Friday, March 6, 2015

SEKILAS MASA HADAPAN


MASA HADAPAN , ramai orang mampu menduga, malah ramai juga yang cuba mentafsirkannya. Namun, tidak ramai yang  berusaha merealisasikan apa telah diduga dan ditafsir itu. Tidak kurang juga yang hanya menunggu dan berpeluk tubuh menanti setiap detik yang berlalu, membiarkan masa itu pergi umpama berlalunya daun yang hanyut dibawa arus.
Sesungguhnya di sisi Allah ilmu tentang hari kiamat dan Dia yang menurunkan hujan dan yang mengetahui apa yang ada di dalam rahim. Dan tidak ada seorang pun yang mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakan esok. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi PengetahuanNya.”
(Surah Luqman : 34)

Andai ditanya kepada anak kecil apa itu masa hadapan, pasti terbayang oleh dirinya ketika itu sedang bergelar seorang doktor atau mungkin juga seorang pensyarah. Andai ditanya kepada seorang mahasiswa, boleh jadi tergambar akan dirinya yang sedang menggenggam kemas segulung ijazah di hadapan ibu dan ayahnya, dan apabila ditanya kepada seorang ibu yang sedang mengandung mungkin jelas tergambar di hadapannya seorang bayi yang comel sedang berada di atas pangkuannya.
Setiap individu mempunyai tafsiran masa hadapan yang berbeza dan boleh jadi juga sama dengan yang lain. Tatkala itu, menjengah di fikiran bagaimana pula tafsiran masa hadapan seorang mukmin yang bertaqwa. Sudah tentunya mereka yang sempurna imannya akan mengimpikan satu pengakhiran di mana dia bertemu dengan Sang Pencipta, Allah Rabbul ‘Izzati dalam keadaan dirinya redha kepada Allah dan Allah redha kepadanya.
        “Wahai jiwa yang tenang , kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan                          diredhaiNya.” (Surah Al-Fajr : 27-28)

Hari demi hari, bulan demi bulan terus menerpa, namun ramai yang gagal merancang dan mencapai masa hadapan yang diimpikan. Salahnya diri kita apabila memandang sesaat yang akan datang itu hanya ibarat setitis air hujan yang menitis ke bumi, yang mana ia tiada memberi manfaat bagi kita. Ingin diminum tidak menghilangkan dahaga, malah hendak mencuci pakaian juga tidak akan hilang kotorannya. Namun kita lupa daripada setitis hujan itulah akan terhasilnya empangan yang besar, daripada sesaat cuma itulah seseorang mampu menjadi insan terhebat pada zamannya.

“Orang yang bijak ialah mereka yang menghisab dirinya dan beramal untuk bekalannya selepas mati."
  (HR Imam Ahmad, Tarmidzi & Ibnu Majah)

Imam Hassan al-Banna telah menggariskan tujuh peringkat amal yang perlu dicapai oleh setiap individu muslim. Bijaknya Al-Imam kerana susunan tersebut memperuntukkan seluruh kehidupan muslim daripada peringkat individu hinggalah kepada pembinaan negara dan khilafah. Qudwah yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W  jelas menggambarkan kepada kita bahawa tugas dan amanah kita di dunia ini sangat besar. Muslim terbaik tidak hanya memikirkan masa hadapan dirinya bahkan meliputi keluarga, masyarakat, negara dan sudah semestinya  agama Islam yang dikasihi.
               
Kita selaku mahasiswa Islam khususnya memikul tugas dakwah peninggalan Rasulullah S.A.W dan para ulama’ terdahulu dalam menyebarkan agama Islam. Usah biarkan diri kita yang membantut dan yang menghentikan perjuangan mereka yang telah lama dibina. Terdapat beberapa perkara yang menjadi kewajipan kepada kita selaku penuntut ilmu dan pemuda Islam, antaranya:
     1)      Sucikan niat dan lazimi diri untuk sentiasa berusaha menambahkan ilmu pengetahuan dalam                bidang turathii mahupun kontemporari.
     2)      Elakkan daripada banyak membuang masa dan melakukan perkara-perkara yang tidak                          bermanfaat.
     3)      Perbanyakkan zikir dan amalan-amalan sunat bagi menyucikan jiwa dan hati daripada sifat-                sifat mazmumah.
     4)      Kukuhkan ikatan persaudaraan Islamiah bersama sahabat dan saudara seakidah yang lain.
     5)      Sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memberikan sumbangan dalam gerak kerja dakwah dan jemaah.
Ilmu dan amal tidak mungkin dapat dipisahkan, tidak berguna ilmu tanpa amal begitulah juga sebaliknya. Seiring dengan lima pembawaan KPIPM bagi sesi ini yang meliputi aspek thaqafah, fikrah, ukhuwah, kebajikan dan ekonomi. Kita KPIPM bukan sahaja ingin melahirkan mahasiswa Islam yang berilmu dan berthaqafah, malah yang mampu membawa fikrah Islamiah kepada masyarakat umum. Seterusnya, menginfakkan diri untuk sentiasa  menyumbang dan berbakti kepada agama Islam yang tercinta sehingga tercapai natijah masa hadapan yang diimpikan iaitu bagi memartabatkan Islam dan meninggikan kalimah Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W di atas muka bumi dengan izin-Nya.
“Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya”.



Nurul Fadhillah Mohd Khairi
Ketua Hal Ehwal Wanita Islam
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
Sesi 2014/2015

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM