Friday, November 23, 2012

Kesungguhan Kunci Istiqamah


Senario kehidupan manusia yang diciptakan oleh  Allah SWT mempunyai pelbagai rentak dan situasi yang berbeza. Ini merupakan lumrah dan fitrah kejadian manusia juga sebagai makhluk yang diciptakan oleh  Allah SWT yang serba kekurangan dan kurang sempurna melainkan Allah SWT.

Setiap insan mempunyai cita-cita dan matlamat hidup tersendiri. Tidak kira ia sebagai seorang muslim mahupun bukan muslim. Matlamat itu adalah target dan objektif utama dalam menggapai kebahagiaan di dunia ini. Sebagai seorang muslim tujuan sudah pastilah matlamat utama adalah untuk mencari keredhaan dan kemuliaan di sisi ALLAH SWT.

Ia merujuk kepada asas penting diciptakan manusia dan jin ialah semata-mata untuk beribadat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud “tidak Aku (ALLAH SWT) ciptakan manusia dan jin melainkan untuk beribadat dan sembah kepada Ku".

Dalam kita beribadat serta melakukan perintah  Allah SWT mestilah kita melakukan bersungguh-sungguh dengan berdoa siang malam dalam keadaan menangis, bangun qiamullail, solat taubat agar segala apa yang kita minta dan dambakan dalam kehidupan diterima, diredhai dan dimakbulkan oleh ALLAH SWT. Tujuannya adalah mendapat keredhaan dan kecintaan yang sebenarnya daripada  Allah SWT.

Dalam pepatah arab ada menyebut yang bermaksud "siapa yang berusaha bersungguh-sungguh, maka dia akan berjaya".

Tanpa bersungguh-sungguh mana mungkin kita hendak istiqamah, tanpa istiqamah tiada istilah bersungguh–sungguh. Oleh itu, sifat bersungguh–sungguh perlu digabungkan dengan sifat istiqamah kerana kedua-dua elemen ini amat penting untuk kita mencapai dan menuju matlamat hidup yang sempurna.

Istiqamah merupakan satu sifat yang memerlukan kesungguhan dan pengorbanan dalam jiwa agar ia tetap di jalannya hingga ke penghujung impian. Hanya insan yang betul-betul mempunyai objektif dan matlamat hidup yang jelas akan berusaha bersungguh-sungguh dengan cara yang terbaik untuk istiqamah menuju matlamat dan cita-cita yang diimpikan dalam kehidupan.

Justeru, bersungguh-sungguh adalah intipati yang penting untuk istiqamah dalam kehidupan semua manusia dan yang paling penting ialah mendapat keredhaan, kecintaan dan kasih sayang pencipta sekalian makhluk, Allah SWT.

Pepatah arab ada menyebut yang bermaksud “Istiqamah adalah jalan menuju kejayaan".

Mardhiah binti Nordin
Ketua Unit Pendidikan Dan Komunikasi Bahasa,
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI PMRAM) 2012.

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM