Sunday, October 4, 2015

INDAH’15 - Penghayatan Sirah Aidiladha Menyulam Mahabbah Ahli KPIPM



KAHERAH- 23 September 2015, bersempena dengan perayaan Aidiladha, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir telah menganjurkan program Inspirasi Aidiladha 2015 (INDAH’15) dengan kerjasama Atase Pendidikan Negeri Perak. Program yang bertemakan “Hayati Sirah, Sulami Mahabbah” ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Muhammad Ainuddin Bin Mohd Ishak yang bertempat di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Baitul Ridzuan. Sebanyak 40 ekor kambing dan 3 ekor unta telah dijadikan korban pada tahun ini.

Pada pagi hari raya pertama, ahli KPIPM bergegas ke Masjid Ibadurrahman, Hayyu  Sabei' bagi menunaikan solat sunat Aidiladha bersama penduduk sekitarnya. Manakala di sebelah malamnya pula Ceramah Perdana di bawah kelolaan Biro Dakwah dan Tarbiyah KPIPM sesi 2015/2016 diadakan bagi mencapai objektif yang dibawa oleh INDAH’15.

Seterusnya, pada hari raya kedua, seawal jam 6 pagi ahli bergotong-royong menjalankan proses penyembelihan dan melapah sehingga masuk waktu solat jumaat. Seusai solat, aktiviti melapah diteruskan dan agihan daging kepada ahli KPIPM dibuat setelah selesai sahaja pembahagian dibuat.

Pada hari terakhir, INDAH ‘15 dimeriahkan dengan majlis rumah terbuka Aidiladha dan Walimatul Urus yang dihadiri oleh tetamu-tetamu jemputan dan tetamu luar serta seluruh ahli KPIPM sendiri. Pada sebelah malamnya, INDAH ’15 diteruskan lagi dengan slot Talkshow yang bertajuk “Single is Simple, Berdua Lebih Baik” yang telah diisi oleh Ustaz Rafzan dan pasangannya Ustazah Fatimah Salwani serta seorang moderator oleh Ustaz Muhammad Mu’aaz bin Ramli. Bagi menjayakan malam raikan cinta (UBM), majlis diteruskan lagi dengan slot taaruf pengantin,  sebanyak tiga pasangan yang telah terlibat. Seterusnya, para hadirin dihiburkan dengan persembahan nasyid dari Usrah Al-Muhazirun di bawah kelolaan Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2015/2016. Majlis pada malam itu diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi pemenang pertandingan "Selfie" dan tayangan video penutup.

Program ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dari anak-anak Perak sendiri dan juga individu-individu luar. Semoga Inspirasi Aidiladha 2015 pada kali ini memberi banyak input kepada ahli KPIPM yang bertepatan dengan tema INDAH’15 “Hayati Sirah, Sulami Mahabbah”.


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"













No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM