Wednesday, October 21, 2015

KALAM RASMI YANG DIPERTUA KPIPM SESI 2015/2016



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, DIA-lah yang telah mengurniakan kepada kita dua nikmat terbesar dalam kehidupan iaitu nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam dipanjatkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang telah menginfaqkan seluruh kehidupannya untuk meninggikan dan memperkasakan agama Allah SWT. Tidak dilupakan juga, kepada para sahabat Nabi dan insan-insan yang meniti jalan dakwah dan jejak langkah mereka di sepanjang zaman.

Firman Allah SWT:

 "Allah SWT tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Ia mendapat pahala (dari kebaikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): " Ya tuhan kami, jangan Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Berilah kemaafan kepada kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." - (Al Baqarah: 286).

Islam merupakan agama yang syumul meliputi segenap aspek dalam kehidupan sama ada dari sudut pendidikan, kemasyarakatan, ekonomi, politik dan lain-lain. Allah SWT telah menciptakan alam semesta dan melantik  manusia sebagai khalifah-Nya. Dari konotasi berikut, boleh difahami bahawa manusialah yang selayaknya memikul dan menggalas amanah dalam merencana risalah dakwah untuk disampaikan buat masyarakat pada hari ini. Melihat kepada pelbagai masalah yang berlaku dewasa kini, tidak dapat tidak bagi setiap pencinta ilmu agar melengkapkan diri dengan ilmu turathi dan kontemporari untuk menghadapi rencam masyarakat pada masa akan datang. Bahkan tidak cukup setakat itu, hardskill dan softskill juga perlu dikuasai.

Bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

" Katakanlah (wahai Muhammad): tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri, maka tuhan kamu lebih mengetahui siapakah (di antara kamu) yang lebih betul jalannya." – (Al-Isra’ : 84)

Lanjutan dari kefahaman berikut, ilmu yang dituntut mestilah dipraktikkan dengan sebaiknya mengikut kemampuan yang dimiliki. Ilmu yang dipelajari sewajarnya diterjemahkan dan dipraktikkan, KPIPM adalah antara medium dan peluang terbaik bagi seluruh ahli untuk menterjemahkan perkara tersebut.

Alhamdulillah, Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM kali ke-49 telah berjaya dilaksanakan baru-baru ini, ahli KPIPM telah sepakat dan sebulat suara akan menjayakan satu usul yang telah dibentang dan diperbahaskan, iaitu ;

"Meningkatkan kualiti mahasiswa melalui penjanaan sumber tenaga yang berkemahiran dalam pelbagai bidang."

Mesyuarat berlangsung dengan baik dan lancar. Melihat kepada keterlibatan dan komitmen dari ahli KPIPM yang prihatin di dalam segala isu yang berlaku. KPIPM berharap agar sokongan dan dokongan padu tersebut mampu dikekalkan.

Legasi kepimpinan sesi 2015/2016 akan berusaha untuk melaksanakan usul yang telah disepakati tersebut. Namun, kebersamaan ahli dalam membumikan dan merealisasikan usul tersebut juga amatlah diharapkan. Barisan kepimpinan sesi 2015/2016 juga ingin menekankan 5 item penting yang menjadi pembawaan KPIPM iaitu:

Thaqafah    : Meningkatkan penguasaan ilmu-ilmu asas dan akademik dalam kalangan ahli.
Kemahiran : Memperkasakan bidang pengurusan dan kemahiran untuk melahirkan tenaga mahir.
Ukhuwah   : Menerapkan nilai sahsiah yang terpuji bagi mengukuhkan ukhuwah islamiah.
Kebajikan   : Mengutamakan kebajikan ahli dalam pelbagai aspek serta mengukuhkan ekonomi KPIPM.
Fikrah     : Memantapkan kefahaman Islam dalam kalangan ahli mengikut acuan Al-Quran dan As-Sunnah.

Pihak kepimpinan pada sesi kali ini menyeru kepada seluruh ahli KPIPM agar bersama-sama menjayakan kelima-lima item tersebut bagi memastikan KPIPM terus terkehadapan dari segala sudut.
 
Semoga KPIPM terus utuh menjadi wadah kesatuan Islam bagi anak-anak Perak di bumi Mesir ini. Didoakan agar seluruh pejuang agama Allah SWT diberi ganjaran yang berlipatkali ganda di dalam misi memburu redha Allah SWT ini.


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN”

MOHAMMAD AINUDDIN BIN MOHD ISHAK
YANG DIPERTUA
KELUARGA PELAJAR-PELAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2015/2016

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM