Tuesday, December 2, 2014

Di Manakah Keutamaan Kita?

Di manakah keutamaan kita?
Kuliah dan Talaqqi kedua-duanya adalah ilmu. Namun di sana ada perbezaan di antara keduanya. Antara unsur yang membezakan keduanya ialah sistem pengajian talaqqi ini tiadanya sistem peperiksaan, dan juga sistem talaqqi biasanya bermatlamatkan ‘khatam seluruh isi kitab dari kulit ke kulit’ bermula daripada mensyarahkan tajuk kitab, riwayat hidup pengarang kitab sehinggalah apa yang disampaikan oleh pengarang kitab pada penutup dibahagin akhir kitab. Dan akhirnya pengajar akan mengijazahkan sanad (bersambung ilmunya daripada syeikh sehingga pengarang kitab) kepada anak murid.

Berbeza pula dengan sisitem pengajian di kuliah (universiti), yang mana matlamat mereka pula ‘menghabiskan keseluruhan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan untuk imtihan’. Jikalau pensyarah laju seperti arnab yang makan lobak 6 kilogram setiap hari, insyaAllah akan habis kesemua sukatan tersebut, manakala jikalau pensyarah seperti kura-kura yang tidak diberi makan selama 6 hari, makanya terkadang setengah buku pun tidak sampai, terus dibuat peperiksaan sekadar pada apa yang dipelajari kerana mengejar masa peperiksaan.

Sebagai Azhari/ah, kedua-duanya perlu, cuma yang manakah perlu diutamakan? Disinilah persoalannya. Pertama sekali kita kembali kepada asas. Apakah tujuan kita ke Mesir? Iya, menuntut ilmu sebanyak mungkin. Kemudian amanah kita. Amanah pada diri sendiri dan ibu bapa. Apakah yang ibu bapa ingin lihat daripada kita di sini? Iya, berjaya dalam pelajaran dan cemerlang dalam peperiksaan. Sudah tentu kita tak ingin kecewakan mereka bukan? Maka di sini jelas keutamaan kita adalah kuliah berbanding talaqqi dek kerana amanah kita terhadap orang tua.

Seterusnya pengajian talaqqi yang bagaimanakah kita perlu ikut dan bagaimana dengan pengurusan masanya pula? Sekadar pandangan,  harus kenalpasti dahulu jenis pengajian kitab yang ingin kita ikuti bersesuaian dengan tahap kita. Seeloknya mula dari bawah . Perlahan-lahan naik satu demi satu. Kemudian buat ketetapan dalam satu atau dua pengajian dahulu yang ingin diikuti dan istiqamah. Tak perlu tergopoh gopoh nak ikut banyak pengajian sehingga akhirnya membebankan kita dan berhenti sekerat jalan.

Dari aspek masanya pula, pastikan pengajian yang diikuti tidak bertindih dengan kelas di kuliah. Sekiranya iya, maka perlu membatalkan pengajian talaqqi tersebut. Khususnya bagi mahasiswa tahun pertama, lebih digalakkan lagi untuk memfokuskan pengajian di kuliah sehinggalah keadaan menjadi stabil . Seterusnya, kosongkan waktu selepas isya’ untuk muzakarah bersama rakan-rakan. Cukuplah seharian kita bertalaqqi, luangkan masa pula untuk  belajar sendiri atau duduk berbincang bersama kawan-kawan berkenaan ilmu sama ada ilmu di kuliah atau sebagainya.


Hakikatnya di Mesir ini ada tiga kelompok pelajar, kelompok yang pertama adalah mereka yang cenderung pada kelas di kuliah sahaja, tidak langsung mengikuti mana-mana kelas selainnya. Golongan ini sudah cukup baik kerana ia masih berada dilandasan sebenar. Adapun kelompok yang kedua adalah sebaliknya, mereka hanya tumpu pada pengajian talaqqi sehingga mengabaikan kelas di kuliah. Kelompok ini dilihat kurang baik kerana sudah tersasar dengan tujuan utama serta amanah pada orang tua. Ibu bapa tidak nampak aktiviti kita di sini, cuba suatu hari kita hubungi mereka dan beritahu mereka yang kita selalu ponteng kuliah. Boleh bayang tak bagaimana perasaan mereka? Kelompok yang terakhir adalah mereka yang mampu untuk menyeimbangkan kedua-duanya. Ini dilihat sebagai golongan yang terbaik atas beberapa sebab , antaranya , kemungkinan untuk berjaya dalam peperiksaan adalah tinggi atas kesungguhannya menuntut ilmu serta tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar dan seorang anak. Maka kita nilailah kita di kelompok yang mana. Wallahu a’lam.

SUMBER: Warkah Da'ie (BIL 7), Biro Dakwah dan Tabiah KPIPM Sesi 2014/2015

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM