Monday, March 30, 2015

KEYBOARD: ATURAN JARI YANG EFEKTIF MEMBINA UMMAH YANG PRODUKTIF






KEYBOARD: ATURAN JARI YANG EFEKTIF MEMBINA UMMAH YANG PRODUKTIF

          Dunia dakwah dinihari kian menuntut para penyerunya menguasai pelbagai sudut kemahiran yang tidak hanya terhad pada kemahiran pengucapan awam atau membaca kitab sahaja. Hal ini disebabkan keluasan medium dakwah itu sendiri yang mana ianya seriringan dengan pembangunan teknologi yang kian membiak bagai cendawan tumbuh selepas hujan seperti teknologi komputer dan perisian-perisian berbentuk kontemporari. Tuntas, kemahiran yang turut menjadi tuntutan ke atas pendakwah hari ini adalah ilmu dan kemahiran penulisan ilmiah dan Islami. Wadah penulisan ini sebenarnya telah lama menjadi cabang dalam medan menyebarkan dakwah ini sepertimana yang dapat kita lihat betapa banyak buku-buku berkaitan thaqafah dan dakwah telah berada di pasaran. Tokoh-tokoh ulamak dahulu juga telah meninggalkan kepada kita tulisan-tulisan mereka sebagai medium mereka menyebarkan syiar Islam yang mana ia dapat dikekalkan sehingga ke hari ini. Namun, usaha murni golongan agamawan ini seharusnya kita teruskan pada hari ini demi memastikan dakwah dan syariat Islam itu dapat disebarluaskan dengan lebih efektif.

          Dalam memenuhi tuntutan ini, kita tidak dapat lari dari memperlengkapkan keperluan-keperluan asas agar penulisan yang bakal dipersembahkan dapat meyakinkan para penggemarnya. Antara item utama yang wajib dititikbertkan ialah penampilan ilmu yang benar dan tidak mengikut kefahaman akal peribadi semata. Ilmu yang ditampilkan perlulah berlandaskan sumber yang benar, tidak lari dari garisan sebenar dan jelas untuk dihadam oleh para pembaca. Jika kita bukan dari golongan yang mempunyai kemahiran dalam bidang ilmu dan thaqafah ini, maka tidak salah untuk terus bertapak dalam medan penulisan ini selagi mana kita dapat merujuk sumber sahih dari golongan intelektual sama ada melalui penulisan mahupun pengucapan mereka.

           Selain itu, penulisan yang dipersembahkan adalah lebih berkesan dan memberi input yang baik sekiranya diserikan lagi dengan kefahaman Islam yang benar dan syumul. Fikrah Islamiah ini sewajibnya turut disalurkan melalui medan ini agar generasi pembaca dapat memurnikan pemikiran mereka selain dapat melestarikan ilmu yang diterapkan. Penguasaan ilmu tanpa pemilikan fikrah yang betul hanyalah ibarat rumah mewah yang indah tersergam tetapi kosong, tidak berisi perabot mahupun perhiasan. Jika direnung dunia globalisasi hari ini telah banyak membentangkan ideologi-ideologi buruk yang bisa memusnahkan pemikiran anak-anak muda hari ini. Lantas, faktor inilah yang menuntut para penulis agar turut melampirkan fikrah Islamiah dalam penulisan masing-masing supaya ia turut menjadi medium tambahan dalam merealisasikan kesatuan fikrah sedunia.

           Di samping itu, para pendakwah juga perlu menguasai ilmu dan teknik-teknik penulisan yang betul agar tulisan yang dihasilkan mendapat perhatian dan dapat mencuri hati pembaca untuk terus menghabiskan pembacaan sehingga ke noktah terakhir. Bayangkan penulisan yang dipaparkan tidak diatur cantik mengikut susunan sebenar, bercelaru huruf besar dan kecilnya dan berkecamuk format penulisannya, maka pastinya isi yang ingin disampaikan di dalamnya juga sukar difahami dan dipraktikkan oleh pembacanya seterusnya penat lelah menulis hanyalah sia-sia tanpa dapat dimanfaatkan. Pembacaan bahan ilmiah yang berterusan juga membantu untuk menambah baik teknik-teknik penulisan selain dapat meningkatkan nilai tambah dari sudut pengetahuan. Bak kata pepatah “jika mahu pandai berucap, banyakkan mendengar, jika mahu pandai menulis, banyakkan membaca”.

          Justeru, marilah sama-sama kita memperlengkapkan diri dengan ilmu kemahiran ini agar kalimah SYIAR ISLAM yang kita canang-canangkan bukan sekadar propaganda kosong hanya dek kerana tidak berkemahiran dalam bidang pengucapan awam yang menjadi medan utama dalam dunia dakwah ini. Ketahuilah, medan menyampaikan dakwah itu luas, tidak terhad pada bidang tertentu sahaja bahkan meliputi pelbagai wadah lain termasuklah bidang penulisan ini. Semoga dengan usaha kecil kita dalam menyebarkan kefahaman Islam ini dinilai dan diredhai Allah S.W.T. seterusnya dapat menambat hati masyarakat untuk terus bersama Islam sehingga ke Hari Kiamat kelak.



BERILMU BERAMAL IKHLAS

“MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN”



OLEH: SITI NABILAH BINTI ZAKARIA

TIMBALAN KETUA HEWI KPIPM SESI 2014/2015

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM