-Walid dalam kempen menentang musuh Islam di tanah Arab, Byzantin serta Parsi dan Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz menewaskan tentera Mongol di Ain Jalut bersandarkan kepada keteguhan iman yang kukuh kepada Allah. Pakatan Tentera Arab yag terdiri daripada Mesir, Syria dan negara-negara Arab lain ditewaskan dalam Perang 6 Hari pada 1967. Tentera Arab melaungkan semangat nasionalime Arab dan percaya kepada kekuata senjata sahaja dapat menewaskn tentera Israel. Mereka tewas dalam masa 6 hari!


Pakatan tentera Arab kemudiannya terlibat dalam Perang Ramadan atau Perang Okober pada 1973. Hanya Persoalannya, hanya berkaitan iman.


(2) Kebangkitan dan Persaingan Kemajuan


Umat Islam terlibat dalam persaingan kemajuan terkini akan tetapi setiap kali kita cuba melangkah ke hadapan umat lain akan lebih terkehadapan daripada kita. Bagaimana mungkin penunggang unta menyaingi pemandu kapal terbang? Oleh itu, kita memerlukan kemampuan yang kuat bagi menampung kekurangan dari aspek ilmu dan teknologi iaitu kekuatan jiwa (ruhiyyah). Dengan kekuatan iman, umat Islam akan menjadikan usaha dalam bidang ini sebagai ibadat dan jihad di jalan Allah. Secara jelas kita adalah umat yang kurang dalam pengeluaran. Kita adalah umat yang banyak bercakap dan kurang menghasilkan sesuatu.


Kemestian Memahami Islam Dengan Baik


Umat Islam mestilah memahami Islam dengan makna yang meluas dan tidak menyempitkan pegertian Islam hanya dalam masalah berkaitan perkara khilafiah (perbezaan pendapat) atau masalah cabang (furu`) seperti masalah menyimpan janggut, memakai pakaian yang pendek dan perbahasan mengenai aurat wanita mencakupi tangan dan muka. Islam bukan hanya tertumpu pada sesetengah bidang sahaja akan tetapi mencakupi seluruh aspek kehidupan. Golongan mutasyaddidun (ekstrimis atau pelampau) merupakan golongan yang bahaya kerana mereka menyebabkan pengertian Islam yang syumul (meluas) disempitkan.


Kebangkitan Suatu Usaha Yang Lama, Jelas Dan Mendalam


Ini adalah perkara yang diperlukan dalam kebangkitan Islam terutamanya dalam mendepani penjajah dan serangan pemikiran Barat. Serangan pemikiran telah menjadikan kita menyempitkan rukun agama dalam pengertian yang terhad iaitu agama ialah perkara berkaitan fatwa dan pengajian agama dalam program yang disiarkan stesen radio, stesen televisyen dan media massa yang lain sahaja. Perkara agama digambarkan hanya sebegitu rupa sahaja. Agama hanya dikenali melalui kolum agama di dada akhbar sahaja. Sepatutnya pengertian agama lebih meluas daripada itu.


Tarbiyah (pendidikan) Islamiyah bukanlah hanya berkaitan subjek pengajian Islam (ulum syar`iah)sahaja akan tetapi perlu diselitkan dalam subjek sejarah, qiraat, sastera, geografi dan ilmu-ilmu yang lain. Ilmu yang dipelajari mestilah berkaitan dengan sunnatullah yang berkaitan penciptaannya dan siapa yang menguruskannya, siapa yang meletakkan peraturan-peraturan ini dan memberikan sebab-sebabnya. Maka tarbiyah Islamiyah bukan hanya tertumpu pada aspek pengajian agama sahaja tetapi meliputi seluruh bidang. Kita tidak mahu umat Islam menjadi seperti umat Kristian yang telah membezakan agama dan pemerintahan dengan megatakan “Berikan perkara bagi pemerintah di sisi pemerintah, dan apa untuk tuhan di sisi tuhan”. Mereka secara jelas menidakkan hubungan di antara perkara duniawi dan ukhrawi (akhirat).


Oleh itu, kebangkitan Islam perlu disertai oleh semua golongan tanpa mengira usia, kaya atau miskin. Kebangkitan Islam bukanlah kebangkitan sebuah golongan yang akan bangun menentang golongan lain akan tetapi ianya adalah kebangkitan setiap peringkat. Golongan wanita muslimah juga perlu menyertai kebangkitan ini. Sejarah merakamkan bahawa suara pertama menyokong Rasulullah SAW ialah suara wanita iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan syuhada` (orang yang syahid, mati kerana perjuangan Islam) pertama ialah Sumayyah ibu kepada Ammar bin Yasir.


Golongan kanak-kanak juga mesti menyertai kebangkitan ini. Mereka harus dididik dengan program-program yang bermanfaat. Program bermanfaat perlulah berada di dada televisyen, radio, akhbar dan majalah. Golongan kita mestilah mengisi segala peluang yang terhidang. Perkara berkaitan kebangkitan Islam mestilah menggantikan perbahasan perkara mengenai “aurat atau bukan aurat” dan“memanjangkan janggut dan memendekkan pakaian”. Kebangkitan Islam mestilah bergerak denganmanhaj wasatiyyah (metodologi atau cara yang sederhana)


Khabar Gembira


Kebangkitan Islam telah berjaya memacu umat Islam dalam mendepani serangan pemikiran Barat. Pemikiran tamadun Barat yang dahulunya diagung-agungkan sebagai pemikiran terhebat kini sudah dikritik oleh umatnya sendiri. Ramai golongan pemikir dan ahli falsafah mengkritik tamadun Barat seperti Spenchler, Collin Wilson dan Karel. Mereka mengetahui masalahnya akan tetapi tidak mengetahui penawarnya. Hanya umat Islam yang mempunyai penawarnya dan terdapat ramai cendekiawan Barat yang mengkaji Islam dan mengetahui Islam adalah penawar kepada segala kekusutan yang berlaku seperi Maurice Bucaille dan Roger Jarody. Mereka mengakui adanya i`jaz ilmi (keajaiban ilmu) dalam Al-Quran.


Tiada ketenangan didapati dalam tamadun lain. Sayangnya, terdapat sebahagian umat Islam yang masih percaya dan mencedok pemikiran mereka pada setiap zaman. Pada zaman tertentu mereka terpengaruh dengan Barat dan Timur, golongan kiri dan kanan, kadangkala Liberalisme dan kadangkala pada masa lain terpengaruh dengan revolusi. Ketahuilah semua pemikiran mereka tidak mampu menyelesaikan masalah mereka melainkan Islam sahaja penyelesaian mutlaknya.


Perkara Yang Kita Bimbangi Mengenai Kebangkitan


Kita tidak gusar dan bimbang dengan kekuatan asing dan dalaman yang menentang kebangkitan Islam akan tetapi kita bimbang akan kemunculan gerakan atau gelombang yang mungkin boleh merencatkannya. Antara gelombang tersebut ialah :


(1) Golongan/gelombang pelampau (ekstrimis atau syadid) dan sesat


Golongan ini terlampau berlebih-lebihan dalam menilai sesuatu perkara terutamanya dalam perkara agama sedangkan syariat Islam adalah mudah. Fatwa yang dikeluarkan sepatutnya memudahkan dan bukannya menyusahkan. Terdapat sebahgian ulama dan da`ie (pendakwah) yangsyadid (berlebihan dan melampau), tidak kurang ada juga yang mengeluarkan fatwa mengikut hawa nafsu para pemerintah semata-mata. Ada juga yang berfatwa mengikut keinginan orang awam sahaja. Perkara ini sangat bahaya. Allah Taala telah berfirman dalam Surah Al-Jathiah ayat 18 dan 19 :


“Kemudian kami jadikan engkau (Muhammad) mengikuti syariat (pearturan) dari agama itu, dan janganlah engkau mengikuti keinginan orang-orang yang tidak mengetahui. Sungguh, mereka tidak akan dapat menghindarkan engkau sedikitpun dari (azab) Allah, dan sungguh orang-orang yang zalimitu sebahagiannya menjadi pelindung atas sebahagian yang lain sedang Allah pelindung bagi oran-orang yang bertaqwa “


Sebagai contoh ada golongan yang menghukum bahawa meliwat isteri ialah jenayah dan wajib untuk menceraikan isteri. Sedangkan syariat Islam mendatangkan bahawa meliwat dihukum sebagai perkara yang haram dilakukan dan tidak perlu menceraikan isteri. Walaupun jika perkara tersebut mendatangkan kebaikan sekalipun akan tetapi hukum Allah itu lebih utama daripada keputusan kita sebagai hambanya. Kita tidak boleh mengubah hukum Allah sesuka hati.


Golongan pelampau ini juga menyatakan pandangan mereka benar dan pandangan golongan lain yang menyalahi mereka salah. Mereka berfikiran jumud (tertutup) dan tidak mahu menerima ijtihad atau pandangan lain sebagai pegangan walaupun benar. Imam Syafie r.a pernah menyatakan :


“Pandanganku benar akan tetapi kadangkala salah dan pandanganku orang selainku salah akan tetapi kadangkala benar”


(2) Golongan/gelombang perpecahan


Di dunia Islam, banyak golongan seperti ini yang sering mendakwa mereka ingin membawa agenda penyatuan ummah. Mereka adalah golongan yang berbahaya. Banyak puak telah berpecah belah dalam dunia Arab. Mereka telah berpecah mengikut kumpulan dan ajaran, kemajuan dan kemunduran, golongan kiri dan kanan, ras kebangsaan, perbezaan mazhab, perbezaan tempat dan benua, perbezaan peringkat asyarakat dan sebagainya. Di sana terdapat juga perpecahan dalam diri seseorang seperti kecenderungan kepada yang lama atau baru, terpecah antara masa lalu dan sekarang serta antaraturath (warisan) dan muasoroh (terkini).


Umat Islam sepatutnya bersatu dan mengelakkan perpecahan yang berlaku. Perpecahan yang berlaku bakal merencatkan kebangkitan Islam. Terdapat kaedah yang telah diletakkan oleh Sahibul Manar Syeikh Rasyid Ridha yang kemudiannya telah dibina oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna iaitu :


“Kita saling bantu-membantu dalam perkara yang disepakati dan memaafkan/meraikan sebahagian kita dengan sebahagian yang lain pada perkara yang terdapat perbezaan pandangan”


Oleh itu, kenapa kita tidak mendirikan asas kesatuan seperti ini bagi menggantikan perpecahan yang berlaku? Adapun konsep taadud jamaah (berbilang-bilang jemaah) yang berlaku sepatutnya dielakkan. Akan tetapi, garis panduan yang diletakkan ialah konsep taadud tanawwu` atau takhassus(taadud bersandarkan jenis dan pengkhususan) dibenarkan dan konsep taadud tudhad (berlawanan) tidak dibenarkan. Allah Taala berfirman dalam Surah As-Saff ayat ke-4 :


“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalannya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti sebuah binaan yang terbina kukuh “


Adapun golongan lain yang dibimbangi ialah golongan musta`jilin iaitu golongan yang terburu-buru atau ngin cepat merasai kemenangan sebelum tiba masa yang sepatutnya. Golongan ini mahu menuai hasil sebelum tiba musimnya. Sesungguhnya, terburu-buru akan mendorong kepada kekerasan dan perkara ini bakal mendatangkan bahaya kepada umat Islam dan perjalanan kebangkitan Islam pada masa hadapan.


(3) Gerakan /gelombang yang tenggelam kerana siasah (politik)


Golongan ini tenggelam dengan keasyikan dalam bidang siasah sehinggakan keaktifannya mengatasi bidang tarbiyah dan akhlak. Kebangkitan Islam mesti dibentuk melalui tarbiyah yang sempurna bermula daripada seorang individu Muslim. Pertubuhan-pertubuhan kebajikan Islam mesti diwujudkan di seluruh dunia bagi menegakkan perkara tersebut. Gerakan mubasyyirin (mubaligh atau pendakyah) atau missionaris Kristian telah bergerak aktif di Afrika bertujuan untuk menyerang umat Islam dengan segala senjata yang ada dari segi kerja kemasyarakatan, menyembuhkan pesakit , menjaga anak yatim, mengajar golongan buta huruf dan menolong fakir miskin. Sesungguhnya, Islam menyeru kita supaya menegakkan gerak kerja atau amal kemasyarakatan di mana sahaja terbitnya matahari di muka bumi ini.


Wallahu a'lam..




"Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"





Disediakan oleh :

Muhammad Zuhaili bin Zanal Ali
Felo MANHAL PMRAM 2012

No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...