Saturday, December 27, 2014

UJIAN ITU HADIAH DARI ALLAH

UJIAN ITU HADIAH DARI ALLAH


    Hari terus berganti hari, kehidupan manusia juga terus berjalan pantas seiring dengan masa yang pantas berlari. Dicelah-celah hari berwarna-warni yang dijalani dan ditelusuri. Tanpa disedari ataupun tidak,manusia sebenarnya telah pun menempuhi pelbagai ujian dan dugaan. Ujian-ujian yang datang menyapa silih berganti dalam pelbagai bentuk dan rupa. Setiap orang ujian yang diberikan oleh Allah S.W.T adalah berbeza-beza mengikut tahap kemampuannya.


  Firman Allah S.W.T :

“Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya.”

(Al-Baqarah 286)


    Allah S.W.T telah mengatakan dengan jelas di dalam Al-quran bahawa Dia tidak akan sesekali menguji hambanya di luar kemampuan hambaNya. Allah S.W.T mengetahui kita kuat menghadapi ujiannya, oleh kerana itu Dia memberikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah S.W.T kepada kita sebagai hambaNya.


    Hakikatnya di saat ini, kita sedang mengecapi bahagia, ada berjuta manusia di luar sana yang sedang dihujani dengan pelbagai ujian atau dihimpit dengan pelbagai dugaan. Diantaranya, baru-baru ini kita digemparkan dengan banjir besar yang menimpa saudara kita di Malaysia. Ada juga dalam kalangan mereka di sana diuji dengan kehilangan harta benda dan sebagainya. Tidak kurang juga, ada manusia diuji apabila apa yang diingini dan diharapkan tidak terjadi dan diberi.


    Mungkin tanpa ujian-ujian dan dugaan yang dikirimkan khas oleh Allah S.W.T untuk kita sebagai hambaNya, kita masih lagi menjadi seorang hamba yang hanyut dan tewas dalam lautan kelalaian. Apa yang paling utama sebenarnya adalah “HADIAH” itu dikirimkan ole h Allah S.W.T  adalah bertujuan untuk menilai sejauh mana tahap keimanan kita terhadapNya.


   Justeru, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan menilai kembali segala prasangka buruk yang mungkin pernah bermain difikiran kita saat diuji. Inilah saatnya bagi kita mengubah fikiran kita dan mula memandang ujian-ujian yang akan kita lalui sebagai sebuah hadiah daripada Allah S.W.T dan bukan lagi satu bebanan. Apabila kita benar-benar menyedari hakikat ini, maka kita akan menjadi seorang hamba yang bersyukur dengan segala ujian yang diberi oleh Allah S.W.T.




SUMBER : Warkah Da'ie, Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM sesi 2014/2015






No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...