Wednesday, November 21, 2012

Isu Palestin Simbol Keprihatinan Umat Sejagat


Pendahuluan 

Firman Allah S.W.T:"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu." (Surah Al-Baqarah : 120)






Bumi Palestin sekali lagi bergolak. Kini serangan demi serangan bertubi-tubi dilontarkan ke arah bumi suci itu. Pergolakan yang hangat dipermainkan dalam arena globalisasi ini sudah berlaku pada 1948 semenjak peristiwa Nakbah lagi. Penderitaan yang dialami rakyat Palestin sudah pasti tidak dapat terbayang dengan zahir mata. Akan tetapi naluri hati yang prihatin akan isu kemanusiaan ini sudah pasti merasakan sebak serta pilu melihat penderitaan mereka.


Bumi Palestin terus bergolak

Sejak daripada bulan Oktober 2012 baru-baru ini, kita telah menyaksikan pelbagai peristiwa yang menyayat hati menimpa nasib umat Islam di Palestin. Baru-baru ini, umat Palestin dikejutkan dengan kematian salah seorang Komanden Briged Izzuddin al-Qassam bagi sayap tentera Hamas, As-syahid Ahmad Al-Ja’bari. Beliau syahid menemui Allah apabila kereta yang dinaikinya dibedil oleh roket milik regim Zionis pada 14 November 2012 bersamaan dengan detik permulaan tahun hijrah yang baru. 

Kematian beliau merupakan satu anjakan paradigma kepada seluruh pejuang Briged bagi terus memperjuangkan kebebasan Palestin. Semoga Allah membuka jalan bagi mereka ke arah kemenangan atau syahid bertemu Allah S.W.T. 


Mengapa perlu prihatin? 
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: 
“Sesiapa yang tidak mengambil berat di atas urusan orang muslimin maka bukanlah dia dari kalangan mereka. Dan sesiapa yang pada pagi hari mengutamakan perkara selain daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredhai Allah” (Riwayat at-Tabarani) 

Prihatin akan isu umat Islam merupakan salah satu daripada cabang keperibadian seorang muslim yang sejati. Sikap tolong-menolong serta melakukan amal kebajikan adalah tuntutan yang telah dirakamkan dalam firman Allah S.W.T: 

“…Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (Surah Al-Maidah : 2) 

Konsep inilah yang menjadikan Islam sebagai sebuah agama yang sering menjaga kebajikan manusia dari segenap aspek kehidupan. Rentetan daripada konsep tersebut, pergolakan yang berlaku di Palestin adalah sebuah ceritera kehidupan yang perlu ditonton melalui kacamata Islam yang sebenar. Ia bukannya sekadar isu kemanusiaan, akan tetapi ianya membangkitkan satu lonjakan dan tahap sensitiviti terhadap penindasan saudara yang seaqidah dan seagama. 

Semenjak kejatuhan Khilafah Islamiah pada tahun 1924, umat Islam masih lagi tercari-cari sebuah gerakan yang mampu membela nasib mereka. Kini, umat Islam hanya mampu melihat tanpa melakukan tindakan yang drastik dalam membela mereka. Hanya doa yang mampu mengiringi mereka. 

Bermacam-macam insiatif yang telah dilakukan oleh beberapa pihak dalam membantu mereka. Antaranya bantuan makanan, kewangan, perubatan dan sebagainya. Tetapi ianya hanya cukup menyembuhkan sedikit ketirisan penderitaan mereka. Hanya yang mereka inginkan adalah kebebasan dalam memiliki hak mereka iaitu bumi Palestin sendiri yang selama ini dijajah oleh regim Zionis.



Mahasiswa perlu prihatin 

Pemuda merupakan tunjang kepada kekuatan umat Islam seperti mana yang telah ditegaskan oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawi didalam karangannya “Sohwatul Islamiah Bainal Amal Wal Mahazir.” Di dalam karangannya, beliau amat mengharapkan sesuatu yang bernilai daripada kebangkitan Islam. Antara ciri-ciri pemuda yang diharapkan adalah pemuda berilmu yang mana berada di institusi pengajian tinggi sama ada universiti ataupun peringkat menengah. Tidak dapat tidak pemuda tersebut adalah mahasiswa yang mempunyai kekuatan dalam memimpin sesebuah masyarakat. 



Mahasiswa Islam yang berjati diri perlu prihatin akan isu yang berlaku. Inilah yang menjadikan kredibiliti sebagai mahasiswa terserlah apabila mengetahui dan mendalami situasi setempat. 




Apa tindakan kita? 
Setiap keprihatinan kita tidak berguna sekiranya tidak disusuli dengan tindakan. Firman Allah S.W.T: 

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!” (Surah As-Saff : 2) 

Mungkin kondisi yang tidak mengizinkan menyebabkan kita tidak mampu untuk berjihad bersama mereka ke medan yang sebenar. Namun, apa yang mampu diberi dan dilaksanakan hanyalah sokongan moral yang menjadi penggoncang semangat kepada mereka. Antara tindakan yang sering diketengahkan adalah: 

1) Doa Qunut Nazilah 

2) Bantuan kewangan 

3) Cakna setiap isu yang berlaku 



Kesimpulan 
Umat Islam di Palestin kini mengharapkan sokongan daripada umat Islam yang lain. Moga dengan setiap tindakan dan sokongan kita diganjarkan oleh Allah S.W.T dengan ganjaran pahala yang setimpal dengan amalan kita. Antara resolusi yang mampu disimpulkan adalah: 

1) Isu Palestin merupakan simbol keprihatinan masyarakat dunia lebih-lebih lagi umat Islam yang merupakan saudara seagama. 

2) Prihatin akan hal ehwal umat Islam adalah sikap yang perlu disemat dalam jati diri umat Islam. 

3) Umat Islam perlu bersatu dalam bersama-sama membela nasib umat Islam di Palestin 

4) Setiap sokongan terhadap umat Islam di Palestin perlu disusuli dengan tindakan yang bermanfaat.

"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"

"BERILMU BERAMAL IKHLAS"


Amar Arif Bin Ahmad Po'aad
Timbalan Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
sesi 2012/2013

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM