Monday, October 8, 2012

Kebersamaan Ahli PMRAM Dalam Mempertahankan Hak Mahasiswa BKPJM



Segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda : "Barang siapa yang melapangkan kesempitan dunia seorang mu’min, maka Allah SWT akan melapangkan baginya kesempitan pada hari kiamat. Dan barang siapa yang mempermudah kesulitan seseorang, maka Allah SWT akan mempermudahnya dalam kehidupan dunia dan akhirat. Barang siapa yang menutupi cela seorang muslim, maka Allah SWT akan menutupi celanya di dunia dan di akhirat. Dan Allah SWT akan senantiasa menolong hambaNya, selagi hambaNya tersebut menolong saudaranya". (HR. Muslim) 



Merujuk kepada hadis di atas, bertepatanlah dengan apa yang berlaku kepada Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM). Mahasiswa dan mahasiswi di sana sedang dizalimi dan ditekan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beberapa usaha telah dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, dilihat semata-mata untuk memecah belahkan kesatuan yang telah terbina di antara mahasiswa mahasiswi Johor di bumi Mesir ini.


Banyak usaha yang telah dilakukan antaranya , tidak membenarkan mahasiswa/mahasiswi Johor menggunakan dewan bagi menjalankan sebarang aktiviti sama ada kelas pengajian atau pun sebarang program yang berbentuk ilmiah. Lebih malang lagi dewan itu dikunci tanpa sebarang notis.

Antara lainnya, mahasiswa dan mahasiswi telah diarahkan supaya keluar dari rumah masing-masing tanpa alasan atau sebarang sebab yang munasabah. Malah yang lebih mendukacitakan lagi, mereka telah memfitnah BKPJM bersama Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sebagai pembangkang. Ini adalah satu tohmahan dan fitnah kepada BKPJM dan PMRAM.

Perkara ini mendapat perhatian daripada seluruh ahli-ahli PMRAM daripada seluruh Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) yang bernaung di bawah PMRAM dalam menyatakan pendirian mereka bersama-sama mempertahankan hak mahasiswa mahasiswi BKPJM di bumi Mesir ini. 


Dengan kesatuan yang terbina di atas dasar ukhuwah fillah, hak-hak mahasiswa mahasiswi BKPJM ini akan terus dipertahankan dan diperjuangkan dengan beberapa tindakan yang telah dilakukan seluruh ahli PMRAM, iaitu dengan meyokong dan bekerjasama dalam menjayakan segala aktiviti yang diadakan BKPJM dan bersedia untuk membantu dalam apa jua keadaan sekali pun.

Justeru barisan kepimpinan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) PMRAM merasakan kebersamaan ahli-ahli PMRAM mestilah dikekalkan dan dipertingkatkan dalam mempertahankan hak-hak mahasiswa/mahasiswi tanpa mengira sempadan dan batasan negeri serta latar belakang kerana kita semua bernaung di bawah satu bumbung iaitu, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).


sumber: http://www.hewi.pmram.org

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM