Monday, July 21, 2014

PERTEMUAN BERSAMA CEO MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU PERAK : MENGUKUHKAN HUBUNGAN BAIK ANTARA KPIPM DAN MAIPK



IPOH, 17 JULAI – Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) sentiasa peka dan prihatin dalam melahirkan golongan agamawan demi mengisi keperluan semasa kepada masyarakat. Kelangsungan persatuan anak Perak yang bergerak di bawah lembayung KPIPM sentiasa merentasi masa seiring dengan usianya hampir 50 tahun.

Oleh yang demikian, satu perjumpaan telah diadakan antara pihak Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bertempat di Pejabat Pentadbiran MAIPk di Ipoh.

Pihak KPIPM telah menghantar dua wakil iaitu Saudara Muhammad ‘Asri Bin Mohd Salim selaku Timbalan Yang Dipertua KPIPM sesi 2014 dan Saudara Zulhafeez Bin Ahmad Zahidi selaku Pengarah Program Bakti Siswa Al-Azhar 2014.


Pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr Amiruddin Bin Muhamed yang mula berkhidmat untuk menerajui institusi agama Negeri Perak itu pada awal tahun ini telah membincangkan beberapa perkara yang merangkumi kebajikan anak-anak Perak, kerjasama antara dua pihak dan penganjuran Program Bakti Siswa yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Pihak KPIPM sangat optimis dengan kerjasama MAIPk sepanjang menguruskan dermasiswa dan menyalurkan bantuan kepada anak-anak Perak yang memerlukan.

“Harapan saya agar anak-anak Perak dapat mengekalkan prestasi kecemerlangan dalam pengajian yang di ambil sama ada Pengajian Islam dan Sains Kesihatan”, ujar beliau di akhir pertemuan itu.

Semoga kerjasama dan hubungan ini dapat dilestarikan dengan sebaiknya demi menjana tenaga dan memastikan bakti anak Perak di Mesir dimanfaatkan untuk masyarakat kelak.

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM